Wednesday, May 26, 2010

Tembaga tulen sasaran pencuri

KUANTAN – Dua tempayan tembaga yang digunakan sebagai tempat meletak colok sembahyang sebuah tokong di Bukit Setongkol di sini, lesap dilarikan tiga lelaki, awal pagi kelmarin.

Kehilangan tempayan tembaga yang digunakan di tokong itu sejak 1970-an disedari pagi hari yang sama ketika rumah ibadat itu dibuka untuk penganutnya.

Beberapa tempayan besar lain juga cuba dilarikan namun pencuri gagal berbuat demikian memandangkan perkakas yang diperbuat daripada tembaga tulen itu berkunci.

Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Kuantan, Datuk Chew Liong berkata, tiga pencuri terbabit turut melarikan empat lampu minyak dan loceng milik tokong itu yang semuanya diperbuat daripada tembaga.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, kelibat suspek berjaya dirakam bagaimanapun wajah mereka sukar dikenal pasti.

“Suspek dipercayai melompat masuk ke dalam tokong ini melalui pagar dengan meletakkan kerusi sebagai tangga.

“Segala gerak-geri dan kelibat mereka berjaya dirakam termasuk cubaan mereka mengumpil beberapa tempayan besar lain namun cubaan mereka gagal sebaliknya hanya sempat melarikan dua daripada tempayan itu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV, tiga suspek terbabit masuk ke dalam tokong itu kira-kira jam 4.10 pagi dan keluar 20 minit kemudian.

“Bagaimanapun rakaman itu agak terhad dan tidak menyeluruh menyebabkan pihak tokong gagal mengenal pasti kenderaan yang digunakan suspek untuk mengangkut tempayan terbabit,” katanya.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini banyak rumah ibadat penganut Buddha di daerah ini menjadi sasaran pencuri yang berminat terhadap barangan tembaga tulen untuk dijual atau dileburkan.

“Harga tembaga yang tinggi mencecah RM20 sekilogram menyebabkan pencuri menjadikan tokong sebagai sasaran memandangkan kebanyakan peralatan sembahyang seperti tempayan diperbuat daripada tembaga tulen dan beratnya mencecah puluhan kilogram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, masalah kecurian barangan tembaga di beberapa tokong dalam daerah ini termasuk perkakasan berusia lebih 200 tahun berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk harga logam itu yang tinggi di pasaran.

“Kita juga dapati kebanyakan tokong terlibat tidak menitikberatkan aspek keselamatan termasuk tiada penjaga dan kurang kawalan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini ada beberapa tokong termasuk tokong dalam kawasan Cenderawasih, Bukit Setongkol, Sungai Lembing dan Gambang menjadi mangsa pencuri.

“Polis ada membuat tangkapan bagaimanapun ia belum menjurus kepada suspek sebenar yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Kegiatan ini dipercayai dilakukan lebih daripada seorang suspek dan menggunakan kenderaan untuk mengangkut barangan bernilai itu ke kawasan lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: