Saturday, May 1, 2010

Sybil Pengaruh Emosi Elaine Daly

Siapa sangka Ratu Cantik Malaysia, Elaine Daly sebenarnya mempunyai talian darah dengan wirawati negara, Sybil Kathigasu. Walaupun mnyedari dirinya berkait rapat dengan Sybil, namun Elaine tidak pernah menunjukkan minat mengetahui dengan lebih mendalam sehinggalah ditawar melakonkan semula kisah perjuangan Sybil.


"Sewaktu Lina Tan (penerbit) tawarkan watak tersebut, dia tak tahu Sybil adalah nenek saudara saya. Semuanya berlaku secara kebetulan. Katanya ada satu gambar saya yang kelihatan sama seperti Sybil dan disebabkan itu, saya menjadi pilihan.

"Sebenarnya agak takut juga sebab bukan senang melakonkan watak sejarah. Saya banyak habiskan masa membaca semua buku yang ada kaitan dengannya dan tanya sendiri kepada anak Sybil yang masih hidup untuk dapatkan gambaran yang lebih tepat. Walau bagaimanapun, saya lakonkan watak ini mengikut naluri sehingga kadang kala seolah-olah merasai sendiri keperitan yang dilaluinya ketika membantu tanah air.

"Paling tidak boleh dilupakan ketika babak didera dan kuku dicabut tentera Jepun semata-mata untuk mendapatkan maklumat. Melakonkannya pun sudah dirasakan sangat perit, apatah lagi Sybil sendiri mengalami penderaan tersebut. Macam tak percaya ada wanita cekal seperti itu," ujar Elaine bangga dapat melakonkan sendiri watak nenek saudaranya.

Mengakui masih terbawa-bawa perwatakan Sybil walaupun telah selesai menjalani penggambaran. Elaine akui watak tersebut mempengaruhi emosinya kerana dirasakan Sybil begitu rapat dengan diri.



"Penggambaran dilakukan di rumah Sybil di Papan, Perak, tempat sebenar kejadian berlaku. Semua barang dan tempat persembunyian masih dijaga dengan baik dan saya dapat lihat sendiri tempat untuk menyimpan radio di bawah tangga rumahnya.

"Seolah-olah saya dapat merasai sendiri apa yang berlaku sewaktu hayat Sybil. Saya telah letakkan seluruh tenaga untuk menjiwai watak ini dan harap ianya berbaloi untuk membuatkan keluarga bangga dengan saya," ujar Elaine yang akan muncul dalam Suatu Ketika...Apa Dosa Ku.

Saksikan Elaine Daly dalam Suatu Ketika..Apa Dosa Ku di Astro Citra (saluran 131) setiap Rabu, jam 9.00 malam bermula 5 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: