Thursday, May 27, 2010

'Bola Mania' Semarakkan Piala Dunia 2010!

Antara selebriti yang terlibat dalam Bola Mania di ntv7.

MUSIM demam bola sempena Piala Dunia datang lagi! Bagi menyemarakkan semangat kesukanan, ntv7 menganjurkan program gameshow Bola Mania mulai 3 Jun ini, setiap Khamis, pukul 9 malam.

Program pertama kali yang dianjurkan oleh stesen televisyen itu menampilkan penyampai radio Hot FM AG, Muhammad Azmir Selamat selaku hos di samping penyertaan daripada ramai selebriti yang lain.

Antaranya adalah Aliff Satar, Ezlynn, Farish Aziz, Ana Raffali, Zahid, Iqbal Mazlan, Fiq, Nine Coco, Zoey, Fizo Omar dan Ejal ‘Grey Sky Morning’.

Program 20 episod yang akan berlangsung selama 30 minit itu dirakamkan di set yang lengkap dengan gelanggang futsal dan tiang gol malah setiap episod menyaksikan dua kumpulan berentap untuk merebut kejuaraan.

Setiap kumpulan dianggotai dua peserta yang terpilih menerusi pusingan awal pada April lalu termasuk penyertaan seorang selebriti.

12 pasukan akan berentap bermula pusingan mingguan, suku akhir, separuh akhir dan seterusnya juara Bola Mania akan dimahkotakan pada malam akhir Piala Dunia nanti.

Program ini dibahagikan kepada tiga segmen iaitu ‘Masa Pertama’, ‘Strategi’ dan ‘Serang’. Dalam pusingan ‘Masa pertama’, peserta diajukan soalan-soalan berkisar dunia bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Sementara segmen ‘Strategi’ menampilkan para peserta untuk menjawab soalan sepantas mungkin berdasarkan gambar yang ditunjukkan.

‘Serang’ merupakan pusingan akhir yang melibatkan kemahiran para peserta bermain bola sepak sambil seorang peserta daripada setiap kumpulan bermain dengan mata dibaluti kain.

“Ntv7 sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada demam bola yang melanda peminat bola sepak seluruh dunia ini.

“Bola Mania bakal mencetuskan emosi dan kegilaan peminat bola sepak di Malaysia sambil menyegarkan semula pengetahuan mereka dalam acara sukan ini di samping berhibur dengan aksi-aksi peserta,” kata Pengurus Penjenamaan Kandungan Urban ntv7, Emilya Ab Rahim mengenai program yang dilancarkan di Sri Pentas, Bandar Utama semalam.

Pemenang dalam Bola Mania akan menerima pelbagai hadiah seperti SYM-Engine daripada Life motorcycles, gelang magnetik E-Dymium, baucer daripada Uni-world Travel & Tours, jam tangan Roscani, topi keledar Solidgold, barangan Nanomite, telefon bimbit E-Touch, pakaian dan aksesori Lancast, barangan Adidas Body Care trofi serta wang tunai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: