"ANAK saya itu bukan daripada benih lelaki lain. Ia benih suami saya sendiri," tegas Inul Daratista atau Ainur Rokhimah, 31.
HARI BAHAGIA...Inul dan suami, Adam.
Inul menegaskan hal berkenaan apabila masih ada pihak cuba mempersoalkan proses kehamilan bayi tabung uji yang dilakukannya selepas berkahwin dengan Adam Suseno.
Kata Inul lagi, selepas 13 tahun menunggu dan berhabis wang berusaha untuk hamil, dia menyedari hanya proses terbabit saja dapat merealisasikan hasratnya untuk bergelar seorang ibu.
Ternyata kaedah itu berhasil apabila dia disahkan hamil pada 2008 dan melahirkan zuriat sulungnya, Yusof Ivander Damares pada Mei 2009.
"Saya dan suami sihat, tidak mandul. Cuma yang menjadi penghalang ialah masalah ketumbuhan dalam rahim saya sekali gus menyebabkan proses kehamilan tidak boleh berlaku secara normal.
"Justeru benih saya dan suami perlu disenyawakan dalam tabung uji oleh pakar. Maka sememangnya benih itu adalah daripada perkongsian saya dan suami. Ia bukannya daripada lelaki lain," tegasnya lagi.
Penyanyi kontroversi itu ditanya lagi adakah tindakannya itu mendapat tentangan daripada ulama di Indonesia, Inul menjelaskan pada awalnya memang ada perbincangan yang membahaskan isu ini.
"Syukur alhamdulillah maklum balas yang diberikan sangat positif malah ulama menegaskan selagi benih itu daripada pasangan suami isteri, proses itu sah untuk dilakukan," katanya.
Dengan perubahan statusnya sebagai ibu, penyanyi yang baru muncul dengan single terbaru berkonsepkan balada berjudul Kasih Tak Termiliki ini memberitahu dia masih mampu memberikan aksi goyang gerudi seperti seadanya.
"Selepas berpantang, memang saya akui kurang selesa untuk 'bergoyang gerudi' memandangkan badan ketika itu masih 'kembang'. Tapi sekarang sudah turun 10 kilogram dan biarpun belum kembali ke bentuk asal (57 kilogram), saya sudah boleh 'goyang gerudi'," katanya.
Menyingkap kehidupan peribadi penyanyi berasal dari Pasuruan, Jawa Timur ini akui kehidupannya kini lebih berseri dengan kehadiran Yusuf Ivander.
"Selepas 13 tahun menunggu dan berhabis wang berusaha untuk hamil, saya mencuba kaedah bayi tabung. Ternyata ia berhasil apabila saya disahkan mengandung selepas tujuh bulan pulang dari menunaikan haji pada 2008.
"Perasaan saya sekarang ini kalau boleh saya mahu selalu berada di rumah. Undangan persembahan pun saya kira cukup tiga atau empat kali seminggu kerana tidak mahu anak saya menjadi anak pembantu rumah," katanya.
Yang jelas, Inul tidak mahu Yusuf mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi apabila dewasa kelak."Saya tidak izin anak saya menjadi seorang penyanyi. Saya sudah lalui bermacam pengalaman, susah payah jadi penyanyi. Saya tidak mahu dia banyak menangis.
"Cukuplah ibunya saja. Saya mahu anak saya menjadi seorang yang berpendidikan. Ibunya ini belajar tidak tinggi sampai tingkatan satu jadi saya mahu dia menjadi anak pintar.
"Selain itu, saya berdoa agar dia mampu menjadi hamba serta anak yang soleh serta berjasa pada ibu bapanya dan negaranya. Pokoknya saya mahu dia menjadi anak yang berguna," kata Inul.
Sementara itu, insiden hampir tumbang sehingga terpaksa dipapah gara-gara konsertnya di Malaysia pada Julai 2008 dibatalkan pada saat-saat akhir gara-gara tidak mendapat permit tidak pernah membuatkan Inul serik.
Dia kembali menjejakkan kaki di negara ini dengan berbekalkan segala persiapan untuk beraksi lagi.
Dengan apa yang berlaku, tidak mungkin pemilik nama sebenar Ainur Rokimah, 31, mahu kembali ke Malaysia untuk menerima apa-apa tawaran terutama konsert.
Dua tahun beredar, nyata telahan itu meleset sama sekali apabila penyanyi terkenal jolokan 'goyang gerudi' ini hadir di Kuala Lumpur untuk menghebahkan perancangan Konsert 1 Inul Darastista di Sunway Hotel Resort & Spa. Petaling Jaya pada 14 Mei lalu.
Inul yang sedikit berisi berkata, tiga konsert anjuran Apex Event Network yang bakal dijayakannya itu disifatkan sebagai penebus kekecewaan lalu.
"Ketika peristiwa pembatalan itu saya berusaha menjadi sabar. Teman-teman juga banyak memberi sokongan supaya tidak kecewa.
"Syukur saya balik lagi ke sini. Yang membezakan, kalau dulu cuma satu konsert perlu dijayakan kali ini ada tiga dan ia saya anggap sebagai penebus kekecewaan konsert yang lepas.
"Sebenarnya hal semacam ini (konsert dibatalkan saat akhir) sudah sering kali terjadi.
"Lalu, saya amat berterima kasih kerana masih diberi kesempatan. Mudahan dapat memberi persembahan yang 'spectacular'. Selain itu saya memohon ke hadrat Tuhan agar diberi kesihatan yang berterusan," katanya.
Ditanya, dengan segala macam pengalaman yang dilalui apakah yang menggerakkan hatinya untuk kembali ke negara ini, Inul berkata, dia yakin persembahan kali ini tidak akan menimbulkan masalah.
"Saya ada kepercayaan dan keyakinan yang sangat teguh terhadap penganjur kerana sebelum ini sering bekerjasama. Saya juga bukan orang yang cepat putus asa dan lebih suka memandang ke depan.
"Tambahan pula, tiada apa perlu dirisaukan kerana saya sendiri melihat permit konsert dan segala dokumen justeru, apa yang saya harapkan konsert ini akan berjalan dengan baik," katanya.
Konsert 1 Inul Daratista 2010, bakal dilangsungkan di tiga lokasi dan dua daripadanya adalah di Sabah. Iaitu Stadium Terbuka Tawau pada 29 Mei manakala Padang Kompleks Sukan Keningau, Sabah, pada 31 Mei.
Untuk kedua-dua lokasi ini, tiket hanya dijual pada harga RM30 dan RM50 (tempat duduk berbumbung).
Bagaimanapun konsert pada tarikh 4 Jun agak istimewa kerana Inul akan membuat konsert amal secara ekskluusif di Grand Lagoon Ballroon Sunway Hotel Resort & Spa.
Persembahan yang bertujuan mengumpul dana mengisi tabung Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia itu mengengahkan konsep berlaian dengan menjual meja kepada syarikat korporat.
Meja platinum beharga RM20,000, Emas (RM10,000), Perak (RM5,000) dan Gangsa (RM3,000). Setiap daripadanya memuatkan 10 tempat duduk.
Pengarah Apex Event Network, Albert Brorey, berkata, pihaknya yakin kesemua konsert ini akan mendapat sambutan.
"Ketika kami ke Sabah untuk mempromosikan konsert ini ramai peminat yang teruja dan bertanya di mana mereka boleh mendapatkan tiket. Jelas ramai sekali yang tidak sabar-sabar untuk melihat persembahan Inul apatah lagi ia pertama kali diadakan di Sabah.
"Sebagai penganjur kami juga melihat konsert ini mampu diteruskan sebagai konsert jelajah. Sekiranya kesemua tempat mencapai sasaran kami bercadang mengadakan konsert di beberapa lokasi lain bermula Julai nanti," katanya.
Sepanjang konsert itu nanti, Inul yang baru melancarkan single berkonsep balada, Kasih Tak Termiliki, awal tahun ini akan menggunakan khidmat pemuzik tempatan dan persembahan dijangka 10 hingga 20 lagu.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Ainur Rokhimah
ASAL: Pasuruan, Jawa Timur
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1979
AGAMA: Islam
KERJAYA : Penyanyi dan pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI : Adam Suseno
ANAK: Yusof Ivander Damares (lahir pada Mei 2009)
ALBUM: Goyang Inul, Separuh Nafas, Mau Dong dan Rasain Lho
LAGU POPULAR: Goyang Inul, Kocok-Kocok
SINETRON: Kenapa Harus Inul dan Gara-gara Inul, Hidayah (Susuk Pemikat Si Penari Jaipong) dan Hidayah (Penyanyi Dangdut Banting Setir Jadi Pembantu)
FILEM: Cinta Setaman (2008)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: