
KUALA LUMPUR - Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady) tidak akan menaikkan harga produknya sehingga Ogos atau September, demikian jaminan Pengarah Urusannya, Bas van den Berg kepada penggunanya.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga, tetapi saya tidak boleh berjanji tidak akan berlaku sebarang kenaikan.
"Itu amat bergantung kepada perkembangan dalam tiga hingga empat bulan akan datang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini semalam.
Van den Berg menjelaskan, Dutch Lady berupaya mengekalkan harga produknya kerana ia telah memesan ke hadapan bahan-bahan mentah tenusu antara Ogos atauSeptember.
"Kami telah melihat kenaikan ketara harga bahan mentah dalam enam bulan kebelakangan ini dan berdasarkan kepada keadaan semasa, kami menjangkakan kenaikan selanjutnya tahun ini," katanya.
Beliau menerangkan, harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) setan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) setan metrik dalam suku keempat tahun lepas.
"Sejajar dengan prospek positif ekonomi Malaysia, kami menjangkakan pertumbuhan besar pasaran tenusu.
"Keyakinan pelabur semakin meningkat dan ini dapat dilihat daripada tindak tanduk pengguna," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: