![]() |
| Nursalawati Abdullah serius dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. |
SETIAP hari Nursalawati Abdullah akan melakukan rutin kerjanya di bilik khas yang penuh dengan skrin komputer. Bilik sempit itu terletak di satu sudut bangunan pusat beli-belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor.
Walaupun ruang kerjanya tidak gah seperti pusat beli-belah tersebut namun, tugas yang dipikul Nursalawati cukup mencabar. Dia bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan pengunjung.
Sebagai pengunjung, pernahkah anda terfikir bahawa pergerakan anda diperhatikan menerusi kamera litar tertutup yang terdapat di segenap aspek pusat beli-belah yang anda kunjungi?
Itulah tugas yang dipikul Nursalawati setiap hari, wanita ini akan memastikan bahawa, setiap pergerakan yang mencurigakan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Jangan ingat tugasannya mudah. Ketika mata yang seakan 'digam' pada skrin komputer, jari jemari Nursalawati juga akan menaip laporan dan pada masa sama mencari titik fokus, untuk mengesan kelainan yang berlaku di ruang premis perniagaan tersebut.
"Selain melihat kepada paparan skrin, tugas saya juga melaporkan komen daripada pihak kawalan keselamatan.
"Kami akan memantau perubahan tersebut dari semasa ke semasa dan laporan akan disimpan selama satu hingga dua minggu bergantung jika ada yang diperlukan untuk siasatan kes oleh pihak berkuasa," jelas Nursalawati ketika mengulas tentang rutin tugasannya.
Di pusat beli-belah itu, kes kecurian bukanlah perkara dominan. Jadi kamera litar tertutup (CCTV) di sana fungsinya lebih kerap untuk memantau pengunjung yang terperangkap dalam lif atau yang mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba.
Kisah Nursalawati adalah salah satu dari kisah wira tidak didendang atau dalam kata kiasan Inggeris The Unsung Hero di pusat beli-belah terkemuka itu.
Sebagai manusia, kita semua mempunyai kisah dan pengalaman yang tersendiri yang mana apabila diterjemahkan kembali ia adalah seperti satu asam garam kehidupan.
Setiap dari kita perlu bekerja untuk memastikan kelangsungan hidup dan tidak semua dari kita mendapatkan pekerjaan yang mudah.
Dengan pengalaman yang kita lalui itulah menjadikan siapa kita sebenarnya dan pengalaman itulah yang perlu dikongsi demi manfaat bersama.
Di sebalik kerjaya sebahagian daripada kita yang dikelilingi glamor, dengan pakaian yang menarik serta persekitaran kerja yang selesa, ramai lagi yang sebenarnya berkhidmat untuk kemudahan kita tanpa kita sedari.
Mereka inilah hero tidak didendang yang keberanian serta khidmat mereka jarang diberi pengiktirafan oleh mana-mana pihak.
Menyedari hakikat ini, tahun demi tahun, lebih banyak profesion yang kurang 'glamor' ini diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu supaya ia dapat menaikkan minat golongan muda menceburi bidang tersebut.
Justeru bersempena Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei baru-baru ini, pihak pentadbiran pusat beli-belah Sunway Pyramid memberi pengiktirafan kepada golongan pekerja di belakang tabir ini.
Mereka sedar bahawa semakin pengunjung seronok membeli-belah pada masa cuti umum seperti Hari Pekerja, mereka ini makin penat bekerja bagi memastikan kesejahteraan pengunjung dan segalanya berjalan dengan lancar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: