PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini meluluskan permohonan Seri Bayu supaya menarik balik kes tuntutan cerai secara fasakh oleh isterinya, penyanyi Erema.
Hakim Syarie, Ghazali Ahmad membuat keputusan itu setelah pihak plaintif (Erema) tidak hadir ke mahkamah sebanyak dua kali tanpa alasan yang sah.
Bagaimanapun, peguam syarie, Noorafizah Abdul Aziz yang mewakili Seri Bayu (defendan) memohon tuntutan balas anak guamnya dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk mendengar kes itu.
Kedua-dua Erema dan Seri Bayu tidak hadir di mahkamah hari ini.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Noorafizah menjelaskan bahawa anak guamnya, Seri Bayu memaklumkan kepadanya semalam menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa dia demam teruk dan oleh itu tidak dapat hadir.
"Plaintif (Erema) pula tak hadir. Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk keterangan plaintif. Jadi dah dua kali plaintif tidak hadir.
"Oleh itu, pihak kami mohon kes itu dibuang. Hakim dah luluskan kes plaintif dibuang. Bagaimanapun saya mohon tuntutan balas dibicarakan," katanya.
Jelas Noorafizah, pada tarikh akan datang, defendan akan memberikan keterangan dengan affidavit untuk mahkamah memutuskan tuntutan balas defendan.
Sebelum ini, perbicaraan kes tersebut ditangguhkan sehingga hari ini ekoran penarikan diri peguam syarie, Ahmad Tarmizi Shariff daripada mewakili Erema.
Mahkamah turut mengeluarkan notis amaran terhadap Erema atau nama sebenarnya, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, selepas dia gagal hadir pada prosiding 1 Mac lalu tanpa sebarang alasan.
Tuntutan fasakh itu dibuat kerana didakwa tiada persefahaman dan tidak mendapat nafkah zahir batin.
Pasangan itu bernikah pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa di Kuala Lumpur.
Ia perkahwinan kedua buat Seri Bayu selepas bercerai dengan isteri pertamanya pada 2002.
Hasil perkahwinan pertama, Seri Bayu dikurniakan lima anak iaitu Muhamad Akmal, 15, Muhamad Aiman, 14, Muhamad Aizam, 11, Ally Farjana, 9, dan Muhamad Adham, 7.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: