Dalam kesibukan bertugas memasang, mengurus atau memasarkan produk- produk elektronik, pekerja Panasonic masih sempat menderma darah.
MENDERMA darah merupakan satu amalan murni kerana ia bukan sahaja membantu menyihatkan tubuh, malah dapat menyelamatkan nyawa orang lain.
Keprihatinan terhadap kepentingan bekalan darah mendorong kumpulan syarikat Panasonic Malaysia bekerjasama dengan Tabung Darah Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor melancarkan kempen menderma darah di pejabat dan kilangnya secara besar-besaran baru-baru ini.
Kempen tersebut merupakan tanggungjawab sosial syarikat gergasi itu dalam membantu mengisi Tabung Darah untuk kegunaan masyarakat setempat. Kempen itu menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 500 unit darah.
Pengarah Pengurusan Kumpulan Panasonic Malaysia, Hiroyuki Iwaki berharap kempen itu dapat menyediakan platform bagi para pekerjanya melakukan kerja amal dan secara tidak langsung membantu menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan bekalan darah.
"Kumpulan Panasonic di Lembah Klang mempunyai seramai 12,000 pekerja. Kami berharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya 500 unit darah untuk Tabung Darah Hospital Tuanku Ampuan Rahimah," katanya.
Iwaki berkata demikian selepas merasmikan Kempen Menderma Darah di Kompleks Sukan Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor. Beliau juga mengetuai semua pekerja syarikat itu menderma darah pada kempen kali ini.
Dalam pada itu, Hospital Pantai Klang turut tidak ketinggalan menyertai kempen tersebut apabila memberi khidmat nasihat ujian Indeks Jisim Badan (BMI), tahap glukosa dan tekanan darah bagi pekerja Panasonic yang menderma darah dalam kempen tersebut.
Kilang-kilang Panasonic di Lembah Klang yang mengambil bahagian dalam kempen itu termasuklah Panasonic HA AC (M) Sdn. Bhd., Panasonic Devices Elektronics Malaysia Sdn. Bhd. (Pedma), Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Pavckm) dan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (Pmma). Ia diadakan pada 20 dan 26 April lalu serta 6 dan 7 Mei ini.
Sementara itu, seorang penderma, Loo Ming Fei, 39, berkata, kempen itu amat baik dalam memupuk semangat kerjasama dalam kalangan para pekerja.
"Kita juga dapat membantu mengisi Tabung Darah yang begitu diperlukan oleh pesakit khususnya mangsa kemalangan jalan raya," katanya.
Bagi Sazali Md. Som, 43, ini merupakan kali keenam beliau menderma darah. "Bukan selalu dapat menderma darah dan peluang yang diberikan syarikat ini tidak boleh dipersia-siakan," ujarnya.
M. Selvan, 41, pula berkata, beliau sudah banyak kali menderma darah dan kempen sebegini amat bagus untuk merapatkan hubungan antara para pekerja Panasonic.
"Dengan adanya kempen menderma darah ini para pekerja dapat sama-sama membantu melaksanakan tanggungjawab sosial syarikat untuk masyarakat setempat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: