KOTA BHARU 4 Mei - Seramai 1,215 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 menerima hadiah insentif daripada kerjaan negeri.
Masing-masing menerima RM500 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Penerima terdiri daripada pelajar sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Malaysia (YIK), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), calon Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan persendirian.
Nik Abdul Aziz yang ditemui selepas majlis itu berkata, jika tahun sebelumnya hanya pelajar yang menduduki peperiksaan di negeri ini yang layak menerima hadiah itu, tahun ini ia diperluaskan kepada anak kelahiran Kelantan yang belajar di luar.
''Kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar untuk diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang kita raikan hari ini sebagai galakkan dan sokongan mereka terus bersemangat untuk belajar.
''Pelajar perlu terus berusaha menuntut ilmu kerana ia proses yang berterusan, di rumah kita belajar daripada ibu bapa, di sekolah dengan guru dan apabila telah keluar daripada pusat pengajian tinggi dan bekerja kita belajar dengan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Mohd. Amar Nik Abdullah yang turut hadir ketika berucap memberitahu, setiap bulan kerajaan negeri membelanjakan RM6 juta untuk pengurusan dan pentadbiran sekolah di bawah YIK.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: