AKAD atau kontrak berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan sama ada yang dapat dilihat (hissiy) mahupun yang tidak dapat dilihat (ma'nawiy).
Daripada segi istilah, akad bermaksud suatu kesepakatan atau komitmen bersama, sama ada secara lisan, isyarat, ataupun tulisan antara dua pihak atau lebih. Ia memiliki implikasi hukum yang mengikat untuk melaksanakannya (rujuk Muhammad Salam Madkur (1963), al-Madkhal al-fiqh al -Islamiyy, Dar al-Nahdah al- 'Arabiyyah, hlm. 506).
Berdasarkan definisi tersebut, dapat difahami akad adalah perjanjian dan persefahaman yang mengikat pihak yang berakad untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi belum menamatkan akad tersebut.
Akad juga boleh difahami sebagai pertalian antara ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan) yang menimbulkan pengaruh dan kesan kepada subjek terlibat.
Pertalian ijab dan qabul ini mengikat pihak-pihak yang berakad untuk menunaikan kewajipan sebagaimana yang disepakati bersama.
Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan definisi antara akad dan wa'ad (janji). Namun, kebanyakan mereka menyatakan bahawa akad dan wa'ad berbeza.
Dalam akad, segala terma ditentukan secara spesifik sebelum akad itu dimeterai. Wa'ad adalah janji antara satu pihak dengan pihak yang lain.
Pihak yang memberi janji bertanggungjawab melaksanakan janjinya sedangkan pihak yang kedua tidak memikul apa-apa kewajipan terhadapnya.
Dalam berurusan sesama manusia, masyarakat perlu memahami konsep akad dalam Islam agar semua urusan yang dilakukannya menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.
Sekali gus, kefahaman yang diseiringkan pula dengan kepatuhan terhadap rukun-rukun dan syarat-syarat akan menyebabkan semua hak mereka yang terlibat dalam akad dapat dipelihara.
Kedudukan akad sangat penting untuk membezakan sama ada sesuatu urusan atau urusniaga itu sah atau tidak mengikut syarak. Justeru, penggunaan akad yang tepat untuk melakukan sesuatu urusan perlu diambil berat oleh setiap individu.
Sekiranya akad tersebut sah, maka ia akan mewujudkan tanggungjawab dan hak di kalangan pihak-pihak yang berakad. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyerahkan sejumlah wang dengan menggunakan akad bai' (jual beli), maka hendaklah orang yang menerima wang tersebut menggantikannya dengan barang yang diminta oleh pembeli.
Jika individu tersebut menyerahkan duitnya dengan menggunakan kontrak tabarru', maka ia tidak memerlukan sebarang penggantian dan pertukaran dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Ia adalah percuma dan diberikan mungkin disebabkan derma, wakaf, sedekah, hadiah dan sebagainya.
Jika ia menyerahkan duit dengan menggunakan kontrak qard (pinjaman), maka si penerima perlu membayar balik jumlah duit yang diterimanya tanpa melebihi kadar yang disumbangkan. Kita dapat lihat melalui contoh-contoh tersebut perbezaan yang ketara di antara kontrak-kontrak yang dilaksanakan.
Kontrak-kontrak dalam Islam mengandungi rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Kegagalan memenuhi segala rukun dan syarat tersebut akan memberi kesan buruk kepada akad. Jika akad tersebut tidak sah, maka segala yang berkaitan dengannya juga tidak sah.
Sebagai contoh, sekiranya seorang yang kurang siuman mendermakan sejumlah wang, maka derma tersebut tidak sah kerana syarat orang yang memberikan sumbangan adalah daripada orang baligh dan berakal.
Akad hanya boleh terbentuk sekiranya cukup rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh Islam. Menurut majoriti ulama, akad terbentuk melalui tiga rukun iaitu:
l Al-'aqidain: Dua pihak yang berakad. Iaitu semua pihak yang terlibat secara langsung dengan akad seperti penjual dan pembeli dalam akad bai' (jual beli) serta penyumbang modal dan pekerja dalam akad mudharabah.
l Mahallul aqd: Subjek akad iaitu sesuatu yang hendak diakadkan seperti kereta dalam akad sewa dan beli (Aitab) atau rumah dalam akad Bai' Bithaman Ajil (BBA)
l Sighah: iaitu ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan). Ia dilafazkan secara lisan atau bertulis oleh mereka yang berakad. (rujuk Wahbah Az-Zuhaili. 1989, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu,. Damaskus: Dar al-Fikr. IV: 92).
Para ulama fikah dalam Mazhab Hanafi berbeza pandangan dengan majoriti ulama. Bagi mereka, rukun akad hanya satu sahaja iaitu sighah (ijab dan qabul). Al-aqidain dan mahallul aqd adalah syarat akad kerana ia bersifat dalaman (dakhiliy) dan teknikal.
Pandangan ini didasari oleh kefahaman mereka bahawa rukun adalah sesuatu yang tunjang dan menjadi faktor utama terjadinya sesuatu akad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: