Wednesday, May 5, 2010

Sayonara Kabukiza


LEBIH 200 pelakon Kabuki berkumpul dalam satu majlis peringatan terakhir Kabukiza pada 30 April lalu.


TIRAI Kabukiza di Tokyo sedang dilabuhkan. Rumah drama tradisional kabuki itu akan dirobohkan pada bulan ini untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan pencakar langit yang lain.

Wanita-wanita Jepun dengan berpakaian kimono dan para pelancong berpusu-pusu memenuhi ruang kawasan bangunan itu yang menjadi mercu tanda kepada suasana lampau kuil dan istana Jepun. Semuanya ingin menyaksikan pentas Kabukiza buat kali terakhir.

Terletak di daerah beli-belah, Ginza, bangunan empat tingkat dengan bumbung berlengkung dihiasi tanglung berwarna merah, ia adalah sebagai peringatan kepada masa lalu.

Lebih dari separuh abad bangunan Kabukiza digunakan sebagai tempat utama untuk menyaksikan persembahan Kabuki. Pementasan Kabuki ialah sejenis drama tarian klasik dengan kesemua pelakonnya didokong oleh kaum lelaki yang mengenakan kostum yang menarik dan mekap seakan topeng.

Pemilik teater tersebut iaitu sebuah syarikat perfileman dan hiburan, Shochiku merancang untuk merobohkan bangunan lama itu dalam bulan ini bagi membina menara pejabat setinggi 49 tingkat yang dianggarkan menelan belanja sebanyak 43 billion yen (RM1.46 bilion). Ia dijangka siap pada tahun 2013.

Syarikat terbabit memberi alasan bahawa struktur usang Kabukiza terpaksa dirobohkan kerana tidak mengikut piawaian keselamatan sekiranya berlaku gempa bumi.

Syarikat berkenaan bagaimanapun berjanji akan membina semula pentas teater tersebut di tingkat bawah bangunan baru yang akan menggunakan sebahagian bahan-bahan asal bangunan Kabukiza yang akan dirobohkan itu.

Sebagai kontras kepada struktur lama berusia separuh abad itu, versi baru akan mengenengahkan teknologi terkini dengan kemudahan lif dan lebih menjimatkan tenaga.

Sehingga janji pentas baru disiapkan sekitar tahun 2013, persembahan Kabuki dikatakan akan diteruskan dengan pementasan hariannya diadakan di pusat-pusat teater di seluruh bandar raya itu seperti di Shimbashi Embu.


ORANG ramai mengerumuni perkarangan Kabukiza untuk merakamkan gambar kenangan.


Bagaimanapun, bagi kebanyakan orang kemusnahan Kabukiza menandakan berakhirnya era persembahan tradisional itu.

"Apabila Kabukiza ditutup, saya juga akan turut menutup kedai saya," kata Kazushi Nishii, 80, yang menjual kacang berangan di luar teater itu.

"Teman wanita saya memberi tahu bahawa Kabukiza akan lenyap. Saya tidak mahu melihat yang baru," katanya lagi.

Kikuko Murakami, 79, pemilik kios berdekatan menyatakan sangat sukar untuk mendapatkan tiket teater itu pada bulan ini kerana ramai orang yang datang ke situ.

Para pelawat beratur panjang di luar bangunan teater yang tersenarai sebagai aset budaya itu. Di sekitar bangunan ia turut dihiasi dengan langsir berwarna merah dan biru dengan tulisan mesej perpisahan yang berbunyi 'Kabukiza. Persembahan sayonara'.

Para seniman juga mengambil kesempatan detik-detik terakhir Kabukiza dengan mengabdikan keindahannya di atas kanvas. Pelancong domestik dan luar negara pula tidak melepaskan peluang bergambar di depan papan elektronik yang menunjukkan hari-hari yang tinggal sehingga persembahan pada hari kemuncak iaitu pada 30 April lalu.

Kabukiza dibina pada tahun 1889 dan beberapa kali dibina semula setelah terlibat dalam kebakaran, gempa bumi Kanto pada tahun 1923 dan kemusnahan akibat serangan udara tentera Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua.

"Ia adalah simbol kelahiran semula selepas perang, jadi ia adalah sebuah bangunan yang sangat penting kepada kami," kata Nobuyuki Suzuki, 66, yang sedang melukis gambar teater tersebut di kawasan siar kaki.

"Bagi saya ia tidak perlu untuk diruntuhkan. Ia sepatutnya menjadi warisan kepada rakyat Jepun," kata Suzuki.


PERSEMBAHAN Kabuki didokong oleh pelakon lelaki sahaja.


Kana Kashima, pelajar universiti yang berusia 21 tahun berkata, beliau sedih kerana bangunan itu sangat bersejarah dan ia tidak kelihatan sangat lama. Jadi meruntuhkannya adalah sesuatu tidak dijangkakan.

"Kami juga merasa sangat sedih untuk menggantikan bangunan lama ini, tapi ia telah menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan persekitaran yang selamat kepada semua," kata Ippei Noma, pegawai Shochiku yang bertanggungjawab kepada pembinaan baru itu.

"Banyak penonton yang tidak berpuas hati dengan suasana yang tidak selesa dan kemudahan yang tidak mesra warga emas seperti ketiadaan lif mahupun tangga bergerak untuk memudahkan mereka," kata Noma.

Syarikat terbabit merancang untuk membina galeri Kabuki di dalam bangunan baru itu untuk terus menghidupkan tradisi 400 tahun Kabuki kepada generasi muda.

"Teater tidak akan wujud tanpa penonton. Ia adalah misi kami untuk mengekalkan kesenaian tradisi kami itu," kata Noma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: