Friday, May 28, 2010

Tune Money Lancar Kempen Piala Dunia

Joyce Lai bergaya dengan bola semasa pelancaran kempen Tune-In to South Africa, hari ini. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT

PETALING JAYA: Tune Money Sdn Bhd, syarikat perkhidmatan kewangan dalam talian milik Tune Group, hari ini melancarkan satu peraduan untuk pelanggan kad prabayar dan insurans dalam talian bagi meraikan Piala Dunia FIFA Afrika Selatan 2010.

Turut dikenali sebagai Tune-In to South Africa, pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai RM100,000 termasuk wang tunai, jersi pasukan Piala Dunia, set LCD dan komputer riba dan iPads jenama Apple.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money, Joyce Lai berkata, pihaknya ingin meraikan Piala Dunia bersama pelanggan dengan menawarkan ganjaran kepada mereka.

Ketua Kad Tune Money, Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin (dua, kanan) dan Joyce Lai beserta dua model.

"Kami ingin menjadi sebahagian daripada sambutan kejohanan sukan dunia itu dengan menawarkan peraduan Tune-In to South Africa. Ia terbuka kepada kedua-dua pemegang kad prabayar Tune Money sedia ada dan pemohon baru.

"Jadi, kami bukan sahaja memberikan ganjaran kepada mereka yang berbelanja paling banyak bahkan menarik ahli-ahli baru.

"Mereka yang membeli produk insurans dalam talian berpeluang memenangi hadiah menarik seperti iPads. Ia adalah kemenangan kepada semua pihak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Peraduan untuk pelanggan insurans bermula dari 1 Jun hingga 28 Jun manakala peraduan untuk kad prabayar, 1 Jun hingga 26 Julai.

Bagi menyertai pertandingan tersebut, perbelanjaan minimum untuk pelanggan kad prabayar adalah RM100.

Model, Justin mempamerkan skil menimang bola.

Manakala untuk perbelanjaan paling banyak pula, perbelanjaan minimum adalah RM500.

Mereka turut menikmati mata ganjaran berganda apabila menggunakan kad mereka.

Sementara itu, semua pelanggan insurans baru bagi tempoh peraduan tersebut adalah layak menyertai pertandingan tersebut.

Maklumat lanjut tentang peraduan tersebut boleh diperolehi menerusi www.tunemoney.com.

Lai berkata, Tune Money menyasarkan lebih 4,000 pelanggan baru kad prabayar serta lebih 4,000 pelanggan insurans dijangka menyertai peraduan itu.

Katanya, pelbagai program akan dijalankan bagi meningkatkan bilangan pelanggan kad prabayar sebanyak 62,000 orang sekarang kepada 300,000 orang pada hujung tahun ini.

"Peraduan Tune-In to South Africa adalah salah satu daripada program yang akan diadakan untuk menarik lebih ramai pelanggan kad prabayar dan pemegang polisi insurans kami," katanya yang yakin sasaran itu boleh dicapai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: