NEW YORK - Pihak polis telah menemui sebutir bom 'amatur' tetapi cukup berkuasa yang sedia untuk diletupkan di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di 45th Street di pusat tumpuan ramai, Times Square di New York kelmarin.
Bom yang tidak meletup itu menyebabkan ribuan pengunjung diarah keluar dari kawasan itu selama sepuluh jam bagi membolehkan ia dimusnahkan.
"Kami berjaya mengelakkan satu insiden yang sangat berbahaya. Ia mungkin akan meletup dan menyebabkan kebakaran besar serta menyebabkan satu kesan letupan yang dahsyat," kata Datuk Bandar New York, Micheal Bloomberg.
Para penyiasat mengalihkan tiga tangki propana, mercun, dua bekas yang berisi 19 liter minyak, dua buah jam, wayar elektrik, dan komponen-komponen lain di bahagian belakang kenderaan SUV Nissan Pathfinder.
Bloomberg menyifatkan kerja-kerja meletakkan bahan letupan itu dilakukan oleh kumpulan amatur.
Jurucakap polis, Paul Browne berkata, bom tersebut dikatakan mula hendak meletup tetapi gagal berfungsi sepenuhnya.
Kereta tersebut dikesan mengandungi bahan letupan selepas seorang penjual kemeja-t memberitahu polis mengenai asap yang keluar dari SUV itu pada pukul 6.30 petang.
"Asap keluar daripadanya, lampu kecemasan menyala dan ia tidak bergerak," kata Rallis Gialaboukis, 37, yang berniaga sejak 20 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: