BUKAN sebab tamak dan mahu membolot kesemua lagu yang dihasilkan untuk 12 peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) , namun semuanya dianggap berlaku secara kebetulan.
Selaku komposer dan penulis lirik, Edry Abdul Halim tampil menyuarakan pandangannya untuk menjawab persoalan itu.
“Ini semua pemilihan pihak Astro yang dilakukan berbeza berbanding AF sebelum ini. Mereka mahu menghasilkan single terbaru para peserta terlebih awal.
“Mula-mula Norman menjadi pengetua AF8, dia dah bincang dengan saya dan Yusry tentang perkara ini. Namun, bukan saya sahaja yang mendapat peluang untuk menggubah lagu malah turut dibuka peluang kepada komposer lain.
“Saya cuma lakukan tugas yang diminta oleh pihak Astro. Setelah dinilai, mereka memilih kesemua lagu ciptaan saya,” katanya kepada mStar Online.
Semasa sidang media Konsert Akhir AF8 pada Sabtu lalu, Norman menjelaskan pihak Astro sendiri pada awalnya tidak mengetahui lagu-lagu yang terpilih itu adalah milik Edry.
“Banyak lagu yang diterima daripada pelbagai komposer termasuk Edry. Tetapi setelah mendengar lagu-lagu itu, mereka memilih semua lagu Edry tanpa mengetahui lagu itu adalah miliknya,” kata abang sulung Edry itu.
Jelas Edry, ini bukanlah kali pertama dia bekerjasama dengan pihak Astro Entertainment Sdn Bhd. Sebelum ini dia sudah berpengalaman menggubah lagu untuk alumni AF seperti Mila, Stacy, Adam, Mawi, Marsha dan Dafi.
Menyentuh tentang sebalik tabir pembikinan lagu dan video untuk pelajar-pelajar AF8, Edry berkata dia menghabiskan masa selama dua setengah hari bagi menyiapkan 12 buah lagu dan tujuh video muzik untuk top 7 AF8.
“Saya merakamkan sebuah lagu dalam tiga hingga empat jam manakala video pula mengambil masa selama enam hingga tujuh jam untuk merakamkan tiga video sekaligus.
“Walaupun cepat, kita masih mementingkan kualiti. Saya rasa sebab itu mereka memberikan kepercayaan kepada KRU Studios.
“Setiap video yang dihasilkan membelanjakan RM30,000 manakala sebuah lagu mencecah RM15,000. Takkan kita laburkan RM1 juta tetapi kualitinya tidak bagus. Nanti peminat sendiri tak berpuas hati,” jelasnya.
Peminat AF8 boleh mendapatkan album AF8 Hits yang memuatkan single terbaru 12 peserta AF8 berharga RM19.90 yang diedarkan pada minggu ini di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: