Monday, May 24, 2010

Beckham akui askar Britain berani


AKSI Beckham menggunakan selaras senjata api di Kem Bastion, Afghanistan kelmarin.


KABUL - Bintang bola sepak England, David Beckham kelmarin menganggap anggota-anggota tentera Britain yang berkhidmat di Afghanistan sebagai manusia yang paling berani pernah ditemuinya.

"Lelaki-lelaki ini merupakan orang yang paling berani pernah saya temui dan sebenarnya merupakan satu penghormatan untuk berada di sini," kata bekas ketua pasukan bola sepak England itu dalam satu temu ramah.

"Ia (situasi di Afghanistan) menakutkan, ia sesungguhnya menakutkan. Anda boleh merasainya," kata Beckham.

Dia tiba di Kem Bastion di wilayah Helmand, selatan Afghanistan pada Jumaat lalu.

Menurutnya, pada Jumaat lalu, seorang askar Britain terbunuh dan ketegangan di medan pertempuran di Afghanistan itu dapat dirasai.

"Saya telah mewakili negara saya beberapa kali di atas padang tetapi lelaki-lelaki ini yang mewakili negara kita sesungguhnya amat mengagumkan," katanya.

Beckham tidak akan mewakili England pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan pada bulan depan kerana kecederaan di kakinya.

Britain mempunyai kira-kira 10,000 askar di Afghanistan sebagai sebahagian daripada pasukan tentera antarabangsa yang bertempur dengan kumpulan Taliban di Helmand.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: