USAHA mendekatkan muzik Malaysia dan Filipina kembali diserlahkan dengan kemunculan Kyla. Suatu masa dulu penyanyi Filipina, Gigi Villa, pernah merakamkan lagu Melayu, Cik Mek Su dalam albumnya.
Dilahirkan 29 tahun lalu, Kyla atau nama sebenarnya, Melanie Hernandez Calumpad adalah artis popular Filipina dan bekas Puteri R&B. Lebih hebat lagi dia pernah mendapat jolokan Beyonce Filipina.
Bakat yang dianugerahkan kepada Kyla bukan saja bersuara merdu, bahkan boleh mencipta lagu dan menulis lirik. Dia yang boleh bermain piano dengan baik pernah memenangi Anugerah MTV bagi kategori Pilihan Penonton Antarabangsa untuk Artis Asia Tenggara.
Selain itu, Kyla pernah berkolaborasi dengan artis antarabangsa seperti Ronan Keating, Blue, Fra Lippo Lippi (Norway), Keith Martin serta Ferhad Too Phat dari Singapura.
Bersama EMI Music dan PolyEast Records, Kyla berjaya menghasilkan tujuh album, Way To Your Heart (2000), Kyla (2002), I Will Be There (2003), Not Your Ordinary Girl (2004), Beautiful Days (2006), Heartfelt (2007) dan Heart 2 Heart (2008).
Gaya persembahan dan nyanyian Kyla banyak dipengaruhi bintang pujaannya, Beyonce, Patti Labelle, Mariah Carey dan rakan senegaranya, Regine Velasquez. Dia yang memiliki Ijzah Kajian Sebaran Am, disegani dan dihormati peminat kerana sifatnya yang merendah diri. Dengan pencapaiannya itu menarik minat Muzikon menggandingkan Kyla dengan Noryn dan Hazami.
Langkah itu juga mampu membuka peluang baru kepada artis Malaysia untuk melebarkan bakat mereka di Filipina iaitu destinasi baru selepas Indonesia.
Duet pertama Kyla bersama Noryn menyanyikan lagu Teman. Lagu itu single pertama Kyla berjudul Hanggang Ngayon dari bahasa Tagalog. Dia juga berduet dengan Hazami menerusi lagu Cinta Kita dan Tekad.
Lagu Cinta Kita terjemahan daripada lagu Hina Hanap Hanap Kita dari Indonesia. Lirik lagu ini ditulis Tris Zainol Abidin dan proses adunannya dilaksanakan di Malaysia oleh Greg Henderson.
Manakala lagu Tekad yang asalnya dipopularkan Hazami turut dinyanyikan dalam bahasa Tagalog. Rakaman bahasa Melayu dibuat di Malaysia manakala versi Tagalog pula dibuat di Filipina. Projek duet ini adalah usaha Muzikon yang ingin mempromosikan artis tempatan dan lagu mereka ke negara Asean.
Walaupun mempunyai latar belakang dan bahasa pertuturan berbeza, pengalaman mereka bertiga dalam bidang seni suara berjaya mengatasi semua halangan itu. Apabila mereka bergabung menghasilkan duet, kehebatan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.
Baru-baru ini Kyla datang ke Malaysia selama dua hari untuk mempromosikan ketiga-tiga lagu duetnya itu. Dia yang ditemui pada sesi fotografi di Balai Berita, melahirkan rasa kegembiraannya apabila dapat berduet dengan Noryn.
Dia akui tidak tahu berbahasa Melayu dan perlu menggunakan khidmat jurubahasa.
"Jurubahasa yang mengajar saya menyebut perkataan Melayu dengan tepat. Awalnya susah juga hendak belajar bahasa Melayu, tetapi dengan bimbingan jurubahasa, saya akhirnya dapat merakamkan dua lagu Melayu dalam masa empat jam.
"Sekarang saya sudah boleh sebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu. Bagus juga kerana saya berpeluang belajar bahasa lain.
"Saya tiada masalah kerana Teman adalah lagu asal saya sendiri. Projek ini sangat bagus kerana ia mendekat lagi penyanyi dari dua negara," katanya yang turut membuat persembahan untuk kerabat diraja Perak.
Kyla sering berulang-alik antara Filipina dan Amerika Syarikat kerana membuat persembahan dan mempromosikan albumnya di sana. Dia juga pernah ke Timur Tengah, Jepun dan Singapura untuk memperkenalkan namanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Ikon Media Group, Richard Vonn, berkata projek ketiga Muzikon adalah mempertemukan Datuk Sheila Majid dengan penyanyi senior Filipina, Regine Velasquez.
"Mereka akan menyanyikan lagu berjudul Bukan Salah Cinta. Asalnya ia lagu Tagalog yang pernah menjadi lagu tema telemovie popular di Filipina. Untuk pasaran di Malaysia kita alih bahasakan lagu itu manakala untuk menembusi pasaran Filipina kita perkenalkan pula lagu Melayu di sana.
"Rakaman lagu Melayu dibuat di Malaysia dan rakaman lagu dalam bahasa Tagalog pula di Filipina. Projek seterusnya Aizat pula akan berduet dengan artis wanita dari Filipina. Projek ini akan menggandingkan 20 artis dari kedua-dua negara. Apabila semua duet itu sudah lengkap, Muzikon akan menghasilkan album kompilasi yang akan dipasarkan di kedua-dua negara.
"Memang menjadi sasaran Muzikon untuk membawa artis Malaysia yang terbabit dalam projek ini ke Filipina bagi memperkenalkan diri mereka," katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Melanie Hernandez Calumpad
TARIKH LAHIR: 5 Januari, 1981
ASAL: Manila, Filipina
STATUS: Solo
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Kristian Filipina
GENRE MUZIK: R&B kontemporari, R&B, Soul, Pop
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, model dan komposer (boleh bermain piano)
ANUGERAH: Anugerah Muzik Video MTV (pilihan artis Asia Tenggara)
ALBUM: Way to Your Heart, Kyla, I Will Be There, Not Your Ordinary Girl, Your Ordinary Girl (edisi khas pembungkusan semula), Beautiful Days, Heartfelt Certified Gold, Heart 2 Heart Certified Gold dan Heartsongs Deluxe Edition
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: