Wednesday, May 5, 2010

Haramkah kutip cukai?


Islam membenarkan kerajaan mengutip cukai daripada rakyat untuk pembangunan negara.


MENJELANG April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan sesak dengan para pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara.

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan sama ada yang diperoleh melalui sektor awam atau swasta.

Ia juga tanda penghargaan mereka kepada kemakmuran yang dinikmati. Tanpa kemakmuran Malaysia, mustahil mereka boleh mencapai pendapatan yang berguna untuk kehidupan mereka. Ringkasnya hubungan antara pembayar cukai dengan kemakmuran negara umpama simpulan rantai yang saling bertimbal balik dan tidak mungkin dipisahkan.

Namun begitu, ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat.

Mereka juga berhujah melalui hadis nabi SAW: "Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad)."

Hadis tersebut seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN mengutip cukai bagi pihak kerajaan sebagai haram dan zalim. Ia juga membayangkan semua kakitangan LHDN turut bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga.

Sebenarnya hadis di atas perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan.

Pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.

Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi antara orang miskin dan kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada lapan asnaf sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Taubah: 60)

Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.

Berbeza halnya dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti jizyah - cukai kepala kepada golongan bukan Islam (al-Taubah: 29), ghanimah: harta rampasan perang (al-Anfal: 1), khumus: 1/5 daripada keseluruhan ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul (al-Anfal:41) dan Fi': harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran (al-Hasyr: 6-7).

Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada khumus kepada pengurusan negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.

Saidina Umar al-Khattab semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10 peratus yang dipanggil usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari negara musuh), lima peratus kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam) dan 2.5 peratus kepada peniaga Muslim (Muwatta' Malik & Sunan al-Bayhaqi).

Pengurangan cukai diberi kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.

Mekanisme cukai yang dibuat oleh Umar itu untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak.

Berpegang kepada zahir hadis yang menyatakan "pengutip cukai tidak akan masuk syurga" tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Saidina Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga.

Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin syurga (Sunan Abu dawud, al-Tirmidzi, Musnad Ahmad).

Ia juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafah al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadis yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif (Sahib Muks).

Ringkasnya, perkataan muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan konco-konconya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana sepatutnya.

Jurang ekonomi

Akibat daripada cukai sebegitu jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai tersebut.

Menurut majoriti ulama, pelaksanaan cukai oleh pemerintah sebenarnya berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai masalih al-mursalah, iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-sunnah.

Pendek kata, cukai menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga.

Islam menegaskan bahawa para pemerintah wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Sabda nabi SAW: Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mendengar dan mematuhi arahan pemimpin sama ada yang disukai atau dibenci (akan arahan itu) selagi mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat, apabila mereka menyuruh melakukan maksiat, maka tiada boleh lagi mendengar dan taat. (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Kepatuhan kepada pemimpin dijelaskan lagi oleh al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (al-Nisa': 59).

Contoh terbaik bagi menimbulkan semangat patriotisme kepada negara dalam konteks membayar cukai, adalah kisah peperangan Tabuk yang berlaku pada musim panas tahun ke 9 Hijrah.

Demi menjaga kedaulatan Negara Islam Madinah, baginda Rasulullah SAW mengerahkan penduduk Islam Madinah ke sempadan Syam (Tabuk) bagi menyekat kemaraan tentera Rom yang berhasrat menakluk Madinah.

Misi perang Tabuk bukan hanya melibatkan pengorbanan jiwa raga, bahkan lebih utama lagi melibatkan pengorbanan harta.

Surah al-Taubah yang merekodkan peristiwa perang ini mengarahkan umat Islam Madinah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa raga mereka.

Cara al-Quran yang mendahulukan sebutan jihad dengan harta sebelum jihad dengan jiwa jelas membuktikan keutamaan sumbangan harta kepada negara mengatasi perkara lain (al-Taubah: 44,81 & 88)

Teori ini disokong lagi oleh ayat-ayat lain dalam al-Quran yang juga mendahulukan jihad harta sebelum jihad jiwa (al-Nisa': 95), (al-Anfal: 72), (al-Taubah: 20) dan (al-Hujurat: 15).

Allah mencela sikap kedekut sesetengah orang Islam yang enggan membelanjakan hartanya untuk mengisi dana perang. Firman Allah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)...(al-Baqarah: 195).

Pembayaran cukai kepada negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta. Sebabnya, keselamatan negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.

Setiap sen yang disumbangkan kepada negara dalam bentuk cukai seumpama sedekah jariah kepada negara yang telah berjasa sekian lama memayung kita.

Apabila membayar cukai, kita mesti menanamkan rasa bangga dengan kemajuan negara seperti bangganya seorang ayah atas kejayaan anaknya. Si ayah tanpa segan silu akan berkata: "Itulah anak saya. Kejayaannya itu adalah hasil titik peluh saya yang mendidiknya semenjak kecil."

Dalam konteks negara, dialog itu dibayangkan berbunyi: "Inilah Malaysia yang makmur hasil daripada sedekah jariah saya dalam bentuk cukai kepadanya. Saya mempunyai saham dalam setiap inci kemajuan yang dimiliki oleh bumi Malaysia."

2 comments:

  1. Cukai Adalah Sumber Pendapatan Dalam Dunia Kapitalisme. Ianya Haram Di sisi Islam.
    Ahad, 27 Disember 2009 13:38
    LHDN yakin kutip RM86b

    KUALA LUMPUR 23 Dis. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yakin mampu mencapai sasaran kutipan cukai berjumlah RM86 bilion bagi tahun ini.

    Ini berdasarkan jumlah kutipan kasar sehingga kelmarin yang mencecah RM85 bilion atau 98.85 peratus.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sasaran berkenaan dijangka berjaya dicapai kerana masih ada segelintir syarikat besar yang belum menjelaskan bayaran cukai masing-masing.

    "LHDN menjangka untuk menerima pembayaran daripada syarikat besar berkenaan dalam tempoh beberapa hari menjelang berakhirnya tahun 2009. LHDN hanya kekurangan RM989 juta untuk mencapai sasaran kutipan kasar RM86 bilion yang diunjurkan oleh Perbendaharaan sepanjang 2009," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Perancangan Strategik 2009-2013 dan Buku Pelan Integriti LHDN di pejabat di sini hari ini.

    Sumber: Utusan Malaysia, 24/12/09

    Cukai Adalah Sumber Pendapatan Dalam Dunia Kapitalisme. Ianya Haram Di sisi Islam.

    Inilah dunia Kapitalisme. Sumber pendapatan yang paling besar bagi negara Kapitalis datang dari kutipan cukai. Lihatlah betapa besarnya jumlah cukai yang telah berjaya dipungut oleh kerajaan sekular hari ini. Dan yang pastinya jika GST diperkenalkan kelak oleh pihak kerajaan maka jumlah pendapatan negara hasil dari kutipan cukai akan pasti terus meningkat dan hakikatnya dalam masa yang sama rakyat akan terbeban dengan cukai yang dikenakan oleh pemerintah sekular yang ada pada hari ini. Ini berbeza dengan Islam. Sumber pendapatan negara bukannya datang dari cukai sepertimana yang diamalkan oleh Malaysia dan negara Kapitalis yang lain. Islam secara jelas melalui lisan RasulNya telah menyebut: Rasulullah SAW telah bersabda,

    “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

    Dan dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda,

    “Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

    Hadis ini menunjukkan bahawa cukai bukan sahaja haram untuk dijadikan pendapatan negara, malah sesiapa sahaja (termasuk individu) yang memungut cukai, maka tempatnya adalah di neraka. Namun, kerajaan Kapitalisme yang ada pada hari ini tidak pernah takutkan ancaman dan azab Allah di mana mereka langsung tidak mempedulikan peringatan dari hadis-hadis ini.

    Sumber pendapatan Negara Islam telah pun ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, antaranya Ghanimah, Fai’, Kharaj, ‘Usyur, Khumus, Rikaz, Jizyah dan lain-lain. Sumber-sumber ini merupakan sumber yang diredhai oleh Allah SWT dan pasti tidak akan menzalimi rakyat, tidak seperti cukai yang diterapkan di dalam sistem hari ini, yang bukan sahaja merampas harta rakyat, malah akan membawa pemerintah ke neraka (berdasarkan hadis di atas). Itulah ‘hadiah’ dari Kapitalisme, sebuah ideologi yang rosak, yang bukan sahaja akan membinasakan negara, malah diri pemimpin itu sendiri. Bukankah sudah tiba masanya untuk kita membuang segala hukum kufur ini dan menggantikannya dengan sistem Islam?

    ReplyDelete
  2. boleh belah anon atas nie... nak masuk penjara ke kerana mempersoalkan sistem kerajaan dan kewangan malaysia yang dah lama bertapak nie... kalau kau harap PAS nak berkuasa jangan mimpilah!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: