|
|
MELIHAT kepada layanan yang diberikan kepada Faizal Tahir sewaktu di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang sempena pelancaran album keduanya, Adrenalin tempoh hari tidak ubah seperti seorang bintang rock terkenal.
Manakan tidak, sebaik sahaja tiba di hotel bertaraf lima bintang itu, Faizal berpeluang melalui karpet merah yang sudah terhampar untuknya di samping sambutan serta sorakan peminat yang sedari awal menunggu.
Tidak cukup dengan itu, Faizal juga diberi keistimewaan apabila hotel ternama itu menerusi kafe popularnya, Hard Rock Cafe menyediakan set menu khas, Adrenalin yang merangkumi burger dan minuman istimewa khusus bagi meraikan pelancaran album tersebut.
Hebat sungguh penangan Faizal sehingga diberi layanan kelas pertama sedemikian rupa yang rasanya belum pernah dinikmati oleh artis yang baru setahun jagung di dalam industri muzik sepertinya.
Adakah ia juga memberi petanda bahawa Faizal kini sudah bertaraf bintang rock apabila dia hanya perlu memetikkan sahaja jarinya dan semuanya akan terbentang di depan mata?
Bukan itu sahaja, dengan apa yang dinikmati oleh anak jati Kuala Lumpur ini sepanjang tiga hari di Pulau Mutiara itu juga memberi gambaran bahawa Faizal ialah anak emas syarikat rakamannya, Monkey Bone.
Duduk berbual dengan Faizal sejurus selepas pelancaran album Adrenalin, dengan tenang dia menafikan segala dakwaan dan spekulasi yang dilemparkan kepadanya.
Dalam nada tenang, pelantun lagu Selamat Malam dan Sampai Syurga ini menjelaskan dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai anak emas apatah lagi untuk meletakkan statusnya sebagai seorang bintang rock.
Jelasnya, pelancaran album keduanya itu sudah lama dirancangkan iaitu sebelum album Adrenalin dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17), baru-baru ini.
Malah, tawaran juga datangnya daripada pihak hotel sendiri yang sudi untuk menaja selain mahu memberi pendekatan yang berbeza untuk pelancaran albumnya itu.
Kerana itu, dia benar-benar terharu dengan layanan baik dan sambutan daripada semua pihak di hotel tersebut sepanjang tiga hari berada di sana.
"Saya memang gembira kerana kemenangan Adrenalin di AIM17 berupaya mengekalkan momentum itu dengan berlangsungnya pelancaran album ini.
"Jujurnya, saya bukan anak emas kepada sesiapa dan juga tidak pernah membayangkan diri saya adalah seorang bintang rock.
"Perjalanan saya dalam bidang ini masih lagi jauh dan untuk memegang status seperti mana yang anda katakan itu (bintang rock), ia sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh akal saya sendiri dan belum masanya lagi untuk dilabelkan begitu.
"Namun, jika saya berdiri seorang diri, saya hanyalah seorang Faizal Tahir iaitu penyanyi, komposer dan penulis lirik seperti yang dikenali," luahnya jujur sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak hotel dan kafe Hard Rock selain syarikat rakamannya atas kelancaran aktiviti sepanjang tiga hari di Pulau Pinang.
Sebagai membalas jasa baik pihak hotel tersebut, Faizal telah menyerahkan dan menandatangani sebuah gitar miliknya yang ditempah khas untuk dipamerkan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang.
Untuk itu, Faizal menjadi artis tempatan ketiga selepas Ella dan Zainal Abidin yang berbuat demikian apabila barangan mereka dijadikan memorabilia untuk tatapan pengunjung restoran tersebut.
Membicarakan tentang soal anak emas pula, selama menjadi artis rakaman Monkey Bone, dia tidak pernah untuk meminta-meminta atau menuntut tawaran melampau sehingga tidak mampu ditunaikan oleh syarikat rakamannya.
Baginya, dia lebih senang dan selesa untuk membiarkan hasil kerja dan muziknya bercakap bagi pihak dirinya.
"Hanya dengan cara itu sahaja, Monkey Bone tahu apa yang saya mahukan dan hala tuju saya dalam bidang muzik yang cukup saya cintai ini.
"Selama dengan mereka, tidak pernah timbul sebarang masalah dan semuanya berjalan dengan lancar.
"Saya harus akui bahawa saya bangga dan bertuah kerana adanya Audi Mok sebagai mentor selain Ahmad Izham Omar yang banyak memberi peluang kepada saya meneroka bakat saya dalam bidang muzik," kata pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM15 ini dalam nada bersungguh.
Menyentuh tentang pasca kemenangan Adrenalin pula, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd. Tahir ini gembira dengan respons positif yang diterimanya.
Memang tidak dinafikan, kata Faizal, apabila album tersebut agar sukar untuk menembusi hati peminatnya yang masih lagi membandingkan Adrenalin dengan album pertamanya, Aku.Muzik.Kamu.
Lalu, apabila Adrenalin mencatatkan kejayaan besar di AIM17, ia sedikit sebanyak telah membuka mata peminat serta pencinta muzik khususnya untuk menikmati album tersebut.
Tambahnya lagi, perubahan yang ditonjolkan dalam Adrenalin adalah demi industri muzik dalam memberikan muzik yang variasi dan tidak statik.
Faizal juga sedar seandainya mahu mengecapi kejayaan, ia memerlukan kesabaran yang ditambah dengan sedikit pengorbanan.
"Itu yang mahu saya lakukan agar Adrenalin dapat diterima dengan baik oleh peminat saya dan salah satu caranya adalah dengan melakukan persembahan jelajah seluruh negara bagi mempromosikan album ini.
"Tahun ini saya sifatkan sebagai tahun untuk saya memberi semula kepada peminat selepas kejayaan yang saya kecapi selama empat tahun di dalam industri.
"Walaupun kini kita di dalam zaman teknologi dan moden, ada ketikanya kita masih lagi memerlukan cara lama untuk muzik kita sampai kepada peminat.
"Saya masih berpaksikan kepada cara itu dan sepanjang tahun ini, peminat akan dapat menyaksikan persembahan saya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang sudah lama tidak saya kunjungi," ujar penyandang naib juara One In A Million musim pertama ini penuh optimis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: