TIDAK bertanggungjawab dan liat membayar keringat artis oleh pihak syarikat rakaman mahupun penerbitan filem masih berlaku dalam industri seni di Malaysia.
Terbaru, dua artis popular, Yasmin Hani dan Lana Nordin menerusi syarikat pengurusan mereka, Aquila Emas Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap syarikat produksi Secondlife Picture Sdn. Bhd.
Saman diambil kerana syarikat terbabit didakwa enggan membayar baki khidmat lakon mereka menerusi filem seram Gentayangan yang dibikin pada awal 2008.
Saman serupa turut difailkan oleh Aquila Emas terhadap Sketch Seven Sdn. Bhd. bagi menuntut baki bayaran RM3,000 untuk seorang lagi pelakon jagaan mereka, Tania Zara bagi lakonan menerusi filem Uncle Usin dua tahun lepas.
Tuntutan saman berjumlah RM23,800 terhadap kedua-dua defendan itu dibuat melalui Tetuan Palaya & Partners.
Notis saman telah difailkan pada 18 dan 29 April lalu dengan pihak Aquila Emas yang diwakili Pengarah Urusannya, Syarizan Md Isa bersama peguam, Yasmin dan Lana hadir sekali lagi ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi mendapatkan tarikh perbicaraan kes tersebut.
Sensasi Bintang: Sebenarnya berapa jumlah baki hutang syarikat terbabit kepada Yasmin, Lana dan Tania?
SYARIZAN MD ISA: Mereka (Secondlife Picture) masih berhutang kira-kira 40 peratus baki bayaran kepada artis kami, RM12,000 kepada Yasmin dan Lana sebanyak RM8,800 manakala baki bayaran Sketch Seven kepada Tania sebanyak RM3,000.
Kenapa hanya kerana bayaran yang tidak begitu besar jumlahnya, perkara ini dibawa ke mahkamah?
SYARIZAN: Bukan kami tidak pernah bertindak. Dalam tempoh dua tahun lalu, sudah dua kali kami menghantar surat amaran kepada syarikat terbabit, namun tiada sebarang respons.
Kami cuba menemui pihak produksi di pejabat mereka tetapi tidak berhasil. Itu tidak termasuk panggilan telefon yang dibuat. Semuanya menemui jalan buntu.
Saya anggap ini jalan terbaik untuk membela nasib artis jagaan kami sebagai bukti kami sebuah syarikat profesional yang tidak boleh ditendang ke sana ke mari.
YASMIN: Sebenarnya duit bukan perkara utama, saya mahu pihak produksi tahu bahawa golongan artis tidak boleh dipersendakan.
Selama ini mereka mempermainkan kami, sudahlah status filem yang dibikin tiada sebarang perkembangan.
Sejak habis penggambaran sampai sekarang kami tidak tahu status filem berkenaan. Saya sangat berharap agar filem itu dapat ditayangkan. Ini tidak, bergentayangan entah ke mana sama macam duit kami.
LANA: Memang setelah kerja dilunaskan kami mahukan duit tapi kami mahu masyarakat tahu kepayahan kami semua. Macam-macam dugaan termasuk kena tipu dan bekerja tanpa bayaran.
Mungkin tindakan kami ini sebagai satu amaran kepada mana-mana syarikat produksi. Kalau kami boleh ikut kontrak kenapa mereka tidak ikut kontrak yang telah ditandatangani.
|
|
Adakah kalian faham isi kandungan kontrak tersebut?
SYARIZAN: Ikut kontrak, syarikat produksi harus menyelesaikan semua bayaran sebaik sahaja tamat penggambaran.
Kami tidak tahu apa masalah mereka dan kami telah cuba memberi mereka ruang, tetapi nampaknya mereka langsung tidak menghiraukan rayuan kami.
YASMIN: Sudah tentu saya faham isinya. Kalau tidak faham sekali pun, saya ada syarikat pengurusan yang lebih arif dalam soal kontrak dan bayaran.
Bagaimana perasaan Yasmin dan Lana apabila diperlakukan sebegitu rupa?
YASMIN: Ini pertama kali saya kena berdepan perkara sebegini. Memang sedih sebab semasa di lokasi, saya berikan yang terbaik dan semua aksi lagak ngeri saya lakukan sendiri.
LANA: Saya anggap Gentayangan sebagai filem pertama saya. Saya kecewa dan sedih sebab filem itu belum ditayangkan. Entah siap atau tidak, saya tidak tahu. Kemudian terjadi pula perkara begini.
Kalau beginilah sikap sesetengah produksi, macam mana industri penerbitan kita hendak berkembang?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: