|
|
IBU merupakan wanita pertama yang hadir dalam kehidupan setiap insan. Malah, sejak dari dalam kandungan lagi, ibulah insan yang cukup akrab dengan kita.
Setiap kali hadirnya Mei, pasti momen-momen indah meraikan ibu tercinta diabadikan oleh hampir setiap anak kepada ibu mereka kerana inilah satu-satunya bulan yang dikhaskan untuk meraikan para ibu sempena sambutan hari ibu.
Penyanyi dari dua era berbeza, Datuk Khadijah Ibrahim yang cukup mesra disapa Kathy dan juga Mawi hampir setiap tahun tidak melepaskan peluang memenuhi undangan memenuhi takwim Mei ini dengan persembahan hari ibu.
Salah satunya ialah kolaborasi pertama mereka pada 6 Jun ini pada majlis Tea With Mothers - Colour of Roses yang dijadualkan berlangsung di hotel JW Marriott, Kuala Lumpur pukul 2.30 petang.
Sebagai seorang anak dan juga ibu, bagi Kathy dalam mengenang jasa seorang ibu sebenarnya tidak hanya tertakluk pada satu-satu bulan sahaja.
"Bagi diri saya sendiri, setiap hari merupakan hari ibu. Namun, bila sudah dikhaskan sepanjang Mei ini merupakan bulan memperingati para ibu apalah salahnya jika kita gunakan kesempatan yang ada meraikan bersama ibu tercinta.
"Saya juga seorang ibu. Biarpun ibu saya sudah tiada lagi namun, setiap kali sambutan hari ibu saya tidak pernah lupa menghantar ucapan menerusi SMS kepada kakak-kakak saya.
"Malah, anak saya Hajar pun paling tidak akan buatkan saya satu kad khas sebagai kenangan pada hari tersebut," kata Kathy.
Menganggap pengorbanan serta peranan yang dimainkan oleh seorang ibu cukup besar jika dibandingkan dengan bapa, dia berasa terpanggil menjayakan hari ibu biarpun hampir saban tahun dia terlibat dengan persembahan hari ibu.
Mengenang Allahyarham ibunya, Siti Mariam Sheikh Abdul Rahman yang meninggal dunia ketika berusia 51 tahun, bagi Kathy dialah pendorong dan pembakar semangat untuk terus berkecimpung dalam nyanyian.
"Apabila arwah ibu mendapat tahu bahawa saya nak menyanyi dan berduet dengan abang saya Latif Ibrahim, dialah insan yang paling gembira," kata Kathy yang juga kehilangan ayah, Ibrahim Abu Hassan ketika berusia 18 tahun.
Tambah Kathy, pada persembahan tersebut dia bakal menyanyikan lima atau enam lagu dan mungkin berduet dengan Mawi menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih.
Berbeza dengan Kathy, Mawi masih lagi mempunyai ibu. Malah, dia begitu berbesar hati kerana sepanjang lima tahun dalam industri hiburan saban tahun ada sahaja tawaran meraikan para ibu yang diterimanya.
Sejujurnya, Mawi menjelaskan, bahawa ini salah satu cara untuknya menterjemah sanjungan terhadap wanita yang bergelar ibu.
Malah sebagai anak, dia turut berhasrat membawa ibu serta ibu mertuanya hadir menyaksikan persembahannya pada majlis tersebut.
Sebarang pertanyaan untuk menyaksikan persembahan Kathy dan Mawi pada Tea With Mothers - Colour Of Roses, sila hubungi talian 016-3344022 atau 012-9759270.
Meja dijual pada harga RM2,000 (Yelloe Roses), RM3,000 (White Roses), RM4,000 (Pink Roses) dan RM5,000 (Red Roses).
Majlis anjuran Al-Najwa Productions Sdn. Bhd., dengan kerjasama Harosa Ent. yang bakal diacarakan oleh aktor Fahrin Ahmad itu turut menampilkan Khairul Mentor yang akan mendendangkan lagu-lagu secara medley.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: