Friday, May 28, 2010

Gudang terbakar, kerugian RM17 juta


ORANG RAMAI melihat keadaan sebuah gudang barangan runcit yang musnah terbakar di kawasan perindustrian Kampung Kolam di Padang Besar, Perlis semalam.


PADANG BESAR - Lima letupan kuat menggegarkan pekan ini selepas sebuah gudang menyimpan barangan runcit di kawasan perindustrian Kampung Kolam di sini terbakar tengah malam semalam.

Kebakaran yang bermula kira-kira 12.30 malam itu menyebabkan api menjulang setinggi 30 meter yang dapat dilihat sejauh hampir lima kilometer dari tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk, Mohd. Shariffuden Kamarulzaman, 22, dia dikejutkan dengan letupan kuat ketika berada di rumahnya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari gudang itu.

"Saya melihat api menjulang tinggi dari arah pekan Padang Besar dan apabila sampai di tempat kejadian orang ramai sudah berpusu-pusu di situ," katanya yang tinggal di Felda Mata Air, dekat sini.

Pemilik gudang tersebut, Yap Yien Sien, 23, berasa sedih kerana usaha keluarganya berniaga selama 30 tahun sehingga dapat memiliki sebuah gudang musnah sekelip mata.

"Kerugian lebih RM17 juta dan semua dokumen turut musnah dan ia menyukarkan kami menuntut hutang daripada pelanggan untuk memulakan semula perniagaan," ujarnya.

Tambah beliau, beberapa hari sebelum kebakaran, gudang yang telah beroperasi selama 10 tahun itu baru menerima stok barangan untuk dijual semasa bulan Ramadan dan Hari Raya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: