PERJALANAN dari ibu kota sejauh hampir 110 kilometer (km) yang mengambil masa lebih sejam mungkin agak memenatkan. Namun, saat melangkah masuk ke sebuah pusat peranginan yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan segala kepenatan hilang begitu sahaja.
Bayu laut yang menghembus dan pemandangan indah berlatar belakang kapal-kapal sangat mengasyikkan. Tidak hairanlah jika Hotel Avillion Admiral Cove (AAC) menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menjadi destinasi persinggahan.
Hotel yang beroperasi bermula 1 Mac 2008 itu pada awalnya hanya mempunyai satu sayap bangunan yang dipanggil View Wing. Namun sejak 1 April lalu, bangunan barunya iaitu Vista Wing mula beroperasi menyambut tetamu yang bertandang di AAC.
|
|
Tampil dengan rekaan dalaman yang berbeza dengan View Wing, sayap baru hotel itu mengenegahkan konsep moden kontemporari yang lebih dekat dengan jiwa orang muda.
Dengan sedikit sentuhan elemen ala Inggeris dalam perhiasan biliknya yang terdiri daripada bilik deluxe, bilik premium dan studio eksekutif penginapan di situ memberi suasana lebih mewah.
Kesempatan menginap di studio eksekutif yang mengarah ke Selat Melaka memberi kenangan indah tatkala melihat kapal-kapal layar yang berlabuh di situ.
Sesuai dijadikan lokasi berbulan madu, AAC turut menawarkan pakej Romantic Interlude pada harga RM855++ untuk penginapan tiga hari dua malam. Pakej itu termasuklah penginapan di bilik studio yang menghadap marina termasuk makan malam romantis.
Tidak lengkap sekiranya bercuti di tepi laut tanpa melakukan aktiviti pantai. Pelbagai aktiviti menarik di kawasan khas pesisir pantai yang dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 malam oleh pihak hotel.
Berkayak, menaiki bot banana, mahupun meluncur deras menaiki jet ski, pasti dapat menerbitkan rasa keterujaan saat mencuba aktiviti air. Lebih menarik jika bermain bola sepak pantai bersama rakan-rakan atau sekadar berehat di atas kerusi malas sambil menghirup kelapa muda di Bar Pantai.
Jika tidak dapat terus meninggalkan hal-hal kerja, jangan risau kerana percutian di situ pasti tidak mengganggu kerja anda kerana setiap bilik turut disediakan dengan perkhidmatan Internet.
Percutian tanpa menikmati makanan yang enak pastinya sesuatu yang janggal. Kerana itu AAC turut menawarkan pelbagai jenis hidangan bufet atau a-la-carte di Traders' Food Shop yang dibuka setiap hari.
Menghabiskan sisa-sisa waktu malam dengan berbual bersama rakan-rakan di Sailors' Drink Shop sambil menikmati persembahan nyanyian pasti menenangkan jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: