SEBAGAI aktor yang sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 1970-an, Robert Downey, Jr. boleh dikatakan antara pelakon yang lambat mencecah puncak populariti.
Publisiti liar yang diraihkan sebagai selebriti Hollywood yang menagih dadah yang membelenggu figura berusia 45 tahun itu untuk sekian lama mengatasi popularitinya sebagai pelakon.
Antara tempoh 1996 sehingga 2001, Robert kerap ditangkap kerana kesalahan berkaitan dengan dadah serta perlu menjalani beberapa program pemulihan.
Pengakuan mengenai dirinya yang ketagihan dadah sejak berusia lapan tahun mengejutkan ramai. Apa yang lebih menggerunkan adalah hakikat dia terjebak kerana disogok dadah oleh bapanya sendiri, Robert Downey, Sr. seorang pelakon, penulis, penerbit, penulis lakon layar dan pengarah filem.
Dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada 1999. Ketika itu, semua filem Robert sudah habis dirakamkan kecuali In Dreams yang mana dia kemudian dibenarkan untuk menyempurnakannya.
Namun, dibebaskan lebih awal dengan denda AS$5,000 (RM19,000), seminggu kemudian Robert menyertai siri popular TV, Ally McBeal.
Peranannya dalam siri popular Ally McBeal dilihat menjadi peluang buatnya untuk menebus kesalahan. Dia bukan sahaja menyinar, malah dinobatkan untuk anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada majlis Golden Globe. Namun, masalah dadah telah menyebabkan dirinya disingkirkan daripada produksi tersebut walaupun ketika itu dia menyumbang kepada peningkatan jumlah penonton.
Kemelut dadah yang dialaminya itu juga memaksa kawan baiknya, aktor dan pengarah Mel Gibson membatalkan pementasan arahannya, Hamlet yang sepatutnya disertai Robert. Masalah itu juga mengecewakan pengarah, Woody Allen yang mahukan Robert untuk muncul dalam filem arahannya, Melinda and Melinda (2000) bersama Winona Ryder.
Hanya selepas satu perintah mahkamah untuk menyertai program rawatan, karier Robert mula berada pada paksi positif. Pulih sepenuhnya daripada dadah pada tahun 2003, Robert memberitahu hos terkenal, Oprah Winfrey: “Saya tertanya-tanya sama ada saya perlu memasuki pusat pemulihan atau tidak.
“Selepas ditangkap pada kali terakhir April 2001, saya membuat keputusan untuk tidak menjalani kehidupan sebegini lagi. Saya keluar untuk mendapatkan bantuan. Ia bukan sukar untuk mengatasi masalah berat ini. Apa yang sukar adalah berdepan dengannya.”
|
|
Mula berlakon pada usia lima tahun menerusi filem arahan bapanya, Pound (1970), pencalonan untuk anugerah Academy kategori Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Chaplin (1992) menyakinkan penerbit bahawa lelaki kelahiran New York itu masih mempunyai nilai dan potensi.
Terlibat dalam filem seperti Gothika (2003) dan Zodiac (2007), Robert sebelum itu menyerlah dalam karya Air America (1990) dan Soapdish (1991). Berbekalkan semua kejayaan kritikal Robert dalam kariernya, pelakon itu bagaimanapun tidak pernah muncul dalam filem blockbuster.
Semua itu berubah pada pertengahan tahun 2008 apabila dirinya memegang watak sebagai adiwira alaf baru, Tony Stark atau dikenali dengan nama Iron Man. Filem itu ‘mengiktiraf’ Robert sebagai bintang filem pecah panggung apabila ia mengumpul kutipan di seluruh dunia mencecah AS$586 juta. Kata pengarah filem itu, Jon Favreau: “Robert merupakan satu-satunya pilihan untuk siri filem Iron Man, sama seperti Johnny Depp sebagai tunjang utama siri filem Pirates of the Caribbean.
“Watak utama boleh mengubah nasib dan menentukan kualiti sesebuah filem serta meningkatkan minat penonton. Anda boleh melihat banyak pengalaman peribadi Robert dalam diri Tony Stark/Iron Man.”
Robert yang merupakan suami kepada penerbit, Susan Levin kini muncul dengan edisi kedua Iron Man 2 dan bakal terlibat dalam siri ketiganya, The Avenger yang dikatakan bakal ditayangkan pada tahun 2012.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai sekuel Iron Man 2 yang turut dijayakan oleh Don Cheadle, Mickey Rourke, Gwyneth Paltrow, Scarlett Johansson, Sam Rockwell dan Samuel L. Jackson, ikuti petikan di bawah.
Adakah anda suka memakai pakaian adiwira semasa kecil untuk sambutan Halloween?
ROBERT: Semasa membesar? Tidak, tetapi semasa berusia 30-an di Palm Springs, California sebelum saya ditangkap kerana dadah dengan hanya memakai seluar dalam. Ia adalah prarasa sebelum bencana bakal berlaku.
Filem ini kelihatan mengujakan. Adakah anda menikmati prosesnya kali ini? Adakah anda lebih yakin dalam menjayakan watak itu buat kali kedua?
Tahap keyakinan memang lebih tinggi tetapi keseronokan bukan perkataan yang saya akan gunakan untuk menjelaskan perasaan itu. Kami semua berasa lebih bertanggungjawab dan telah mengembangkan pelakon serta horizon.
Ceritanya juga lebih kompleks dan mendalam. Saya tidak mahu menyatakan ia menyeronokkan. Perasaannya bertentangan daripada pembikinan edisi pertama. Kami cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan produk ini dengan kesungguhan maksimum.
Apakah elemen paling menarik dari segi plot ceritanya?
|
|
Bagaimana kita perlu memastikan semua pelakon yang pernah menjayakan peranan utama dalam karya masing-masing menyertai produksi Iron Man 2 dengan mempunyai permulaan, pertengahan dan penghujung cerita yang baik? Bagaimana kita boleh mengaitkan semua orang dalam cerita yang sebenarnya ringkas? Apa yang paling sukar adalah menghidupkan semua watak sama rata.
Adakah kostumnya lebih selesa kali ini?
Ya, lebih selesa dan ringan tetapi masih belum menyemai cita rasa saya.
Bagaimana dengan cinta tiga segi antara Tony, Pepper (Gwyneth Paltrow) dan Black Widow (Scarlett Johansson)?
Kami pada mulanya menyatakan ia merupakan cinta tiga segi tetapi kemudian sedar bahawa pendekatan itu sudah biasa digunakan dalam filem adi wira. Apa yang kami mahu adalah melakukan sesuatu yang lebih menakutkan dan saya percaya kami berjaya.
Black Widow merupakan satu watak yang menarik kerana dia tidak seperti apa yang ditampilkan. Pepper mungkin sudah dikenali penonton tetapi masih terdapat banyak elemen yang terselindung untuk diterokai.
Adakah anda terkejut bagaimana francais Iron Man telah menukar persepsi orang mengenai diri anda sebagai seorang pelakon?
Bagaikan keajaiban. Ia satu pengalaman yang menakjubkan kerana saya selalu mahu terlibat dalam filem sebegitu.
Perjalanan karier anda semakin lancar dengan Iron Man dan Tropic Thunder serta Sherlock Holmes. Kini dengan Iron Man 2, apa perasaan anda?
(Ketawa) Lakonan adalah perkara terbaik yang boleh saya lakukan. Saya rasa pelik sebenarnya kerana memiliki pekerjaan yang saya sukai. Semasa remaja, apa yang saya mahukan adalah pengalaman seperti ini. Digilai ramai dan disanjungi. Tapi saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk berada dalam posisi itu. Namun, kita boleh terlalu bangga dengan kejayaan yang mungkin akan hilang begitu sahaja suatu hari nanti.
Bagaimana Tony Stark berubah kali ini?
Apabila dunia mengetahui identiti dirinya, Tony mula keliru dengan populariti serta kekayaannya. Dia berdepan dengan masalah sistem ciptaan sendiri yang belum sempurna. Nyawanya terancam tetapi dia tidak peduli.
Dia seorang lelaki yang menggerunkan. Dia berasa tertekan dengan permintaan kerajaan yang mahukan teknologi pembikinan Iron Man. Perubahan pengalaman hidup tidak bermaksud Tony sudah berubah. Dia cuma berada dalam kemelut.
Ceritakan sedikit perjalanan Iron Man 2.
|
|
Iron Man 2 pada saya adalah perjalanan rahsia Tony dalam menerokai ketakutan mendalam yang menghantui dirinya. Tanggungjawab, pewaris legasi daripada ayahnya, hubungan persahabatan dengan Rhodey serta perasaan cinta serta hormat terhadap Pepper menjadi inti pati utama.
Adakah masa yang panjang diperlukan untuk menyakinkan Mickey Rourke bagi menyertai produksi ini?
Edisi pertama Iron Man mencipta kejayaan luar biasa. Jadi rasanya ia satu situasi yang membawa keuntungan. Semua pihak yang yang terlibat dalam produksi pertama Iron Man mahu memastikan elemen kreativiti diadun dengan baik. Kami mahu memberikan yang terbaik daripada apa yang boleh diberi.
Bagaimana dengan kerjasama bersama pelakon lain seperti Don Cheadle, Scarlett Johansson dan Sam Rockwell?
Ia melahirkan hubungan seperti adik-beradik. Semua orang mengenali Don menerusi hasil kerjanya. Kami amat teruja untuk mendapatkan Scarlett dalam filem ini. Sam seorang pelakon berbakat yang mampu menimbulkan konflik antara kepada Tony.
Perkara yang ingin dilakukan dalam sekuelnya kerana tidak berpeluang pada filem pertamanya atas faktor masa atau ruang?
Selalunya cerita asal merupakan cerita paling menarik. Tony perlu menguruskan pelbagai perkara daripada mengambil berat tentang hidupnya. Dia didedahkan dengan benda yang sukar difahami orang termasuk manusia sebijaknya. Jadi dengan semua elemen itu, saya tidak perlu mencapai atau mencipta apa-apa.
Lagipun filem ini bukannya mengenai diri saya tetapi keseluruhan penceritaan itu yang perlu disampaikan secara serius. Kami menghabiskan banyak masa dan mengambil risiko untuk mencari cara terbaik bagi meluahkan kerumitan yang berlaku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: