Wednesday, May 5, 2010

Butik Poya bukti kesungguhan Adilah


Adilah Ahmad Khairudin bangga dengan kejayaan mengurus butik Poya.


JIWA Adilah Ahmad Khairudin sememangnya sudah sebati dengan dunia perniagaan. Justeru walaupun setelah empat tahun bekerja di sebuah syarikat pengiklanan seperti masih ada suatu kekosongan dalam jiwanya.

Nekad mengikut kata hatinya, Adilah sanggup meletak jawatan. Tiada sekelumit rasa kesal kerana sememangnya sudah lama dia memikirkan untuk bekerja sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.

Baginya jika dia tidak memulakandari sekarang, sampai bila pun apa yang dicita-citakan tidak akan tercapai.

Keputusan untuk berniaga turut disokong oleh ibu bapanya. Dorongan ibu agar dia meneruskan kesinambungan perniagaan butik yang dimulakannya sejak tujuh tahun lalu menjadi pembakar semangat.

Peribahasa 'ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi' memang tepat dan benar. Darah berniaga yang mengalir dalam jiwanya harus dipupuk seawal mungkin.

Julai tahun lalu, Adilah diberikan tugas dan amanah untuk menguruskan perniagaan butik Poya yang diasaskan oleh ibunya di pusat membeli belah Bangsar.

Bukan mudah bagi gadis semuda Adilah menguruskan butik di pusat membeli belah elit dan eksklusif yang lazim dikunjungi oleh wanita-wanita ternama dan golongan berkemampuan.

Namun setelah sembilan bulan berlalu, gadis berusia 27 tahun ini berjaya membuktikan bahawa dia mampu menguruskan butiknya.

''Kebanyakan pelanggan yang datang merupakan pelanggan tetap yang telah biasa membeli baju di butik ini. Tidak sukar melayan mereka walaupun kebanyakan mereka lebih kurang sebaya dengan ibu saya.

''Jika dahulu mereka berurusan dengan ibu tetapi kini mereka berurusan dengan saya pula dan sokongan yang diberikan begitu menggalakkan,'' ujar gadis manis yang memiliki ijazah dalam bidang pemasaran Universiti Multimedia Malaysia (MMU) ini.

Menurut Adilah, persamaan yang terdapat antara dia dan ibu yang gemar bergaya, banyak membantunya menguruskan butik tersebut.

Malah pelbagai rekaan baju yang terdapat di butik itu adalah hasil sentuhan Adilah sendiri dengan dibantu oleh beberapa pereka fesyen daripada luar.

Kebanyakan fesyen yang terdapat di Butik Poya berciri tradisional tetapi dipermodenkan bagi disesuaikan dengan majlis-majlis yang hendak dihadiri.

''Rekaan baju yang terdapat di sini boleh dipelbagaikan pemakaiannya.

"Contohnya jika hendak ke majlis perkahwinan, baju boleh dipakai dengan kain atau jika hendak ke majlis minum petang digayakan pula dengan seluar panjang atau palazzo. Tidaklah membazir jika baju itu boleh dipakai ke beberapa majlis.

''Selain itu, ibu dan anak yang sama saiz boleh berkongsi baju dengan hanya mengubah sedikit cara pemakaian. Jika si ibu memakai sehelai baju syifon yang jarang dengan baju dalam panjang (inner), si anak pula boleh menggayakan bersama tiub dan seluar ketat panjang.

''Lagi pun banyak saiz boleh diperoleh seperti saiz yang sukar untuk remaja yang meningkat dewasa, saiz terlalu besar sehingga XXXL atau bagi yang bertudung, boleh disesuaikan dengan tudung yang terdapat di sini.

"Paling penting baju-baju di Butik Poya ini adalah eksklusif kerana satu rekaan hanya ada sepasang sahaja,'' ujar Adilah yang berasal dari Terengganu ini.

Adilah gemar bermain dengan fabrik yang disuai padan seperti fabrik China dipadankan dengan fabrik India dan sebagainya agar setiap rekaan mempunyai kelainan.

Fabrik yang selesa, cantik dengan rona warna terkini menjadi pilihan beliau kerana memahami pelanggan yang tidak mahu rekaan yang sama dengan butik lain.

Katanya, pada masa kini, pelanggan begitu menyukai fabrik warna lembut yang mempunyai dua tona warna.

Keistimewaan lain yang boleh didapati di sini ialah, beliau mengembalikan semula nostalgia rekaan kurung lama yang berpoket empat segi di depan supaya generasi muda mengetahui bahawa itulah baju kurung lama yang dipakai oleh nenek moyang mereka dahulu.

Baju kurung corak kekotak juga turut digemari pelanggan kini.

Beliau menambah, baju rekaan kaftan kini kembali menjadi trend. Ini dapat dilihat pada kebanyakan rekaan yang berinspirasikan daripada kaftan dan dihiasi dengan perincian seperti jahitan manik di bahagian leher yang begitu cantik dan menarik perhatian pelanggan.

Bagi menambah gaya, pelanggan mempunyai banyak pilihan aksesori yang unik dan klasik daripada perak dan tembaga yang cantik dipakai bersama kebaya atau pakaian kasual.

Menurutnya, Butik Poya bukan hanya dikunjungi oleh pelanggan Melayu malah mempunyai beberapa pelanggan tetap daripada bangsa lain yang mencari baju kurung atau kebaya untuk menghadiri majlis perkahwinan atau majlis rasmi.

Selain boleh membeli baju yang telah siap di sini, pelanggan juga boleh menempah baju kurung, kebaya, jubah atau jahitan manik.

Beliau berkata, bekerja dalam bidang fesyen sangat menarik. Semakin lama semakin banyak ilham yang dapat dicurahkan bagi menghasilkan lebih banyak rekaan mengikut cita rasa pelanggan.

Justeru Adilah sentiasa melayan pelanggan dengan baik bagi mendapatkan maklum balas yang dapat memperbaiki kekurangan yang ada.

Katanya, bagi mengembangkan lagi perniagaan dan memenuhi permintaan pelanggan, Butik Poya kini telah membuka sebuah lagi cawangan di gedung membeli-belah Empire Gallery di Subang Jaya.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Butik Poya, boleh menghubungi 03-20946842 atau melayari laman sesawang www.poya.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: