Saturday, May 8, 2010

Tubuh badan khas kutip royalti


ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) beramah mesra dengan Siti Nurhaliza (kiri) sambil disaksikan Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe (kanan) pada majlis tersebut.


ISU kutipan royalti jualan album dan lagu artis-artis yang disiarkan menerusi televisyen, radio dan tempat-tempat awam belum memuaskan hati pihak-pihak tertentu, terutamanya golongan komposer serta penyanyi di negara ini.

Bagi melancarkan urusan itu, sebuah badan khas yang lebih telus dan mendapat pengiktirafan daripada semua pihak harus diwujudkan bagi memastikan pendapatan royalti golongan artis lebih terjamin pada masa depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang menubuhkan sebuah badan khas di bawah kementerian itu bertujuan mengutip royalti golongan artis secara lebih telus dan cepat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya bercadang menubuhkan badan itu yang tidak berorientasikan keuntungan dan 100 peratus bertujuan membantu golongan artis yang selama ini menghadapi masalah dalam tuntutan royalti mereka.

“Kami bercadang menubuhkan sebuah badan khas di bawah kementerian ini bagi mengutip royalti artis-artis yang berdaftar di bawah badan itu kelak. Kalau cadangan itu dapat dilaksanakan, ia akan memudahkan golongan terbabit.

“Contohnya, hanya dengan menyemak di laman sesawang badan itu di Internet kelak, mereka (artis) boleh mengetahui berapakah bayaran royalti yang mereka terima pada setiap bulan dan menuntutnya di kementerian ini.

“Perbadanan itu kelak akan mengutip royalti daripada pihak-pihak berkaitan seperti di stesen-stesen televisyen, radio dan tempat-tempat awam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Dialog Antara Menteri KPDNKK Dengan Pencipta, Pelaku Karya Muzik dan Filem di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa sama, menurut Ismail Sabri, pihaknya juga bercadang untuk mengeluarkan lesen kepada syarikat-syarikat pemungut royalti bagi melaksanakan tugas itu dengan lebih telus demi menjaga kebajikan golongan artis di negara ini.

Katanya, selama ini terdapat beberapa badan atau syarikat swasta seperti Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) yang memainkan peranan bagi mengutip royalti buat ahli-ahli yang berdaftar di bawahnya.

“Kalau boleh kita juga mahu memperbaiki lagi sistem kutipan royalti yang ada sekarang ini. Misalnya, sesebuah syarikat pengutip royalti itu mestilah mempunyai lesen atau surat kebenaran sebelum mengutip royalti.

Lebih telus

“Malah, suatu perjanjian juga harus diadakan di antara pihak pengutip royalti dan artis bagi mengelakkan berlakunya ketidakadilan dan supaya ia lebih telus lagi. Syarikat pemungut royalti itu haruslah dilesenkan,” ujarnya.

Jelasnya, pihak-pihak terbabit terutamanya golongan komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik bolehlah memilih sama ada untuk memberi kebenaran kepada syarikat pengutip royalti swasta yang dilesenkan itu atau badan di bawah KPDNKK yang akan ditubuhkan kelak.

Bagaimanapun tambah Ismail Sabri, bagi melaksanakan perkara-perkara seperti itu, Akta Hakcipta 1987 akan dipinda bagi memberi lebih pembelaan buat golongan artis termasuklah yang membabitkan soal pembayaran royalti.

Difahamkan, KPDNKK sudahpun mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil persatuan artis di negara ini bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas sebelum perkara itu dapat dilaksanakan kelak.

Pindaan Akta Hakcipta 1987 dijadualkan akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat sesi Jun 2010 dan ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

“Isu cetak rompak juga kita akan pinda di mana penguatkuasaan kali ini akan lebih ketat. Ia bukan sahaja akan dikenakan kepada penjual, pengedar dan penerbit barangan cetak rompak tetapi sesiapa yang memilikinya juga akan didakwa.

“Kementerian akan berbincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) bagi mengkaji kadar royalti yang dibayar kepada golongan artis. Contohnya, artis mendapat bayaran royalti 70 peratus dan syarikat telco pula mendapat 30 peratus.

“Ini kerana, punca pendapatan utama telco bukannya daripada lagu tetapi misalnya daripada SMS (khidmat pesanan ringkas) dan bil panggilan. Selain itu, isu tentang muat turun lagu secara percuma di Internet juga akan dikaji dan dimasukkan dalam pindaan akta itu nanti,” jelasnya lagi.

Hampir 200 penggiat seni seperti komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik seperti Datuk Siti Nurhaliza, M. Nasir, Habshah Hassan, Shiela (One In The Million), Tomok, Datuk Andre Goh, Dayang Nurfaizah dan Aidil Alfian hadir pada sesi dialog tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: