BERDEBAR. Itu perasaan yang penulis rasai ketika menerima tugasan melawat ke Malaysia Rail Explorer - Fam Trip Homestay Mengkuang Titi Pulau Pinang.
Salah satu daripada jadual program anjuran RM Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pelancongan Malaysia yang perlu dipenuhi ialah tinggal bersama keluarga angkat.
Terbayang-bayang reaksi dan penerimaan keluarga angkat kerana ia adalah program pertama seumpamanya saya sertai.
Bagaimanapun, debaran semakin hilang sebaik bertemu dengan peserta lain yang terdiri daripada wakil-wakil media, ejen pelancongan, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan ketika mendaftar di Stesen Sentral Kuala Lumpur.
"Saya pasti anda semua tidak akan berasa bosan di dalam kereta api kerana banyak panorama indah di sepanjang perjalanan," kata Pengurus Pemasaran Unit Pemasaran Strategik Perkhidmatan Bandar KTMB, Mohd. Nordin Kimi yang hadir menyambut ketibaan para peserta.
|
|
Tepat jam 3.30 petang, kereta api Ekspres Rakyat yang dinaiki memulakan perjalanan. Berbeza daripada gerabak lain, gerabak yang kami naiki dihias indah dan ceria dengan lampu berwarna-warni, lebih penting ia turut dilengkapi set karaoke untuk menghiburkan para peserta.
Irama pelbagai rentak lagu yang bersilih ganti, menyebabkan masa berlalu pantas, tanpa disedari rombongan kami seramai 34 orang telah tiba di Stesen Keretapi Butterworth pada pukul 11.30 malam. Di sana peserta disambut oleh Kordinator Homestay Mengkuang Titi, Rohaizad Othman dengan paluan gendang tradisional dan bunga manggar.
Sejarah nama
Selepas menjamu selera, para peserta kemudiannya dibahagikan mengikut keluarga angkat masing-masing.
Penulis dan seorang teman media ditempatkan bersama keluarga Che Roos Ahmad. Keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh keluarga angkat menyebabkan kami seolah-olah berada di rumah sendiri.
"Pak cik gembira kamu berdua selamat sampai ke sini. Lepas ini pergi mandi, nanti kita boleh bersembang-sembang sambil minum teh," kata bapa angkat penulis.
Di ruang tamu rumah, lelaki berusia 58 tahun itu memulakan ceritanya. Dia memberitahu kampung yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Butterworth itu ditemui oleh Tok Putih dan isterinya pada awal abad ke-19.
Pada waktu itu, sekitar kampung dipenuhi dengan pokok mengkuang yang hidup subur di sekitar kawasan sungai yang kini dikenali sebagai Sungai Mengkuang.
"Penduduk kampung telah membina sebuah titi untuk ke seberang bagi memudahkan urusan harian, lama-kelamaan ia dinamakan sebagai Mengkuang Titi.
"Tidak hairanlah dulu rata-rata penduduk di sini mencari pendapatan dengan menjual mengkuang selain daripada menoreh getah dan sebagainya. Bagaimanapun pelebaran sungai dan pembangunan di sekitarnya menyebabkan ia semakin pupus," jelasnya yang berkahwin dengan Embun Ibrahim, 41.
Selain Mengkuang Titi, nama mengkuang juga digunakan pada pangkal nama kampung-kampung berhampiran seperti Mengkuang Keretapi, Mengkuang Tok Ulung, Mengkuang Berapit dan Mengkuang Dam.
Jelasnya, penduduk kampung di situ sudah biasa menerima tetamu sejak 13 tahun lalu untuk mempromosikan kampung itu dan Malaysia di kaca mata masyarakat luar.
|
|
Dia sendiri agak sukar mengingati nama-nama anak angkatnya itu kerana sudah menyertai program itu hampir 26 kali.
Ada antaranya merupakan pelajar sekolah dan universiti, kakitangan syarikat termasuk pelancong asing.
"Biarpun sudah berpisah, ada antara mereka yang masih menghubungi dan bertanya khabar serta tidak kurang juga datang melawat apabila berkesempatan," katanya.
Keliling kampung
Keesokan hari selepas bersarapan bersama keluarga angkat, kami berkumpul di dewan untuk aktiviti melawat kawasan kampung.
Destinasi pertama kami ialah melawat perusahaan kuih bahulu Zana yang diusahakan oleh syarikat Wawasan Ilham Enterprise. Ia bukan sahaja terkenal di Mengkuang Titi bahkan di seluruh Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Pengusahanya, Zahari Md. Akhir, begitu ramah melayan kehadiran para peserta yang datang melihat proses membuat kuih sambil menikmatinya panas-panas. Keenakan bahulunya menyebabkan ramai yang tidak melepaskan peluang membeli untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Lelaki itu berkata, perniagaan bahulu dimulakan oleh keluarga mentuanya secara kecil-kecilan pada tahun 1985 dengan hanya bermodalkan RM12.
Ketika itu, bahulu tersebut hanya dijual kepada peniaga di kedai-kedai kopi, lama-kelamaan permintaannya semakin meningkat dari dan mempunyai penggemar.
"Dahulu kami bakar bahulu dengan menggunakan sabut, perkembangan teknologi menyebabkan kini ia dimasak dengan ketuhar. Berkat tunjuk ajar dan bantuan Perda, perniagaan semakin berkembang, kini purata pengeluaran bahulu ialah sebanyak 10,000 biji sehari," jelas Zahari.
Katanya, pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri , Hari Raya Aidiladha dan cuti sekolah adakalanya pengeluarannya mampu mencecah sehingga 100,000 sehari.
Puas menikmati baulu, para peserta dibawa melawat rumah tradisional, melihat demonstrasi kraf tangan, memanjat pokok kelapa di samping beramah mesra dengan penduduk sekitar.
Seorang peserta dari Russia, Natalia Lobacheva, 28, begitu teruja untuk mempelajari teknik menganyam tikar mengkuang dan membuat bedak sejuk.
|
|
"Sekali imbas nampak mudah menganyam tikar itu, namun selepas mencubanya baru saya tahu ia memerlukan ketelitian dan kemahiran yang tinggi. Apa yang pasti pengalaman ini sangat bermakna," kata kakitangan RM Travel & Tours itu.
Pada sebelah petang diadakan pula aktiviti permainan tradisi seperti tarik upih, lari dalam guni dan kasut tempurung seolah-olah mengimbau semula memori zaman kanak-kanak penulis suatu ketika dahulu.
Antara permainan yang menarik ialah pertandingan tarik tali antara anak angkat dan keluarga angkat. Biarpun tanpa sebarang latihan atau pengalaman kami semua berjaya memberi saingan sengit kepada pihak lawan yang rata-ratanya mempunyai kelebihan daripada segi fizikal.
Pada sebelah malamnya pula para peserta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan seperti boria, lawak jenaka, tarian dan gendang tradisional.
Mata kami seakan-akan terpaku melihat kelembutan tarian dan kemerduan suara sekumpulan kanak-kanak dari Kumpulan Kebudayaan Mengkuang Titi membuat persembahan di hadapan tetamu.
Para peserta juga tidak ketinggalan diajak menari tarian boria yang terkenal di negeri Pulau Mutiara itu, walaupun tampak kekok, namun mereka sedaya-upaya memberikan persembahan terbaik.
Selepas dua hari bermalam di rumah keluarga angkat, tibalah masa untuk kami pulang walaupun dengan hati yang berat.
"Bila-bila senang mai la sini lagi, sat sangat dok kampung ini, tak dan nak pi mana-mana," kata ibu angkat penulis dalam loghat utaranya yang agak pekat.
Kami perlu melawat beberapa tempat pelancongan di sekitar Pulau Pinang samping beberapa homestay lain seperti di Pulau Betong, Teluk Bahang, Sungai Semilang yang diatur penganjur sebelum pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.
Selepas sesi bergambar beramai-ramai dan bersalaman, kami menaiki bas untuk meninggalkan Homestay Mengkuang Titi. Walaupun hanya seketika, kenangan manis bersama keluarga angkat tetap tersemat di dalam sanubari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: