Rancangan realiti Akademi al-Quran yang mendapat sambutan menggalakkan sehingga pernah mencecah rating sebanyak 1.5 juta kini kembali lagi di TV9.
Akademi al-Quran Musim keempat (AQ4) ini akan menemui penonton dengan nafas baru daripada segi penampilan, konsep, kandungan yang lebih berkualiti, pengacara dan juga penambahan waktu siaran.
Program realiti sebanyak 13 episod ini akan menemui penonton pada setiap Jumaat pada jam 9.00 malam bermula 21 Mei 2010 ini. AQ4 telah membuat banyak pembaharuan termasuklah melonggarkan syarat had umur peserta iaitu seawal 13 tahun serta turut menekankan ilmu pembacaan al-Quran di mana peserta perlu fasih dan lancar membaca al-Quran. Di samping itu mereka juga dikehendaki menguasai ilmu tafsiran al-Quran.
Dua pengacara berpengalaman telah dipilih untuk mewarnai AQ4 iaitu Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang pernah mengendalikan rancangan Mari Mengaji dan Ustaz Zamri Bercerita dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa al-Quran 2009.
Sepanjang uji bakat yang diadakan di Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur hanya 12 peserta terbaik dipilih menyertai AQ4 ini dan terdiri daripada dua peserta perempuan dan sepuluh peserta lelaki. Dua peserta cilik berusia 13 tahun dan 15 tahun dipilih iaitu adik Siti Aishah Baain dan Mohd bin Ahmad Zahid.
Satu lagi keistimewaan AQ4 adalah penyertaan peserta adik-beradik daripada Terengganu iaitu Yahya Ali dan Ahmad Tirmizi Ali.
Mereka telah mencuba nasib mereka ketika mengadakan uji bakat di Kompleks Sri Iman, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Rezeki menyebelahi kedua beradik ini apabila terpilih untuk menyertai AQ4. Malahan, mereka juga mendapat sokongan daripada abang-abang mereka yang juga juga finalis bagi AQ1 dan 2 iaitu Shukri Ali dan Muslim Ali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: