SATU persatu cerita kurang enak terbit dalam kehidupan penyanyi popular bertubuh genit ini. Baru saja reda kontroversi pertelingkahan dengan jurumekap, Noor Hasliah Abu Hasan, 29, atau Alyah, dikatakan pula menjalin skandal dengan lelaki berstatus suami orang.
"Bukan suami orang saja, macam-macam orang cakap pasal saya sebelum ini. Bagaimanapun, saya tak nafikan dulu pernah berkawan dengan suami orang, Sekarang tidak lagi dan saya masih 'single'.
"Saya juga manusia biasa tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Album Tak Mungkin Kerana Sayang yang diterbitkan Ajai itu sebenarnya adalah terjemahan luahan rasa semua cerita lama yang sudah saya tinggalkan.
"Saya mengorak langkah baru selepas pernah putus cinta," katanya sambil meneguk jus oren di gazebo Mayangsari Resort & Spa di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.Akui Alyah lagi, pelbagai iktibar diperolehnya daripada hubungan yang dianggap terlarang itu. Justeru, dia tidak mahu mengulangi kesilapan sama.
"Saya pernah putus tunang ketika hampir-hampir hendak berkahwin dulu. Kemudian saya juga pernah berkawan dengan suami orang. Kalau boleh, saya tak mahu terjebak dengan situasi sebegitu lagi. Memanglah soal jodoh susah dijangka tapi selagi boleh, saya akan cuba menolaknya. Terus terang saya sudah serik."Dalam mencari pasangan hidup, saya tidak kisah apa pun pekerjaan asalkan lelaki itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin terhadap keluarga.
"Fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya nyanyian saya. Album terbaru saya dalam proses pembikinan. Pada masa sama, saya sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata tempat dan pada hari tidak bekerja akan memberi tumpuan kepada keluarga dan anak saya (dua anak angkatnya)," kata Alyah yang semakin pandai bergaya.
Pembabitan Alyah dalam bidang seni kalau diikutkan sudah bermula sejak Bintang HMI 2000 bahkan sebelum ini sudah memiliki dua album solo dan satu album bersama Fabulous Cats. Dari segi pengalaman, dia sudah banyak menjuarai pelbagai pertandingan lagu pop dan asli.
Bagaimanapun, simbahan cahaya populariti mula menyinari anak kelahiran Gelang Patah, Johor ini tahun lalu apabila lagunya, Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang dan Realiti Dewi, membawa tuah.
Dek faktor itu jugalah Alyah belum sedia untuk menamatkan zaman bujang kerana menganggap kerjaya seninya baru hendak bernafas bermula.
"Seperti saya katakan, fokus utama saya adalah karier nyanyian. Khamis lalu saya baru selesai merakamkan lagu kedua yang akan dimuatkan dalam album solo ketiga.
"Lagu itu dihasilkan Azlan Abu Hassan, ia berkonsepkan balada rock dan liriknya ditulis Kak Chah (Habsah Hassan). Judul asalnya, Pesananmu Azimat Di Jiwa, tetapi mungkin akan bertukar tajuk lain. Saya juga akan merakamkan sebuah lagu ciptaan Julfekar dan Slen bulan depan.
"Kerjasama ini adalah yang pertama antara saya, Azlan dan Julfekar. Sejak dulu lagi saya selalu mengikuti perkembangan muzik mereka dan alhamdulillah baru sekarang saya memperoleh peluang.
"Azlan menghasilkan lagu bercorak balada rock manakala Julfekar pula slow balada. Sebelum ini kedua-dua mereka banyak menaikkan nama artis seperti Adibah Noor, Kaer, Farawahida dan Azharina," katanya.
Mengambil masa kurang dua jam untuk dirakamkan, sebuah lagi lagu juga selesai pembikinannya adalah Bisu ciptaan Omar K yang juga komposer lagu Realiti Dewi.
"Lirik lagu itu ditulis Sulu Sarawak dan konsep lagunya ala Bad Romance yang dipopularkan Lady Gaga. Keseluruhan kos album ini ditanggung saya sendiri.
"Album ini hanya memuatkan enam lagu. Insya-Allah saya juga akan menggunakan lagu ciptaan Lan Laga. Melengkapkan jumlah lagu yang akan dimuatkan, saya juga mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Aidit Alfian," katanya.
Mengakui tidak mudah menghasilkan album dengan bajet sendiri, namun Alyah puas dapat menimba pengalaman itu.
"Saya kena kerja keras untuk mencapai impian. Duit hasil nyanyian saya peruntukkan untuk diri dan keluarga. Selebihnya saya simpan untuk pembikinan album ini.
"Memang susah untuk menghasilkan album sendiri kerana zaman sekarang, bukan macam zaman dulu. Dulu syarikat rakaman yang uruskan semua.
"Saya masih perlu banyak belajar dan ucapkan terima kasih kepada semua pihak media dan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada saya," kata Alyah yang akan bertanding dalam final Gah 1 terbitan RTM.
Alyah yang pernah menjuarai Wirawan EON pada 1994, Juara Bintang Pepsi (1996), Juara Suara Johor (1997) dan Naib Juara Asia Bagus (1998), turut menyertai One In A Million musim kedua, namun tersingkir pada konsert minggu keempat.
Kegilaannya untuk menyanyi tidak pernah padam apabila menyertai Fabulous Cats untuk projek album sulung, Fantastik, tetapi Alyah menarik diri kemudian mencuba pula nasib dalam pertandingan pencarian bakat berkumpulan terhebat Asia, Gang Starz musim kedua untuk diserap masuk ke dalam One Nation Emcee. Namun disebabkan masalah kesihatan, dia menarik diri.
Album menggunakan judul Alyah turut dicalonkan dalam kategori Album PopTerbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) manakala Tak Mungkin Kerana Sayang berjaya ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24).
ROFIL
NAMA PENUH: Noor Hasliah Abu Hasan
TARIKH LAHIR: 3 Januari 1981
ASAL: Gelang Patah, Johor
HOBI: berenang, memasak, menyanyi dan mengembara
IDOLA: Celine Dion, Aishah, Sheila Majid, Anita Sarawak
Pencapaian muzik (antaranya):
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: