Monday, May 24, 2010

Cai Lin lebur rekod

PERENANG Kebangsaan, Khoo Cai Lin mencipta rekod kejohanan 800 meter gaya bebas pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, semalam.

HANDAL...Cai Lin bersama pingat dimenangi dalam acara 800m gaya  bebas.
HANDAL...Cai Lin bersama pingat dimenangi dalam acara 800m gaya bebas.
Ratu renang jarak jauh yang mewakili Selangor itu berpuas hati dengan catatan masa 8:48.53 saat walaupun gagal memecah rekod kebangsaannya (8:45.36s) tahun lalu.


Bagaimanapun, dia berjaya mengatasi rekod perenang China, Zheng Jing yang mencatatkan 8:49.04s pada 2002.


Cai Lin, mendahului dua perenang Hong Kong, Cheng Yuen Yue ( 9:27.98s) di tempat kedua dan Sandra Ho (9:28.90s), ketiga.


“Saya sememangnya berpuas hati dengan catatan masa ini, sebab semalam gagal mengatasi catatan untuk layak ke Kejohanan Dunia.


“Namun, saya layak untuk dua kejohanan di Amerika Syarikat. Selain itu, saya juga tidak akan bertanding di Sukma bulan depan berikutan sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya yang bertanding enam acara dan memperoleh empat emas dan dua gangsa.


Cai Lin yang menekankan keutamaan untuk Sukan Asia dan Komanwel, menganggap semua kejohanan yang disertainya adalah latihan pemanas badan untuk berdepan dua temasya besar itu.


“Saya memang membuat persiapan padat, sebelum melangkah ke kejohanan utama itu, terutama inilah penampilan pertama saya ke Sukan Asia, perasaan gementar memang ada. Tapi, dengan semua kejohanan seperti ini pasti memberikan saya keyakinan,” katanya.


Sementara itu, Hong Kong mengungguli hari terakhir pertandingan, bila merangkul juara keseluruhan dengan mencatat 42 pingat, disusuli Singapura (16) dan Selangor yang diwakili Chai Lin menduduki tempat ketiga (9).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: