Wednesday, May 26, 2010

Habuan pengusaha tamak

SEREMBAN – Sikap tamak mungkin mendorong pengusaha dua kafe siber di sekitar bandar ini melanggar peraturan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Operasi dijalankan sepasukan 20 anggota penguat kuasa dan kakitangan Jabatan Perlesenan MPS petang kelmarin mendapati, seramai 18 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berada di dua premis terbabit tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Jurucakap MPS berkata, seramai 10 remaja didapati berada dalam sebuah kafe siber di Taman Komersial Senawang dekat sini, semasa operasi dijalankan.

“Manakala, baki lapan remaja dan kanak-kanak dicekup ketika sedang leka menggunakan komputer di sebuah premis lain di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

“Pengusaha dua kafe siber terbabit dikenakan kompaun kerana melanggar syarat lesen perniagaan,” katanya di sini, semalam.

Manakala, menurut beliau, dua premis kafe siber lain di Taman Sri Pulai 3, Sikamat dan Taman Desa Anggerik, Senawang dikesan beroperasi tanpa lesen perniagaan.

Menurutnya, sebanyak 60 komputer di dua premis berkenaan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan undang-undang.

“Operasi dijalankan hasil maklumat dan aduan orang ramai dan diteruskan dari masa ke masa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: