WALAUPUN jam menunjukkan baru pukul 10.30 pagi, cuaca di sekitar pusat beli-belah The Gardens, Mid Valley City, Kuala Lumpur sudah mula terik dan menggigit. Dari bawah salah satu bangunan sekitar The Gardens kelihatan seperti satu objek kecil bergerak-gerak menuruni bangunan.
Rupa-rupanya objek tersebut merupakan seorang lelaki yang sedang mencuci bangunan setinggi 35 tingkat. Walaupun baru tujuh cermin dicuci oleh pemuda yang bernama Magam Bahadur Shersta itu, peluh sudah membasahi bahagian, ketiak, leher dan belakang bajunya.
Manakan tidak, pemuda yang baru berusia 22 tahun itu bukan sahaja perlu mencuci cermin dan alucobond (bahan komposit ringan yang mengandungi kepingan aluminium tebal) yang terdapat pada bangunan-bangunan, tetapi juga perlu mengerah tenaga menuruni bangunan dengan menggunakan tali yang diikat pada badannya.
Bergantung pada tali
"Memang pada mulanya saya gayat untuk buat kerja cuci bangunan. Saya hanya bergantung pada tali sahaja untuk turun dari bangunan. Tiada peralatan khas membawa saya naik dan turun dari bangunan tersebut," katanya yang mengakui sesetengah pencuci bangunan mengguna gondola dalam kerja mereka.
Jejaka berasal dari Nepal itu juga perlu mencuci setiap tingkap dengan bersih semasa menuruni bangunan tersebut kerana tali yang digunakan untuk menuruni bangunan tidak boleh dinaikkan semula.
Selama lima tahun mengabdikan diri dalam pekerjaan tersebut, Magam yang memiliki wajah seperti pelakon Hindustan itu telah melalui pelbagai kesukaran.
Cabaran angin dan hujan
"Paling teruk jika berlaku angin kuat atau hari hujan. Jika hujan lebat, saya diminta untuk berhenti mencuci. Pernah semasa saya cuci bangunan tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang.
Akibatnya, saya tidak dapat mengawal tali daripada berhayun ke kiri dan ke kanan," katanya yang risau jika berlaku kejadian tali terbelit atau terhantuk pada cermin bangunan.
Ditanyakan pada anak bongsu daripada lima adik-beradik itu, kenapa dia begitu berani memilih kerjaya yang boleh mengancam nyawanya. Dengan senyuman, Magam memberitahu, dia tidak gentar untuk melakukan apa jua pekerjaan asalkan dapat memberi wang pada keluarganya di kampung.
Disebabkan kerjaya mencuci bangunan bahaya dan boleh meragut nyawa jika tidak dilakukan dengan berhati-hati, Magam tidak sendirian apabila bertugas. Terdapat dua orang penyelia akan memantau dan menjaga Magam di atas dan di bawah bangunan semasa proses mencuci dijalankan.
Menurut salah seorang penyelia, Herman Simeng, 26, dia perlu sentiasa berjaga-jaga sepanjang kerja mencuci bangunan dijalankan. Sebelum kerja mencuci dimulakan, jejaka berasal dari Sabah itu akan memastikan semua peralatan melalui pemeriksaan berkali-kali.
"Peralatan paling penting yang perlu ada pada pencuci bangunan ialah chest harness (tali dada keselamatan), topi keselamatan, stopper knot (tali simpul sebagai penahan), bosun chair, tali dan alat pencuci.
"Saya kena laras dan ikat tali dengan kukuh selain menyediakan sabun pencuci. Terdapat pelbagai jenis sabun pencuci bergantung kepada permukaan bangunan.
"Untuk permukaan gelas, bahan pencuci jenis cermin digunakan manakala untuk alucobond, pencuci jenis buih pula digunakan," katanya yang telah bekerja hampir lima tahun di bahagian mencuci bangunan syarikat Property Care Services (Malaysia) Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Gayat dan menggigil
Herman pada mulanya bekerja sebagai pencuci bangunan selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai penyelia.
|
|
Anak sulung daripada tiga beradik itu pada awalnya mengakui ketakutan selama seminggu apabila pertama kali mencuci bangunan tinggi.
"Sememangnya saya memilih kerjaya ini kerana minat dan perasaan ingin tahu. Tetapi pertama kali melakukannya, saya benar-benar gemuruh dan gayat apabila diminta untuk mencuci bangunan setinggi 50 tingkat.
"Apabila disuruh turun dan memandang ke bawah, dengan serta-merta kaki dan lutut saya menggigil. Namun selepas menarik nafas dan mendapat sokongan rakan-rakan, sedikit demi sedikit perasaan takut mulai hilang," katanya yang pernah mencuci bangunan Kia Peng Residence, Lot10, Starhill Gallery, Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Bagaimana penerimaan keluarga mengenai pekerjaan Herman?
"Keluarga menentang habis-habisan semasa saya beritahu ingin menjadi pencuci bangunan. Mereka minta saya berhenti tetapi saya pujuk dan yakinkan mereka bahawa keselamatan saya terjamin sepanjang proses cucian dijalankan. Saya juga beritahu, semua pekerjaan ada risikonya," katanya yang mendapat elaun tambahan apabila mencuci bangunan tinggi.
Rasa seperti burung
Menceritakan beberapa pengalaman mencuci bangunan kongsinya, ada sesetengah daripada rakan-rakan perlukan mendapatkan mood dengan menikmati permandangan dari atas bangunan terlebih dahulu bagi menghilangkan perasaan gementar sebelum mencuci.
"Mereka membayangkan diri seperti burung. Saya juga melalui pengalaman serupa apabila merasa lega dan puas selepas menikmati pemandangan di sekitar Kuala Lumpur.
"Bangunan-bangunan yang tersergam indah seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur dapat dilihat jelas dari sudut pandangan atas," ceritanya.
|
|
Kerjaya Magam dan Herman bukan sahaja memfokuskan pada mencuci bangunan sahaja, mereka juga perlu mencuci lif, mencuci lantai bangunan dan mencuci tandas bangunan.
Dalam pada itu, menurut Pengurus Besar Property Care Services (Malaysia) Sdn. Bhd., Chris Choy, terdapat 10 pekerja mencuci bangunan di syarikat tersebut.
"Setiap pekerja diagihkan mengikut bangunan. Jika bangunan kecil dan hanya mempunyai beberapa tingkat, hanya dua pencuci ditugaskan. Jika melibatkan bangunan setinggi 50 tingkat dan ke atas, seramai 35 orang pencuci ditugaskan," katanya.
Jelasnya, ada sesetengah bangunan hanya mengambil masa selama sehari, manakala ada juga sesetengah bangunan yang mengambil masa selama dua minggu untuk dicuci.
"Bergantung pada rupa bentuk bangunan dan berapa banyak cermin yang ada. Jika bentuk bangunan membulat, ia memakan masa yang lama untuk dicuci.
"Setiap pencuci juga hanya boleh mencuci dari atas hingga ke bawah. Mereka tidak boleh mencuci melintang kerana menggunakan tali," katanya.
Setiap pekerja mencuci bangunan juga perlu melalui latihan selama sebulan sebelum melakukan tugasan mencuci bangunan.
"Jurulatih yang berpengalaman dari negara Thailand akan dijemput untuk mengajar mereka untuk peringkat awal. Bagi mereka yang sudah mempunyai pengalaman yang lama dalam mencuci dan juga menyelenggarakan peralatan juga boleh memberi latihan pada pekerja yang baru," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: