BIARPUN orang kata demam Akademi Fantasia 8 (AF8) tak sehangat dulu, SS tengok masih ramai sebenarnya berminat mengikuti program realiti TV itu.
Dalam laman blog dan facebook (fb), masih ada yang bercakap mengenai kemenangan Shahir dalam konsert final, Sabtu lalu. Nampaknya ramai yang meminati Shahir kerana imejnya yang 'cool', merendah diri selain pemalu.
SS pun suka sebab tone vokal Shahir sedap dan kedengaran 'jantan' atau macho macam Jamal Abdillah. Baguslah, sudahlah pakej Shahir elok, suaranya yang sedap apabila menyanyikan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan Edry KRU.
Lepas ini tentu lagu itu akan popular di corong dan buat peminat wanita angau dan tak tidur malam. Bukan peminat saja, ada juga di kalangan wartawan dan artis yang sukakan lagu itu termasuklah Abby Abadi yang khabarnya siap buat 'link' lagu Shahir itu dalam fbnya. Amboi, amboi.. judulnya macam ada kena mengena dengan diri Abby aje? Tak kisahlah tu tapi dalam pada Shahir dan penyokongnya bergembira, ada juga pertanyaan demi pertanyaan daripada orang ramai yang ingin tahu mengenai kisah peribadi jejaka berusia 22 tahun ini. Tak pasal-pasal SS pula kaunter pertanyaan untuk mereka yang ingin tahu lebih lanjut mengenai Shahir. Antara soalan panas ialah mengenai hubungan ayah dan ibu Shahir yang dikatakan nampak seakan tidak mesra sepanjang konsert final berlangsung. Betul ke? Ramai cakap mereka perasan sewaktu konsert itu, ibu bapa Shahir duduk berjauhan. Selepas itu, ketika kemenangan Shahir, hanya ibunya yang tampil ke depan memeluk Shahir.
SS akan meminta kawan-kawan SS bertanya hal ini dengan segera kepada Shahir kerana Rabu ini ada majlis meraikan pelajar AF8 dan pelancaran album mereka.
Hai, belum terjawab soalan itu, timbul lagi satu soalan. Kata sumber yang pernah rapat dengan Shahir, dia belum habis pengajiannya di sebuah universiti sebab usianya baru cecah 22 tahun.
Sumber itu cakap, Shahir memang seorang pemuda yang baik, warak dan menghormati orang lain. Dia juga jenis pendiam yakni tidak suka bercerita tentang kisah peribadi macam artis 'adik-adik' lain.
Namun yang membuatkan sumber tadi hairan, kenapa sepanjang terbabit dalam AF8, Shahir tak pernah pun bercerita mengenai pengajiannya di universiti berkenaan.
Katanya, sewaktu dia kenal Shahir, pemuda ini masih lagi dalam pengajian di peringkat matrikulasi di ibu negara. Sepatutnya sekarang Shahir tengah melanjutkan pengajian di universiti tapi macam mana pula dia masuk AF8? Tambah sumber itu lagi, salah seorang anak saudaranya yang belajar di situ juga tidak pernah pula nampak Shahir sepanjang belajar di sana. Bagi SS tak kisahlah itu semua. Nanti bila jumpa Shahir pada majlis Rabu ini, semua press boleh tanya dia betul-betul kan? SS juga nak ambil kesempatan untuk ucapkan tahniah kepada semua terutama finalis AF8 yang menang mampu menyanyi pada malam itu. Walaupun aura AF8 kurang hebat tapi SS yakin KRU akan bijak mempromosikan produk-produk daripada program realiti TV itu dengan efektif sekali gus menaikkan nama mereka dalam dunia seni. Adakah juga Shahir akan mampu jadi Artis Baru Lelaki Popular pada ABPBH2010 akan datang? Sama-samalah kita tunggu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: