Saturday, May 8, 2010

Inspirasi gaya pengembaraan


Koleksi aksesori untuk lelaki terkini oleh Alfred Dunhill.


KEBANYAKAN lelaki yang sentiasa mahu dilihat segak, kemas dan berketerampilan, lazimnya cukup setia dengan satu-satu jenama. Kebiasaan itu membuatkan jenama-jenama mewah yang terkenal untuk lelaki seperti Alfred Dunhill tidak surut dengan pengikut setianya.

Setiap koleksi sentiasa ditunggu-tunggu kerana jenama antarabangsa yang terus mengekalkan prestij dan keunggulannya ini menjanjikan kepuasan kepada penggunanya.

Mengambil inspirasi daripada gaya seorang pengembara, koleksi terbaru Alfred Dunhill sempena musim panas 2010 meminjam semangat kental seorang pengembara sambil mengekalkan corak tradisi pemakaian musim panas lelaki Inggeris.

Melengkapkan tema tersebut rangkaian aksesori yang dibawa mengambil pendekatan daripada moden hingga klasik.

Sebagai contoh, koleksi topi jerami tiga warna atau Tricolour Tribly Straw Hat menampilkan gabungan tiga tona warna dengan gaya kontemporari sebagai aksesori asas pada musim panas.

Dengan tiga tingkat warna biru, kelabu dan warna semulajadi jerami yang ditenun tangan, memberi karakter tersendiri dan sentuhan yang kemas.

Gaya lebih menyerlah apabila dipadankan dengan kasut brog klasik yang kekal dengan rekaan tradisional Inggeris dengan penggunaan fabrik kulit tebal.

Lebih menyerlah dengan perincian pada garis jahitan dan lapisan atas bahagian depan kasut. Memenuhi cita rasa semasa ia didatangkan bukan saja warna hitam dan coklat tetapi juga warna hijau zaitun dan krim kulit dengan perincian logo AD.

Bagi mengekalkan elemen warisan dan kemewahan, logo AD bagi koleksi Musim Panas 2010 ini merupakan kesinambungan daripada logo yang pernah dipamerkan di butik pertama Alfred Dunhill di Jalan Duke, London pada 1928.

Turut ditampilkan dengan ciri-ciri mewah ini rangkaian manset atau kafling, selain penyepit tali leher, pen, klip wang, rantai kunci dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: