Monday, May 24, 2010

Penyiasat cari punca nahas pesawat di India


BEBERAPA penyiasat memeriksa bangkai pesawat Boeing 737-800 yang terhempas di Mangalore kelmarin.


NEW DELHI - Para penyiasat menemui perakam penerbangan sebuah pesawat Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan tambang murah, Air India Express yang putus dua, meletup dan terbakar setelah terbabas ke dalam sebuah gaung semasa mendarat dalam hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mangalore, di negeri Kartanaka, pantai barat India kelmarin, lapor media semalam.

Menurut saluran berita tempatan, NDTV, perakam itu dan perakam suara kokpit dijumpai di tempat nahas berlaku dan diserahkan kepada pihak berkuasa penerbangan awam India.

Peralatan itu dijangka dapat memberikan maklumat penting beberapa minit sebelum pesawat dari Dubai itu tergelincir hingga menyebabkan 158 daripada 166 orang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang serta empat krew pesawat terbunuh.

Beberapa pegawai berkata, sekurang-kurangnya lapan orang termasuk empat penumpang sempat melompat keluar semasa badan pesawat itu putus dua.

"Sejurus selepas pesawat mendarat di landasan, ia mula bergegar dan sebelum kami menyedari apa yang berlaku, kami mendengar bunyi dentuman kuat dan pesawat itu putus dua," kata seorang mangsa yang terselamat, Pradeep G Kotian, 28.

"Nasib baik saya sempat melihat satu ruang besar pada pesawat yang terputus sekali gus menyebabkan saya sempat melompat keluar. Saya melihat tiga lagi penumpang turut melompat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: