Wednesday, May 5, 2010

Wanita Bangladesh ketagih rokok


Seorang warga emas, Zuhra Begum, 63, terlantar di Wad Penyakit Dada di Hospital Nasional l Bangladesh kerana penyakit yang berkaitan dengan amalan merokok.


SYARIKAT-SYARIKAT rokok antarabangsa kini menjadikan golongan wanita di negara-negara sedang membangun sebagai sasaran pasaran baru mereka.

Keadaan diburukkan lagi dengan kempen-kempen iklan yang tidak masuk akal sebagaimana yang berlaku di Bangladesh.

Kecenderungan ini diakui sendiri oleh seorang pakar dada Bangladesh, Dr. Kazi Saifuddin Bennoor yang menyaksikan banyak iklan rokok membawa mesej salah. Yang paling keterlaluan ialah apabila iklan tersebut menyebut 'merokok membantu memudahkan wanita bersalin'.

Malah iklan-iklan yang membawa mesej bahawa perokok merupakan orang yang bijak, lebih bertenaga dan lebih hebat di ranjang berbanding yang tidak merokok, merupakan pemandangan biasa di seluruh Bangladesh - sesuatu yang tidak pernah terfikir kebanyakan negara-negara lain di dunia.

Salah satu iklan yang pernah dilihat Dr. Kazi Saifuddin ialah di sebuah kawasan luar bandar menyebut: "Jika wanita hamil merokok, bayi dalam kandungan akan lebih kecil dan lebih mudah dan dan kurang sakit ketika bersalin."

"Ini merupakan iklan yang cukup mengarut dan tidak bertanggungjawab," katanya yang juga professor bagi Penyakit Dada di Hospital Nasional Bangladesh.

Dalam pada itu para doktor di Dhaka yang merawat penyakit berkaitan paru-paru pula melaporkan menerima semakin ramai pesakit wanita.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga memberi amaran bahawa syarikat-syarikat pengeluar rokok kini menjadikan wanita di negara-negara sedang membangun sebagai sasaran kerana menganggap golongan itu sebagai pasaran baru yang sedang berkembang.

Mengikut kajian badan dunia itu, kira-kira 28 peratus wanita dewasa Bangladesh kini merokok dan 43 peratus penduduk dewasa atau 41 juta orang di negara itu mengambil tembakau dalam pelbagai bentuk. Ini meningkat daripada 37 peratus pada 2004.

"Merokok telah menjadi wabak di kalangan wanita luar bandar. Ini merupakan isu kesihatan yang sangat serius," kata Penasihat Kesihatan Bangladesh, Syed Mudasser Ali.

Beliau menambah, undang-undang antimerokok gagal dikuatkuasakan dengan baik.

Di Bangladesh iklan rokok diharamkan sejak 2005. Tetapi para pengiklan biasanya mengggunakan poster-poster haram yang tidak menyebut secara spesifik syarikat di sebalik iklan tersebut.

"Hanya sebahagian kecil individu yang didenda kerana melanggar undang-undang tembakau sejak beberapa tahun lepas," kata Syed Mudasser.

Secara rasmi 57,000 orang mati di Bangladesh setiap tahun kerana penyakit berkaitan pengambilan tembakau. Tetapi jumlah tersebut dikatakan lebih besar kerana banyak kes tidak dilaporkan.

Nyata perangkaan itu menepati paten yang berlaku di seluruh rantau ini yang menyaksikan peningkatan perokok di kalangan wanita terutama di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Malaysia dan Kemboja.

Pengarah Projek Kawalan Tembakau Antarabangsa, Dr. Mary Assunta, berkata, peningkatan itu kemungkinan besar disebabkan wanita Asia kini semakin ramai memasuki sektor pekerjaan, mempunyai pendapatan sendiri dan melihat merokok sebagai gaya hidup moden dan bebas.

"Saya pernah melihat kempen pemasaran syarikat-syarikat rokok di kampus dan asrama universiti saya," kata seorang perokok wanita berusia 25 tahun yang pernah merokok sebungkus sehari tetapi kini sedang berusaha untuk berhenti atas nasihat doktor.

Menurutnya, dia mula merokok apabila melihat rakan-rakan kelasnya di Universiti Dhaka semuanya merokok.

"Pekerja kempen dari syarikat rokok ini akan mendekati pelajar dengan borong soal kaji selidik dan meminta mereka mengisi borong tersebut untuk memenangi baju T atau pemetik api," katanya.

Menurut WHO, syarikat-syarikat rokok menggalakkan trend ini dengan melihat wanita di negara-negara membangun sebagai pasaran terbesar mereka yang belum di eksploitasi.

"Di Indonesia, Malaysia dan Laos kita melihat dengan jelas strategi pemasaran yang menjadikan wanita sebagai sasaran seperti memperkenalkan bungkusan rokok yang menyerupai bekas gincu," kata Assunta.

Bungkusan rokok yang kecil, nipis dan cantik direka dengan tujuan memikat wanita dan membawanya sepanjang masa sama seperti gincu kegemaran mereka.

Sementara itu pasaran di Bangladesh kini didominasi oleh Dhaka Tobacco yang mempunyai 40 peratus saham dan memonopoli pasaran rokok murah.

Manakala British American Tobacco (BAT), yang menghasilkan jenama rokok popular Pall Mall dan John Player Gold Leaf, menguasai pasaran rokok premium yang bernilai AS$140 juta (RM980 juta) setahun bersama jenama Benson and Hedges.

Pada Februari lalu Ketua WHO, Margaret Chan berkata, negara-negara sedang membangun menjadi medan baru pasaran rokok.

Ini kerana pasaran di negara-negara membangun semakin kecil kerana sekatan dan pengharaman serta kejayaan kempen-kempen kesihatan .

Akibatnya, pasaran di negara-negara sedang membangun menjadi semakin penting untuk syarikat-syarikat antarabangsa seperti BAT dan Philip Morris International - yang dengan agresifnya memperluaskan pasaran di Filipina dan Indonesia.

"Syarikat-syarikat tembakau sudah tentu menggandakan usaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka di negara-negara berpendapatan rendah," katanya.

Malah di kawasan pedalaman dan luar bandar Bangladesh, rakyat tidak memahami risiko kesihatan akibat penggunaan tembakau menjadikan petani-petani miskin terutama wanita sebagai sasaran mudah.

"Ia satu putaran yang menyedihkan di mana rakyat yang miskin kini semakin ketagihan rokok dan ini menjadikan mereka bertambah miskin," katanya.

Bagi penduduk luar bandar di Bangladesh, kira-kira 4.5 peratus pendapatan isi rumah dihabiskan untuk membeli rokok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: