|
|
ALAM zaman kesuraman industri hiburan tanah air hari ini, rasanya ramai pihak tidak berani menanggung risiko tinggi mengadakan majlis pelancaran album secara besar-besaran. Apatah lagi, ketika ini ramai artis dan syarikat rakaman lebih selesa untuk menerbitkan single serta album kompilasi berbanding album baru yang belum tentu mencatatkan penjualan yang membanggakan.
Jika hendak dibandingkan dengan sedekad yang lalu, ketika itu senario industri hiburan memang meriah dengan penganjuran majlis pelancaran album yang berbeza-beza tema dan konsepnya. Lalu, apabila sekumpulan pihak media di bawa ke Pulau Pinang dan menginap di Hotel Hard Rock yang menjadi sebutan lewat ini bagi menghadiri majlis pelancaran album Adrenalin milik Faizal Tahir, ia memberi satu perasaan yang berbeza. Sudah terlalu lama pelancaran album untuk seseorang artis tidak diadakan di luar Kuala Lumpur. Teringat cerita teman-teman wartawan senior yang pernah melalui pengalaman serupa pada ketika industri muzik mengecapi zaman kegemilangannya satu ketika dulu. Dengan penginapan ditaja sepenuhnya oleh Hotel Hard Rock sepanjang tempoh tiga hari bermula 10 Mei lalu, majlis pelancaran album Adrenalin telah meninggalkan kenangan tersendiri. Kata Faizal, memang sudah lama dia mengidamkan majlis pelancaran album yang berbeza selain mahu membawa pihak media bercuti bersama-samanya. Malah jelasnya, tempoh tiga hari itu juga adalah masa yang terbaik untuknya memberi kembali kepada mereka yang banyak berjasa dalam membantu kerjaya seninya dari dulu hingga kini. "Selain itu, saya memilih untuk mengadakan pelancaran album di sini kerana saya mahu mengajak sekali teman media saya bekerja sambil bercuti. "Jadi, tidak adalah rasa tertekan sangat apabila bekerja," katanya yang masih lagi mampu mengukir senyuman biarpun penat menjalani latihan untuk persembahannya. Walaupun atas nama tugas, Faizal mengambil peluang itu untuk bercuti bersama-sama isterinya, Siti Raihanim Noran dan tiga orang anak mereka, Ahmad Mikaeel Zidane, 5; Siti Raudhah Nur Iman, 3, dan Ahmad Rifa'ie Zidane, setahun. Tidak mahu bercerita panjang lebar lagi, Hits mahu pembaca menatap rakaman gambar-gambar menarik sepanjang tiga hari berada di Pulau Pinang bagi menceritakan sendiri detik yang terakam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: