Saturday, May 1, 2010

Hospital diserbu penunjuk perasaan


BEBERAPA kumpulan penunjuk perasaan membina sekatan ke Hospital Chulalongkorn, Bangkok semalam.


BANGKOK - Hospital Chulalongkorn semalam terpaksa memindahkan pesakit-pesakitnya manakala semua pembedahan terpaksa ditangguhkan kecuali pembedahan kecemasan apabila hampir 100 orang penunjuk perasaan antikerajaan yang popular dengan panggilan Baju Merah melakukan serbuan untuk mencari anggota-anggota pasukan keselamatan.

Tanpa menghiraukan rayuan pengarah hospital tersebut, kumpulan Baju Merah kemudiannya keluar selepas gagal menemui askar atau polis di dalam kawasan hospital berkenaan.

Bercakap di televisyen, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengkritik tindakan itu.

"Tidak perlu untuk saya mengutuk perbuatan itu kerana masyarakat Thailand dan dunia telah berbuat demikian," kata Abhisit sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

Pemimpin Baju Merah yang juga seorang doktor, Weng Tojirakarn kemudiannya meminta maaf ekoran insiden itu. Weng menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak sesuai, keterlaluan dan tidak munasabah.

Namun, punca kenyataan maaf itu dibuat setakat ini masih belum diketahui iaitu sama ada ia disebabkan oleh reaksi negatif yang diterima kumpulan antikerajaan ekoran serbuan tersebut.

Kumpulan itu kemudiannya membuka satu laluan untuk memudahkan kemasukan orang ramai ke kawasan hospital.

Hospital Chulalongkorn yang memiliki kapasiti 1,400 buah katil itu terpaksa menghantar kebanyakan pesakitnya ke sepuluh buah hospital lain di Bangkok.

Kumpulan prokerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Baju Kuning meminta tindakan ketenteraan dikenakan ke atas penunjuk perasaan Baju Merah bagi menamatkan kacau-bilau di Bangkok.

Kumpulan Baju Merah merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinwatra yang telah digulingkan pada tahun 2006.

Mereka menuntut supaya Abhisit membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: