Friday, May 28, 2010

Kemuncak GAH 1

PADA Ahad ini, Malam Kemuncak GAH 1 bakal tiba dengan sebuah konsep yang agak unik dan meriah dalam mengiktiraf lagu-lagu terbaik tempatan di mana ia akan diadakan di pentas terbuka Surf Beach, Sunway Lagoon.

Sebanyak sembilan lagu yang akan berentap, GAH 1 yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Hitz 1 itu akan disiarkan secara langsung di TV2 dan saluran Muzik Aktif (saluran 180 Astro).


GAH 1 akan menyaksikan persaingan sengit pada malam Ahad ini.


Ternyata, kali ini pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat perubahan besar bersesuaian dengan perubahan tajuk program itu sendiri bagi menarik perhatian penonton agar tidak bosan dengan elemen konsep sama yang dilakukan sebelum ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail, pertandingan akhir GAH 1 yang diadakan di tempat terbuka adalah satu perubahan ketara yang dilakukan oleh pihak RTM.

"Ini adalah perubahan yang agak besar dalam sejarah penerbitan RTM dan sepanjang enam musim program Hitz 1 diperkenalkan, pihak kami telah mendapa respons yang sangat menggalakkan daripada penonton pelbagai peringkat usia dan kaum.

"Tahun ini, sempena sambutan hari RTM yang ke 64 tahun, Hitz 1 diperkenalkan dengan nama baru iaitu GAH 1, sejajar dengan matlamat kami yang ingin mengangkat karya-karya muzik tempatan.

"Kemasukan adalah percuma dan pelbagai kejutan dan persembahan yang menarik akan diadakan. Selain menyaksikan GAH 1 secara santai di Sunway Lagoon pada waktu malam, kami juga menyediakan beberapa aktiviti pada siang hari, sesuai dengan tema Fiesta.

"Apa yang kami harapkan agar ramai remaja yang akan hadir serta digalakkan untuk membawa keluarga bersama bagi memeriahkan majlis dan saya percaya kali ini GAH 1 adalah sebuah program yang sangat berbeza daripada program-program hiburan yang lain," katanya pada sidang akhbar kemuncak GAH 1 Akhir di Sunway Lagoon baru-baru ini.


TOMOK tercalon melalui lagu Rindu Terhenti.


Antara penyanyi yang bakal berentap ialah Tomok menerusi lagu Rindu Terhenti, Stacy (Pakai Buang), Misha Omar (Cinta Adam dan Hawa). Azharina (Rawan), Stacy dan Adam (Menggegar Dunia), Faizal Tahir (Bencinta), Alyah (Tak Mungkin Kerana Sayang), 6ixth Sence (Khatimah Cinta) dan Grey Sky Morning (Cinta Gila).

Kesemua penyanyi itu akan bertarung untuk merangkul Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Tempat Kedua, Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Lagu Paling Popular Pilihan SMS.

Selain itu, Sarah Raisuddin, Nubhan, One Nation Emcees, Kumpulan Kristal dan Kumpulan Aisunam akan menjadi artis jemputan untuk memeriahkan lagi malam kemuncak tersebut.

GAH 1 akan diacarakan oleh dua pengacara remaja iaitu E'One dan peserta Bintang RTM 2004, Eyeja Arshad.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan pas percuma Malam Kemuncak GAH 1, ia boleh didapati di balai Pengawal RTM Angkasapuri serta di kaunter tiket Sunway Lagoon, mulai 20 Mei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: