Wednesday, May 12, 2010

Jual Harrods Tak Semestinya Saya Akan Jual Fulham - Al-Fayed

Foto bertarikh 11 Mei 2008 ini menunjukkan Pengerusi Fulham, Mohamed Al Fayed meraikan kemenangan pasukannya keatas Portsmouth di Fratton Park, Portsmouth.

BEBERAPA hari yang lalu, Mohamed Al Fayed telah menjual gedung perniagaan paling popular di England, Harrods pada harga £1.5bilion.

Ini menimbulkan spekulasi apakah beliau akan turut membebaskan kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, Fulham daripada empayar perniagaannya.

Nampaknya tidak. Kerana kecintaan Fayed ke atas Fulham tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan Harrods.

Fayed kini merupakan pemegang saham terbesar Fulham dan juga pengerusi kelab bolasepak itu.

Fulham musim ini telah mencatatkan sejarah luar biasa apabila mereka berjaya ke perlawanan akhir Liga Eropah buat pertama kalinya dan pengurusnya Roy Hodgson telah terpilih sebagai pengurus terbaik musim 2009/10 oleh Persatuan Pengurus-pengurus Liga Inggeris.

Dan menurut Al-Fayed, walaupun hubungan 25 tahunnya bersama Harrods telah berakhir, tetapi segala-galanya tetap sama dan tidak berubah di Fulham.

“Fulham bukanlah untuk dijual...," tegas Al-Fayed sambil berkata sinis, “bila anda menjual rumah tidak bermakna secara automatik anda juga harus menjual kereta anda.”

Harrods di London pada 8 Mei 2010.

Tetapi Harrods telah menjadi ‘kediaman’ Al-Fayed untuk sekian lamanya dan ramai yang melihat, ia akan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas dirinya - iaitu satu perasaan kekosongan yang hanya boleh diisi oleh keluarganya dan juga Fulham.

Namun buat masa ini, pengembaraan Fulham dalam liga Eropah seumpama telah mencajkan semula bateri Al-Fayed dan rasa cintanya ke atas bolasepak Inggeris.

Segala-galanya bermula Julai tahun lalu yang menyaksikan Fulham terpaksa mengharungi dua kali pusingan kelayakan dan juga pusingan di peringkat kumpulan.

Sepanjang perjalanan yang panjang itu, mereka telah bermain 18 perlawanan melibatkan tujuh buah negara dan dalam proses itu, menumpaskan juara bertahan Shakhtar Donetsk dan juara Jerman, Wolfsburg dan juga gergasi Itali, Juventus yang diwakili oleh enam pemenang Piala Dunia di peringkat 16 pasukan terakhir.

Dan Fayed,76, sepertimana masa-masa lalu, akan berjalan mengeliling padang kelab itu Craven Cottage sebelum sepak mula sambil melambai-lambai ke arah penonton menggunakan skaf kelab yang disayanginya.

Sejak mengambil alih kelab ini pada tahun 1997, hubungan Fayed dengan para penyokong sentiasa harmoni walaupun pada awalnya mereka beranggapan yang dia membeli kelab ini kerana ingin membuat keuntungan yang berganda tetapi nampaknya sangkaan itu hanyalah satu sangkaan sahaja.

Malah kini jika di bandingkan dengan kebanyakkan pengerusi kelab bolasepak di England, Fayed boleh dikatakan seorang pengerusi yang popular di kalangan peminat.

"Bagi saya, adalah sangat penting untuk pemain dan juga pengurus menyedari yang pengerusi kelab mereka sentiasa berada di sisi mereka memberi sokongan dan galakkan dan atas sebab itulah saya sentiasa memastikan setidak-tidaknya saya akan hadir 80 hingga 90 peratus perlawanan,” ujar Fayed.

Manakan tidak, pelaburan Fayed ke atas Fulham adalah bukti kecintaannya kepada kelab tersebut.

Dalam tempoh 10 tahun pertama selepas mengambilalih Fulham, Fayed telah melabur menggunakan wang pribadinya sebanyak £200 juta.

Tetapi pelaburannya yang paling berbaloi setakat ini ialah pelaburan yang diletakkan ke atas Roy Hodgson.

Ada pandangan yang mengatakan yang Hodgson suatu hari nanti bakal mengantikan Fabio Capello sebagai pengurus England dan bagi Fayed persoalan itu bukanlah satu isu baginya.

"Jika ia untuk England saya tidak kisah berkorban untuk negara ini sebagaimana yang pernah saya lakukan ketika Kevin Keegan diperlukan oleh negara ini pada tahun 1999 (pada ketika itu Keegan adalah pengurus Fulham). Sebenarnya kita harus rasa bangga pengurus England adalah bekas pengurus Fulham," kata Fayed.

Ketika Hodgson dilantik sebagai pengurus pada tahun 2007, Fulham sedang tenat dan memerlukan lapan perlawanan sebelum Fulham menang buat pertama kalinya di bawah pengurus baru itu.

Dan berkat kesabaran Fayed ke atas pengurusnya itu hari ini Fulham telah menjadi gergasi baru dalam pentas bolasepak Eropah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: