TIADA seorang ibu pun yang mahu melahirkan anak cacat. Namun, kuasa Tuhan tiada siapa mampu menghalang.
Namun, bagi Siti Nurazlina Noh, 28, kelahiran cahaya mata kedua, Fahry Al-Hazim yang kini berusia setahun empat bulan adalah anugerah cukup berharga dan istimewa bagi dia dan suami, Zainul Anuar, 28.
Walaupun dilahirkan tanpa sebelah kaki kanan, jari kaki kiri melekat serta tidak boleh mencengkam dan jari tangan tidak sempurna, Fahry tetap cergas seperti kanak-kanak lain.
Ketika berkunjung ke rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, melihat keadaannya yang aktif ketika diambil gambar, tiada siapa menyangka kanak-kanak comel ini hanya mempunyai sebelah kaki.
Fahry aktif dan lasak malah pada usia setahun, dia sudah menunjukkan kebolehan berjalan cuma agak sukar memandangkan dirinya yang hanya mempunyai sebelah kaki.
Namun, semangatnya sangat kuat, dia cuba juga berdiri dengan berpaut pada mainan walaupun sering terjatuh, malah berusaha menolak mainan untuk berjalan.Semangat yang ditunjukkan Fahry membuatkan dia dan suami sangat bersyukur dan langsung tidak patah semangat untuk menjaga seterusnya mendidik Fahry.
Ketika mengandungkan Fahry, dia tidak mengalami sebarang perbezaan seperti mengandungkan anak pertama, Hafiy Al-Fateh.
"Ketika itu saya bertugas di Miri dan selalu berulang-alik ke Kuala Lumpur. Mungkin kerana kesibukan bertugas, saya bersalin awal daripada tarikh jangkaan. Saya bersalin ketika kandungan 28 minggu pada 5 Disember 2008. Cadang saya mahu bersalin di Kuala Lumpur tetapi tidak sempat," katanya.
Sebaik saja dilahirkan, doktor yang menyambut Fahry memberitahu anaknya tidak normal.
"Ketika itu saya rasakan seperti tidak berpijak di bumi, tidak dapat digambarkan perasaan sedih, pilu dan sayu, tambah pula anak yang dilahirkan tidak cukup bulan.
"Namun, saya cuba tenangkan fikiran, reda dengan apa yang diberikan. Saya ingin bersikap positif. Pertama kali memandang wajahnya, langsung tiada kekurangan, comel, putih dan bersih.
"Selepas itu barulah doktor menunjukkan kaki kanan yang masih ada sedikit daging terkulai pada bahagian betis serta jari kaki kiri dan jari tangan yang melekat," jelasnya.
Selama 30 hari, Fahry diletakkan di dalam inkubator kerana kelahiran tidak cukup bulan. Namun, setiap hari dia menunjukkan perkembangan sihat serta peningkatan berat badan yang sangat memuaskan menyebabkan dia dapat dikeluarkan daripada hospital dalam tempoh singkat.
Sebagai ibu, memang terdetik di hatinya mengenai masa depan Fahry nanti. Bagaimana Fahry bersolat? Bolehkah dia memanjat gunung? Bagaimana keadaannya selepas dia bersekolah? Bagaimana pergaulannya dengan kanak-kanak normal lain? Tidakkah Fahry rasa tersisih? Itulah perkara yang sentiasa bermain di fikiran Siti Nurazlina.
Tetapi setelah mendapat penerangan doktor, dia suami isteri kembali kuat. Ditambah pula dengan keadaan Fahry yang lasak serta menunjukkan perkembangan sihat seperti kanak-kanak lain.
"Pada usia lapan bulan, dia sudah boleh meniarap dan merangkak. Walaupun kedudukannya tidak stabil, dia boleh duduk pada usia enam bulan. Sesuatu yang sangat membanggakan bagi kanak-kanak kurang upaya (OKU) seperti Fahry. Walaupun doktor memberitahu pergerakannya lambat berbanding kanak-kanak lain, Fahry membuktikan dia mampu melakukannya," katanya.
Menjaga Fahry juga sangat senang, tanpa pelbagai kerenah. Kesihatannya juga sangat baik walaupun kaki sebelah kanan terpaksa dipotong sedikit kerana ingin membuang tulang yang menonjol.
Bagi membolehkannya berjalan, doktor mencadangkan Fahry dipakaikan kaki palsu.
"Kami bersetuju, namun kaki Fahry terpaksa ditempah khas di Singapura memandangkan kakinya masih kecil dan tiada saiz sesuai di Malaysia.
"Setiap enam bulan atau setahun, kaki palsu Fahry yang berharga RM2,500 untuk sebelah kanan, akan dibuat semula memandangkan tumbesaran tubuhnya cepat dan kakinya berubah ukuran," katanya.
Selepas dipakaikan kaki palsu itu, Fahry sangat teruja, tetapi dia cepat bosan disebabkan keadaan kaki yang mencengkam serta rasa tidak selesa lalu dia cepat menanggalkannya.
Namun, dengan kaki palsu itu, Fahry sudah boleh berdiri sendiri dan berjalan dengan menolak mainan, ia amat membanggakan bagi Siti Nurazlina.
Kini kasih sayangnya dan suami kepada Fahry tiada tolok bandingnya. Walaupun ada yang bersimpati dan menganggap Fahry sebagai ujian yang diberi Allah, dia tidak pernah menganggap sebegitu kerana berasa Fahry sama seperti kanak-kanak lain. Malah sentiasa bersyukur kepada Allah kerana diberikan anugerah yang sangat istimewa ini.
"Fahry banyak memberi kesedaran kepada kami, betapa ramai lagi insan lain diuji dengan pelbagai dugaan. Saya bersyukur kerana berpeluang merasai bagaimana menjaga anak OKU.
"Ini menambah lagi rasa ketabahan serta ketakwaan kepada Allah serta menjadikan kami sangat bekerja keras untuk mencari rezeki menyara keluarga," katanya yang bekerja sebagai jurutera Petronas di ibu kota.
Bagi menguatkan semangat, dia sentiasa berkongsi masalah dengan ibu yang mempunyai anak OKU. Persamaan perasaan ini membuatkan mereka saling menghormati serta saling memberikan semangat.
"Lagi pun kami memiliki perasaan sama. Jadi senang meluahkan masalah sesama rakan yang lebih memahami. Berbeza dengan rakan yang mempunyai anak normal, perasaan ini tidak sama.
"Kebanyakan rakan hanya melahirkan rasa simpati sedangkan saya tidak mahu rasa simpati itu terus membelenggu diri.
"Ini kerana ia akan membuatkan saya rasa kekurangan pada diri sedangkan saya bahagia memiliki anak sehebat Fahry," katanya.
Walaupun berkemampuan menjaga Fahry, Siti Nurazlina tetap mendaftarkan anaknya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini kerana Fahry berhak memiliki keistimewaan sebagai orang kurang upaya.
"Nasib kita pada masa depan tiada siapa yang tahu. Mungkin saya berazam mahu menjaga dan memberi pendidikan sempurna kepada Fahry tetapi hanya Allah yang menentukan.
"Sekarang, Fahry masih ada ibu dan bapa, sampai satu masa dia perlu berdikari serta tidak mengharap pada orang lain," katanya.
Ketika ini, Siti Nurazlina mahu meningkatkan keyakinan diri Fahry supaya dia tidak rasa tersisih dan berbeza apabila bergaul dengan kanak-kanak normal lain.
"Saya mahu semaikan dalam diri rasa keyakinan diri yang tinggi walau apa jua pandangan masyarakat kepadanya.
"Biarpun nanti apabila bersekolah, dia mungkin diejek namun itu semua tidak memberi kesan kepada pemikirannya malah dia sentiasa menunjukkan yang terbaik dalam semua perkara.
"Semua ini sangat penting kerana kehidupan pada masa akan datang lebih mencabar.
"Sebagai ibu saya mahu melengkapkan diri Fahry bukan saja ilmu dunia, tetapi akhirat di samping menyemai rasa hormat serta bangga diri yang tinggi kepada Fahry, tidak pernah merasai kekurangan, tetapi bersyukur dengan kurniaan Tuhan," jelas ibu muda ini sambil memeluk Fahry dengan penuh kasih sayang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: