Sunday, May 2, 2010

Nafas kencang AIM17


MUKA-MUKA pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-16 yang berlangsung tahun lalu. Adakah malam ini ada wajah yang sama akan naik lagi ke pentas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menjulang trofi yang dipertandingkan?


MENUKAR atmosfera zaman gelap atau tahun 'sakit' yang menjadi virus pada Anugerah Industri Muzik 2008, ironinya Anugerah Industri Muzik untuk karya 2009 membayangkan satu musim bunga kepada iklim panas dan lembab muzik tempatan.

Saban tahun diadakan, sampai juga ke edisi ke-17. Realiti penganjuran AIM itu sendiri menandakan karya anak seni muzik tanah air terus bergulir walau ada yang pernah menjangkakan seni muzik Malaysia sedang nyawa-nyawa ikan.

Tidak kurang juga yang menyelar bahawa malam pengiktirafan karyawan muzik itu sebagai tidak lagi relevan berdasarkan jumlah produk yang tidak layak disebut industri.

Namun, menyelak jumlah penyertaan ke AIM tahun ini, ada bukti menunjukkan anak-anak seni Malaysia tidak pernah kalah bahkan semakin berani bermain dalam arus muzik yang semakin kencang.

Daripada pandangan kasar, tahun ini AIM telah menjangkau kepada satu tahap yang memberangsangkan. Peningkatan 30 peratus dalam penghasilan seni dan tahun paling banyak AIM menerima pencalonan iaitu sebanyak 925 pencalonan berbanding 707 tahun lalu.

Dalam langkah yang lebih berdetap bunyinya, AIM17 juga mengundang satu lagi sisi positif.

Berdasarkan rekod capaian AIM16, hanya 54 buah album dicalonkan dan ia merupakan jumlah terendah dalam sejarah penganjuran AIM selain turut menyaksikan penurunan pencalonan sebanyak 40 peratus berbanding AIM15.

Bayangkan betapa 'miskinnya' khazanah muzik tempatan dua tahun lalu berbanding tahun lepas.

Ketika ramai karyawan 'menangis' kerana produk tidak laku, ironinya sepanjang 2009, perkembangan pasaran industri muzik tempatan telah meningkat sebanyak 34 peratus dengan mencatat keuntungan sebanyak RM102 juta sedangkan pada 2008, dagangan muzik Malaysia berkisar pada jumlah RM76 juta sahaja.


SELAIN tercalon untuk kategori Artis Baru Terbaik, Yuna tampil dengan tiga lagi pencalonan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Inggeris Terbaik dan bersaing dengan Aizat yang tercalon dalam satu-satunya kategori Lagu Pop Terbaik.


Anak Muda

Daripada jumlah itu, pasaran jualan muzik digital yang merangkumi muat turun nada dering dan Internet telah meningkat sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM30 juta.

Manakala jualan album fizikal yang merangkumi cakera padat (CD), kaset, VCD dan DVD mencatatkan peningkatan sebanyak 28 peratus dengan jumlah RM72 juta.

Itu satu anjakan dari segi kuantiti tetapi bagaimana pula dengan kualiti produk yang terhasil?

Langkah memperkenalkan kategori single sejak tahun lalu dikenal pasti sebagai faktor kemeriahan kepada acara penganugerah milik Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) ini. Namun, pertambahan dari segi kuantiti tidak bermakna kualiti produk turut meningkat.

AIM17 nyata masih berada di atas paras yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Perkara itu diakui pihak penganjur AIM.

"Walaupun jumlah pencalonan kita berada di tahap yang tinggi, namun, rata-ratanya tidak menampakkan peningkatan dari segi kualiti.

"Banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki sama ada produksi ataupun penulisan lagu.

"Sebabnya, tidak ramai yang melabur untuk melahirkan muzik yang berkualiti.

"Begitu juga kerana sudah kurangnya penulis serta komposer muzik yang bagus, tidak seperti zaman kegemilangan muzik tempatan 10 tahun lalu.

"Itu pandangan umum oleh juri walaupun tetap ada lagu-lagu yang menyinar tahun ini," luah Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Datuk Aziz Bakar pada sidang media mengumumkan senarai Top 5 AIM 17 baru-baru ini.

Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, himpunan lagu anak muda yang lebih bervariasi sering ke udara di radio dan menjadi himpunan lagu-lagu terpilih untuk pertandingan.

Malah mendaki ke satu tanda aras yang berlangsung Januari lalu apabila Anugerah Juara Lagu membuktikan nyanyian dan material anak muda menjadi pilihan dalam majoriti lagu yang dipertandingkan.

Tempias yang serupa juga mengena pada AIM. Melihat tentera muda yang bakal berjuang malam ini, nama anak-anak muda yang berjaya tampil dengan kelainan dan variasi lagu menghadirkan prediksi bahawa aliran penghasilan material di Malaysia sedang beralun dengan pengkaryaan yang segar dan baru.

Memerhatikan senarai pencalonan akhir yang disertai oleh ramai pemuzik baru serta indie, perubahan struktur itu satu petanda baik untuk mengimbangi semula industri.

Kemasukan artis baru yang mampu menggubah serta menulis lagu sendiri juga membantu menceriakan industri.


DATUK Siti Nurhaliza tidak pernah kalah dengan artis baru. Tahun ini Siti tercalon untuk lima kategori, dua daripada album Tahajjud Cinta dan tiga lagi daripada album CTKD.


Senario sebegitu jarang berlaku dalam edisi AIM terdahulu. Jarang ditemui artis yang lahir bersama pakej 'karyawan' sekali gus, boleh menyanyi, menggubah dan menulis lirik lagu sendiri.

Kemampuan yang ditunjukkan penyanyi serta grup seperti Yuna, Faizal Tahir, Azlan and The Typewriter, Aizat, Bunkface, Meet Uncle Hussain dan Hujan meruntuhkan imej kerendahan ilmu yang selama ini sering ditujukan kepada kebanyakan penyanyi tanah air.

Kehadiran 'genius-genius' muzik itu jika bercambah lagi kepada benih-benih baru yang sedang mencuba hidup dalam kancah industri muzik Malaysia pada hari muka, maka tidak mustahil AIM kelak akan berada di tahap perusahaan yang benar-benar sukses.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: