Wednesday, May 12, 2010

Ahli bina badan wanita Jordan menongkah arus


ukiran tatu juga menimbulkan kontroversi pada Farah.


HAMPIR segenap bahagian tubuhnya yang terdedah 'dihiasi' dengan ukiran tatu. Memang benar dia sering dikritik oleh rakyat negaranya sendiri dan tidak dinafikan juga dia menghadapi tekanan dalaman akibat daripada tindakan itu.

Tetapi wanita berusia 26 tahun ini mengambil sikap tidak mengendahkan pandangan masyarakat terhadapnya.

Demi minat dan cita-citanya, Farah Malhass bertekad untuk menjadi wanita Arab pertama yang menyertai kejohanan bina badan di peringkat dunia.

"Memang ramai yang mengecam tindakan saya, tiada siapa pun memahami kenapa saya mahu menjadi bintang antarabangsa dalam sukan bina badan," keluh Farah.

Tindakan Farah memang mencetuskan kontroversi. Tambahan pula di negara kelahirannya, Jordan, kaum lelaki dianggap pembela wanita hinggakan negara tersebut mengiktiraf 'pembunuhan bermaruah' pada ahli keluarga wanita yang melakukan hubungan seks sebelum nikah.

Farah pula seakan sengaja mencabar kewibawaan aktivis agama di Jordan, bukan sahaja kerana minatnya untuk menjadi wanita Arab pertama memasuki pertandingan bina badan tapi keberaniannya mendedahkan ukiran tatu yang agak kontroversi pada sebahagian besar tubuhnya.

Antara tatu yang 'terserlah' pada tubuh Farah ialah lukisan pari-pari tanpa pakaian pada paha atas, pari-pari bersayap di bahagian belakang tubuh dan dua potong ayat di bahagian lengan kiri dan kanannya.

"Tatu ini amat bermakna bagi saya, ia lambang identiti dan hala tuju kehidupan saya," ujar Farah yang sering terbang ke Beirut untuk mendapatkan khidmat ukiran tatu pada tubuhnya.

Tatu pertama dilakukan ketika usianya 17 tahun.

Sejarah keluarga

Farah dibesarkan dalam keluarga yang agak berada bersama seorang lagi saudara perempuannya.

Ibu bapanya telah bercerai sejak kecil dan Farah tinggal bersama ibunya, manakala khabar berita tentang ayahnya pula memang tidak pernah didengarnya.

Boleh dikatakan hampir seluruh kehidupan menuntut Farah berdikari kerana ibunya sering ke luar negara atas urusan perniagaan.

Pemberontakan jiwa wanita ini sebenarnya telah bermula sejak usia 14 tahun lagi. Ketika itu dia bertekad bahawa wajahnya akan terpampang di mana-mana pusat gimnasium sebagai inspirasi kepada wanita lain yang ingin berkecimpung dalam sukan yang didominasi lelaki.

Demi impiannya, Farah telah memulakan latihan sendiri sebaik usianya mencecah 20 tahun biarpun ditentang seluruh ahli keluarga.

Ekoran kritikan itu, Farah cuba mengalih impian dengan mendaftarkan diri ke Kolej Saint Martins College di London untuk mendalami jurusan seni halus, tapi tidak sampai satu semester dia terkeluar.

Farah pulang ke Jordan pada tahun 2007 dan menyertai Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi yang berkhidmat untuk imigran Iraq.

Dia meninggalkan kerjaya tersebut tahun lalu dan kini memfokuskan kepada cita-citanya untuk memasuki pertandingan bina badan wanita di peringkat antarabangsa.

Kini Farah semakin yakin impiannya bakal menjadi kenyataan. September ini dia akan terbang ke Toronto, Kanada untuk menyertai pertandingan bina badan amatur dalam kategori bentuk badan.

"Jika saya memenangi tempat pertama dalam pertandingan tersebut, peluang untuk saya sertai pertandingan di peringkat profesional adalah lebih cerah," ujarnya.

Di Amman, segala perancangan Farah tidak disambut baik.

Farah pernah ditanya oleh Persatuan Bina Badan Jordan yang tidak mahu menerima wanita sebagai ahlinya. Antara soalan yang pernah diajukan kepada Farah ialah tidak malukah dia berjalan di hadapan dunia dengan berbikini sahaja. Hanya seorang sahaja yang menyokong penglibatan Farah, iaitu atlet bina badan Jordan, Zeid al-Far.

Zeid juga akan menyertai pertandingan bina badan di Toronto itu sanggup berkongsi kos latihan bersama Farah.

"Persediaan untuk memasuki pertandingan ini memang agak mahal, ini termasuk vitamin, makanan tambahan lain, keahlian gimnasium, makanan dan sebagainya, malah saya sudah pun menjual kereta saya untuk semua keperluan tersebut," jelasnya.

Walaupun datang dari keluarga berada Farah berkeras untuk menggunakan wang demi merealisasikan impiannya dari hasil usahanya sendiri.

"Lagipun, datuk saya kini sedang sakit, kalaulah dia tahu saya sedang bersedia untuk memasuki pertandingan ini pasti dia tidak akan sembuh," ujar Farah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: