Monday, May 3, 2010

KPDNKK seru artis sedar hak royalti


ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) ceria bersama (dari kiri) Kamel Mohamed dan Tan Lian Hoe pada Majlis Pelancaran Facebook, Twitter dan Youtube MyIPO di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


RAMAI di kalangan artis tanah air termasuklah komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi dan pelakon yang dikatakan masih tidak mengetahui secara terperinci akan hak-hak dalam kerjaya yang mereka ceburi selama ini.

Malah, paling menyedihkan apabila golongan tersebut juga seakan-akan tidak mahu mengambil kisah soal hak-hak mereka seperti bayaran royalti yang sepatutnya diterima sepanjang terbabit dalam industri hiburan yang cukup menguntungkan itu.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berasa terpanggil bagi memberi kesedaran dan membantu artis-artis tempatan bagi memperjuangkan hak-hak tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sudah sampail masanya artis-artis di negara ini sedar akan hak-hak dan kepentingan mereka diberi perhatian agar ia tidak diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang lain.

"Kalau mereka (artis) tidak mahu ambil tahu akan hak masing-masing, mungkin akan ada pihak-pihak lain yang mengambil kesempatan di atas bakat dan perit jerih mereka dalam bidang seni yang diceburi selama ini. Tanpa disedari ia akan merugikan mereka.

"Penyanyi contohnya, mungkin hanya tahu tentang royalti jualan album mereka sahaja. Sedangkan, ramai yang tidak tahu karya-karya mereka juga dipergunakan dalam siaran radio, televisyen (TV) atau dimuat turun melalui telefon bimbit.

"Semua itu membabitkan jumlah royalti atau pendapatan yang lumayan untuk golongan artis," katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas sidang akhbar Majlis Pelancaran Facebook, Twitter & Youtube MyIPO di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan bagi memperkenalkan penggunaan tiga saluran Internet tersebut bagi menyalurkan maklumat serta meningkatkan kesedaran tentang harta intelek sempena Hari Harta Intelek Negara 2010 anjuran kementerian itu.

Bagi memberi kesedaran dan penjelasan lanjut berhubung perkara itu, KPDNKK katanya, akan mengadakan suatu pertemuan besar-besaran bersama golongan artis di Ballroom, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada 3 Mei (hari ini) mulai pukul 3 petang.

Ismail Sabri menyeru para artis di negara ini agar hadir pada perjumpaan itu bagi memberi penerangan tentang harta-harta intelek selain mendapatkan gambaran sebenar golongan terbabit.

"Pada perjumpaan itu, kami hanya menjemput golongan artis sahaja. Kami tidak menjemput persatuan artis ataupun wakilnya. Ini kerana, sebelum ini kami sudahpun mengadakan pertemuan dengan mereka.

"Daripada pertemuan itu nanti, kita akan terangkan tentang hak-hak golongan artis termasuklah soal royalti lagu atau persembahan pentas yang mereka jayakan. Kita akan cari jalan penyelesaiannya," ujarnya optimis.

Jelasnya, antara perkara yang akan dibincangkan pada perjumpaan itu ialah soal pindaan Akta Hakcipta 1987 yang lebih ketat, misalnya soal royalti dan masalah cetak rompak dalam bidang rakaman album dan filem.

Menerusi sesi yang dianjurkan atas inisiatif KPDNKK itu, para artis yang hadir juga akan diberi peluang meluahkan pandangan dan bertukar-tukar pendapat dengan beliau bagi mengatasi masalah tersebut.

"Kita akan beri penerangan secara terperinci tentang akta itu. Anak saya, Dafi juga penyanyi di mana saya faham akan masalah yang dihadapi oleh artis sepertinya. Sebab itu, artis muda seperti Dafi memang patut tahu tentang akta itu.

"Kalau dulu akta cetak rompak hanya mengenakan tindakan ke atas penjual cakera padat dan video. Tetapi kalau boleh kita juga mahu pembeli barangan cetak rompak juga patut dikenakan hukuman bagi mengatasi masalah itu," ulasnya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri bersama KPDNKK juga akan mengadakan suatu kempen yang dikenali sebagai Gerak Gempur Cetak Rompak di KL Central di ibu negara bagi menangani masalah cetak rompak yang masih belum berkesudahan sehinggalah kini.

Pada sesi kempen itu yang akan diadakan pada 10 Mei ini, beliau sekali lagi menjemput para artis tanah air supaya hadir memberi sokongan selain kesedaran kepada orang ramai bagi membendung gejala itu daripada terus berleluasa.

"Jika dulu kita pernah adakan Kempen Anti Cetak Rompak yang lebih fokus kepada golongan komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman yang menghadapi masalah kerana lanun-lanun cetak rompak.

"Tetapi kali ini kempen ini juga akan memberi tumpuan kepada masyarakat supaya mereka menghormati harta-harta intelek. Dengan adanya kesedaran golongan artis dan orang ramai masalah ini boleh dibendung," komennya lagi.

Hadir sama pada majlis itu yang turut mengadakan Seminar Hari Harta Intelek Negara 2010 di kalangan para pengamalnya ialah, Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengurus Besar Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamel Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: