Wednesday, May 5, 2010

Zizan enggan komen


ZIZAN (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Kapoww.


PERPISAHAN pengacara dan pelakon, Zizan Raja Lawak dengan Leez AF meninggalkan pelbagai tanda soal. Ramai yang mengambil berat tetapi Zizan yang ditemui pada sidang media drama terbarunya, Kapoww enggan mengulas panjang.

Baginya episod cinta selama setahun itu sudah tamat. Maka, dia tidak mahu memburukkan mana-mana pihak ataupun menimbulkan sebarang kontroversi. Apa yang menjadi keutamaan kepada jejaka berusia 26 tahun itu adalah perjalanan kariernya.

"Mungkin ada yang mengaitkan keluarga saya dalam perihal peribadi saya. Tapi sebenarnya keluarga saya hanya memberi nasihat. Mereka mahu saya memberikan tumpuan kepada kerjaya kerana ia lebih penting.

"Jadi sekarang saya tidak lagi berfikir mengenai cinta. Saya mahu menjadi seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Mereka mengenepikan gosip serta kontroversi dan membuktikan kredibiliti mereka menerusi kerja," kata Zizan.

Bergurau dengan menyatakan ibunya sering mencari teman hidupnya, Zizan mahukan wanita yang ikhlas serta mencintai dirinya. "Ibu selalu memberitahu bahawa dia sudah mencari calon isteri di Kuala Terengganu. Tapi dia bukan memaksa saya untuk bercinta.

"Saya tidak terlalu memilih tetapi apa yang penting, ibu saya melihat wanita itu sempurna. Jika ibu saya boleh menerima dia, saya tidak mempunyai masalah," jelas Zizan yang popular menerusi program realiti Raja Lawak.

Semakin popular bukan sahaja dalam bidang pengacaraan, Zizan juga menyerlah dalam aspek lakonan. Namun, dia tidak menganggap bidang kerjanya popular. Zizan hanya mahu bekerja kerana diberikan peluang yang tidak pernah diimpikan selama ini.

"Saya cuma menjadi diri sendiri sahaja dan menganggap ia sebagai pekerjaan. Sebelum ini saya berdepan dengan masalah mencari kerja. Saya bukannya pandai belajar tapi Tuhan telah memberikan kerja ini. Jadi, saya tidak boleh angkuh. Malah sebenarnya amat bersyukur kerana masih merasakan ia bagaikan satu mimpi 'gila'," ujarnya lagi.

Memegang watak Atoi dalam drama Kapoww yang disiarkan pada setiap Jumaat bermula 7 Mei, pukul 10 malam, peranan Zizan memiliki kuasa elektrik selepas dipanah petir. Maka, dia mempunyai kekuatan seperti Superman.

"Walaupun ada kalanya saya terpaksa bekerja sehingga 2 atau 3 pagi, saya berasa seronok kerana melakukan kerja yang disukai. Dari kecil lagi saya menyukai filem, drama atau animasi adiwira. Batman dan Ultraman semua saya tonton dan berangan menjadi adiwira," kata Zizan.

Berdepan dengan kesukaran memakai kostum, Zizan yang berpeluh sepanjang penggambaran memberitahu dirinya sudah turun sebanyak dua kilogram selepas produksi itu tamat. Sering kali menjayakan drama dan filem genre komedi, Zizan sebenarnya mengidamkan watak serius.

"Memang saya ada mengidamkan watak serius tetapi belum mempunyai peluang lagi. Sebelum ini saya ditawarkan untuk berlakon dalam drama terbitan Mawi di Korea tetapi jadual saya tidak mengizinkan," tambahnya.

Turut dijayakan oleh Nurul Wahab, Norlia Ghani, Maria Farida, Bell Ngasri, Harum Salim Bachik, Hairi Anak Wayang dan Rosnah Mat Aris, drama 15 episod itu yang diarahkan oleh Azizi Chunk Adnan mengisahkan sekumpulan adiwira tercipta akibat satu letupan di sebuah makmal.

Sarat dengan kesan khas, setiap adiwira tersebut mempunyai kuasa berlainan dan mereka perlu bertarung dengan sekumpulan mutasi jahat yang mengancam keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: