|
|
SEREMBAN 26 Mei - Idea inovatif tiga pelajar tingkatan 5, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di sini yang menggunakan lalang untuk mengawal tumpahan minyak di laut membawa tuah apabila berjaya menggondol anugerah antarabangsa.
Pelajar tersebut, Nor Adibah Mohd. Hadzir, Nuradiza Rani dan Rohaizah Mohd Faijan, meraih tempat kedua pada Pameran Antarabangsa Sains dan Kejuruteraan Intel 2010 (ISEF) di San Jose, Amerika Syarikat pada 9 hingga 14 Mei lalu.
Mereka membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM4,979.
Menurut Nor Adibah, 17, idea menghasilkan ciptaan dinamakan 'Bum Minyak Asli' itu bermula daripada keinginan mereka untuk menangani isu pencemaran alam sekitar yang melanda seluruh dunia.
"Ia dicetuskan dengan keinginan untuk memperbaiki kualiti alam sekitar termasuk membendung isu pencemaran akibat tumpahan minyak di laut.
"Perkara itu sekali gus mendorong kami memikirkan satu kaedah terbaik daripada masalah tersebut agar ia tidak membawa kesan kepada alam sekitar dan manusia.
"Kami memilih lalang setelah mengenal pasti kemampuannya menyerap minyak secara maksimum berbanding dengan bahan lain. Tidak sangka ia membawa tuah," katanya yang ditemui di Wisma Negeri di sini hari ini.
Tiga pelajar berkenaan berkesempatan bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Pengetua Cemerlang TKC, Kamaliah Endot.
Dengan kejayaan itu, pelajar tersebut menaruh harapan agar ciptaan tersebut diketengahkan bagi mengatasi masalah tumpahan minyak demi kesejahteraan manusia sejagat.
Dalam pada itu, Kamaliah memberitahu, projek ciptaan pelajar itu turut mendapat reaksi positif daripada penganjur terutama dengan penemuan lalang sebagai medium penghalang pencemaran.
'Banyak pihak tertarik dengan ciptaan ini apatah lagi bahan yang digunakan melibatkan kos yang murah.
''Selain itu, bum minyak yang berada di pasaran sekarang tidak mampu menyerap minyak seperti bum minyak daripada bahan asli lalang," jelasnya.
Sementara itu Mohamad berkata, kejayaan pelajar berkenaan harus dicontohi oleh pelajar lain.
"Ini amat membanggakan Negeri Sembilan dengan kejayaan pelajar ini di peringkat antarabangsa.
''Ia adalah hasil kerjasama dan kerja keras sekolah yang sentiasa dahagakan kecemerlangan dalam apa jua yang mereka lakukan, baik dalam akademik mahupun kokurikulum," kata beliau.
Tahun ini 1,611 saintis muda dari 59 buah negara menyertai pameran tahunan tersebut termasuk sembilan pelajar Malaysia.
Finalis tersebut terpilih daripada 539 pameran berkaitan di seluruh dunia di mana projek mereka diadili lebih 1,200 juri daripada pelbagai profesion berkaitan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: