Saturday, May 1, 2010

4 tenaga penting AIM 17


GANDINGAN Adibah Noor dan Afdlin Shauki sebagai hos AIM17 dijangka terus menggamatkan suasana majlis.


MEMIKUL tanggungjawab sebagai pengemudi Anugerah Industri Muzik edisi ke-17 (AIM17) bukanlah bermakna Afdlin Shauki dan Adibah Noor harus mengacara serta menghiburkan audiens dalam dewan mahupun di skrin televisyen semata-mata.

Mereka tidak hanya menjadi 'boneka' yang ditertawa dan mentertawakan orang lain pada malam itu.

Tugas Afdlin dan Adibah sebenarnya besar. Selain mengacara, sedar atau tidak, mereka menjadi pemerhati yang menonton keseluruhan perjalanan AIM sejak bertahun lamanya.

Maka, tidak hairanlah apabila kedua-duanya masih layak menerima imuniti untuk meluah ekspektasi tentang senarai pencalonan akhir dan gerangan penggiat seni yang akan membawa pulang trofi biarpun menjalankan amanah sebagai hos.

Sementelah, masing-masing memiliki pengalaman di padang seni, Afdlin dan Adibah berkongsi rasa mengenai acara yang semakin ranum usianya itu. Tidak seperti sebilangan pihak yang gemar menebak tanpa menyelitkan fakta tertentu, mereka berdua sebaliknya ada sealiran jawapan.

Tanpa berselindung, Afdlin dan Adibah sempat meramalkan bahawa AIM17 akan memperlihat atmosfera sedikit luar biasa. Artis-artis generasi baru dengan kebarangkalian besar mampu mencipta kejutan pada malam esok.

Itu kenyataan pertama terpacul dari bibir Afdlin tatkala soalan sama dipertanyakan.

Bagi Afdlin yang sudah mengacarakan AIM untuk kali ke-11, pemuzik muda yang bertanding pada acara kali ini rata-ratanya berbakat besar dan hadir dengan keunikan tersendiri.

"Untuk kategori utama seperti Lagu Terbaik, saya tidak boleh komen sebab ia cuma diberitahu pada malam esok. Tetapi mengikut andaian saya, ada perubahan akan terjadi kepada generasi baru disebabkan pasaran sekarang lebih terarah untuk khalayak muda.

"Kita lihat contoh, Datuk Siti Nurhaliza punya kualiti album yang bagus disebabkan dia sendiri ada sumber kewangan kukuh. Kerana itu Siti boleh menang dalam mana-mana kategori yang dipertandingkan sebelum ini.

"Budak-budak muda ini, biarpun tiada peruntukan tinggi untuk bikin album, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu lalu dihargai peminat di luar sana. Ini yang jelas membezakan kreativiti anak muda era moden dengan penyanyi lama berkecimpung dalam bidang muzik," bahasnya sambil menghuraikan bukti kukuh.

Mengangguk kepala tanda setuju dengan komen peribadi Afdlin, Adibah mengaku terkesan dengan fenomena pemuzik generasi baru yang melampiaskan bakat dengan stail tersendiri.

"Terus terang, saya cukup bangga dengan anak-anak muda ini. Terbukti, mereka masuk ke dalam bidang seni kerana hendak menghidangkan muzik lain daripada yang lain kepada peminat berbanding artis-artis senior.

"Suka diingatkan, karya mereka bukan sampah. Bahkan, ia boleh dibanggakan oleh sesiapa yang mendengar.

"Walaupun pada permulaan mereka tidak berada di pentas arus perdana, namun semangat menghasilkan lagu berkualiti tetap dijaga dan menjadi pegangan selama ini.

"Saya percaya, situasi yang tidak disangkakan ini dapat membuka mata lebih ramai artis generasi terdahulu untuk bersaing secara sihat lantas menghasilkan himpunan lagu lebih bermutu selepas ini.

"Dalam soal ini, orang lama yang sepatutnya kena memperbaiki diri demi kemajuan masing-masing. Kita harus lari bersama dengan artis lebih muda kalau tidak mahu terus berada di takuk lama," jelas Adibah yang cukup menerima dengan lapang dada kemunculan kumbang dan bunga baru di laman seni.

Berpengalaman lebih sedekad menjulang AIM bersama tenaga produksi pada hierarki tertinggi profil seni, Afdlin dengan perasaan senang hati, menonton langkah demi langkah acara berprestij itu tanpa mengenal erti jemu.

"Saya bersyukur kerana sempat tengok AIM dari dua generasi lepas hingga ke saat ini.

"Bermula zaman bapa sampai anak pula tercalon dalam majlis penganugerahan ini.

"Paling penting, inilah semangat yang kita mahukan. Secara tidak langsung, ia menunjukkan muzik tanah air tidak mati seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak. Biarlah apa jua orang lain ingin buat, kita sebagai penggiat seni dan peminat kena bekerjasama menyokong antara satu sama lain.

"Banyak perubahan yang berlaku pada AIM demi menonjolkan kelangsungan industri ini.


NAZRUDIN atau Naz bertanggungjawab mengendalikan segmen karpet merah.


"Kalau dahulu hanya album penuh boleh dipertandingkan, kini single telah mencukupi untuk menilai karya anak seni di negara ini.

"Kalau tiada acara seperti ini, maka tiada tempat sepatutnya anak-anak seni mahu mencuba bakat sekali gus mencapai populariti lebih tinggi. Kerana itulah majlis berskala besar ini perlu diadakan setiap tahun.

"Kalau ditakdirkan selepas ini saya tidak lagi mengacarakan AIM, saya mohon agar ia dapat dijalankan seperti biasa. Ia masih relevan untuk menjalankan fungsi sebenarnya," luah Afdlin dalam nada beremosi mengaitkan sinonimnya diri dengan acara berkenaan.

AIM bagi Adibah, diterjemahkan sebagai gelanggang peperiksaan khusus kepada calon-calon pelajar meneruskan pembelajaran pada tahap selanjutnya.

"Contohnya kita sekadar belajar di sekolah tanpa ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun Penilaian Menengah Rendah (PMR). Pasti kurang berpuas hati kerana kita tidak boleh bersaing dengan orang lain sambil melihat kemampuan sendiri.

"Dengan adanya AIM, para pemuzik dan artis boleh berlumba-lumba selepas ini untuk hasilkan karya lebih bagus berbanding sebelum ini. Kita juga yang rasa bangga jika punya karyawan hebat bukan?" soal Adibah yang mengacarakan acara itu sejak empat tahun lalu.

Menyarungkan dua busana indah rekaan Calvin Thoo, Adibah menyatakan sedikit kegentaran memulakan dan mengakhiri tirai AIM.

"Kalau bercakap soal mengacara, saya tidak ada sebarang masalah dengan Afdlin kerana kami sudah serasi bersama sebagai hos. Cuma kami kena tumpukan lebih pada pembukaan dan penutup majlis ini.

"Lain betul dengan saya berdiri menyanyi dan berlakon di atas pentas. Sebab kali ini, saya kena bercakap dengan kawan-kawan seperjuangan dalam bidang seni. Jujur, kami berasa janggal.

"Untuk meredakan perasaan kurang enak ini, biasanya kami akan berlawak spontan lebih-lebih lagi saya dan Afdlin tahu kisah salah seorang artis yang duduk di kerusi penonton. Daripada situlah kami akan berjenaka.

"Selain itu, saya hanya mengikut pada garis panduan yang disediakan Afdlin sebagai pembuat skrip. Kami kena sehaluan dalam berbicara. Kalau tidak, nampaknya terjadilah insiden salah satu pihak keliru dengan apa yang dituturkan," jelas Adibah yang ingin meremajakan AIM17 ditambah ia disertai oleh banyak pemuzik muda.

Biarpun memiliki banyak pengalaman, ia tidak menjadi perkara perlu dipandang enteng oleh Afdlin. Tuturnya, sebagai juruacara yang bagus, mereka harus melakukan yang terbaik dari semasa ke semasa.

Sentiasa fikir kemungkinan besar, ini AIM terakhir yang bakal dilibatkan saya. Untuk mahukan kepuasan diri, saya kena tunjukkan sepenuh energi berada di atas pentas," ujar Afdlin yang tidak mengamalkan sikap terlebih yakin kerana ia mampu memakan diri kelak.


AFDLIN meramalkan AIM17 akan didominasi oleh bakat baru yang pada pemikirannya begitu berbakat besar.


Nazri, Yasmin di karpet merah

Nazri, Yasmin di karpet merah

Bagi Nazrudin Habibur Rahman atau Naz, peluang mengacarakan program karpet merah AIM untuk kali kedua pasti menjadi kenangan termanis kepada dirinya. Tidak menganggap ia sebagai tugas mudah, nyata ada sedikit kegentaran cuba merasuk mindanya.

"Cabaran pertama disebabkan rancangan ini disiar secara langsung. Keduanya, saya berdepan masalah waktu singkat dengan 30 minit diperuntukan untuk interviu artis-artis sedang berjalan di permaidani merah.

"Oleh itu, saya kena buat persediaan rapi tanpa ada masa hendak melalut. Kalau bercakap soal pengacaraan, saya tidak menghadapi tekanan ditambah keserasian dengan teman pengacara, Yasmin Hani pantas wujud.

"Rancangan karpet merah ini perlu diacarakan secara santai. Disebabkan ia tidak ada skrip, saya dan Yasmin kena guna kebijaksanaan sendiri bergantung pada situasi esok malam," jelas Naz yang sebelum ini diganding dengan Sazzy Falak dan Awal Ashaari dalam program sama.

Mengacarakan program sulung, Post Party AIM17 tidak terkecuali membuatkan hati pendatang baru, Rusdiana Rusdi gementar dan gundah-gulana.

"Pertama kali kendalikan rancangan ini yang juga baru bersiaran, sudah pasti saya rasa bimbang. Selama ini saya membesar dengan acara penganugerahan tersebut, kemudian saya dapat peluang keemasan jadi salah seorang hos.

"Biarpun tugas saya tidaklah sehebat ibarat hos AIM, Afdlin dan Adibah, hakikatnya saya percaya segmen post party ini tetap ada kepentingan tersendiri. Selain di depan kamera, penonton juga ingin lihat apa yang berlaku di sebalik tabir," jelasnya yang bakal menyarungkan busana indah rekaan Calvin Thoo.

Kepada peminat dan seluruh penggiat seni, jangan lupa menyaksikan AIM ke-17 yang bakal dipancarkan secara langsung esok di ntv7 bermula pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: