Tuesday, May 18, 2010

Keluarga restui Norman, Memey



Gosip mengenai kisah percintaan di antara pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza bukan lagi rahsia. Biarpun kes khalwat pasangan ini masih belum menemui jalan penyelesaian namun pasangan ini dikatakan semakin intim dan bakal mendirikan mahligai bahagia tidak lama lagi.

Terbaru, Norman yang muncul di dalam sebuah program Cerita Artis Malaysia (CAM) terbitan Astro, Norman dilihat telah mendapat lampu hijau daripada ibunya mengenai hubungannya dengan Memey.

“Saya bersyukur kerana walau apa pun kisah kontroversi saya, keluarga tetap menyokong dan masih bersama saya. Mengenai penerimaan Memey itu, saya tak berani komen lebih-lebih. Bila keluarga dah restu saya hanya bersyukur dan mengharapkan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Meskipun sudah direstui keluarga dan peminat, Norman seakan masih berteka-teki akan hubungan cintanya dengan gadis manis yang berasal dari Johor itu. Bagi ayah kepada tiga anak ini, buat masa ini, tumpuan utamanya adalah kerjaya dan mencari nafkah untuk anak-anaknya yang kian membesar.

“Saya akui memang sayang pada Memey, cuma buat masa ini, biarlah kami berkawan dan menyelami hati budi masing-masing dahulu. Kami pun sibuk dengan kerjaya seni masing-masing.

“Sepanjang mengenalinya, saya amat senang dengan Memay. Anak-anak saya juga suka dengan Memey. Dia gadis yang lemah lembut. Mungkin kerana itu wujud keserasian di antara kami,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Memey melalui sebuah akhbar sebelum ini akan lamaran ‘olok-olok’ Norman terhadap Memey mengenai kisah cinta mereka akan berakhir ke jinjang pelamin pada Julai tahun ini, Norman hanya ketawa dan lebih selesa berbicara mengenai kerjayanya.

“Mengenai lamaran itu biarlah dulu, kerana masa ini saya memang tersangat sibuk dengan jadual penggambaran drama yang agak padat. Antaranya telemovie khas untuk hari raya serta beberapa buah drama lagi.

“Saya juga turut berlakon telemovie arahan Erma Fatima. Jadi dalam masa beberapa bulan ini memang sibuk di lokasi.

“Tapi jodoh, pertemuan, ajal dan maut bukan di tangan kita. Tak tahulah lepas ni saya terfikir untuk berkahwin pula,kan. Saya hanya serahkan semua kepada Yang Maha Esa,” katanya yang turut berlakon untuk drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua.

Menurutnya, sejak perkenalan dengan Memey, dia mengaku hidupnya sudah banyak berubah.

“Memey bukan wanita yang suka mengongkong. Sejak kami rapat, dia amat percaya pada saya dan paling saya kagum dia tidak pernah meninggikan suara kepada saya. Dia lebih banyak berdiam dan bersabar dengan kerenah saya. Mungkin kerana itu, saya semakin serasi bersamanya,” katanya yang sentiasa berdoa kebahagiaan berpihak kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: