Sunday, May 2, 2010
Shila makan hati
Kesibukannya memenuhi jadual seni, membuatkan anak dara penyanyi popular era 80-an, ND Lala ini terpaksa melupakan keseronokan alam remajanya.
Malah, komitmennya sebagai artis dan juga ikon remaja membuatkannya terpaksa melupakan soal cinta untuk seketika. Bukannya tidak pernah menyukai sesiapa, Shila mengaku terpaksa memendam perasaan demi kariernya yang semakin berkembang.
“Shila ada berkawan dengan ramai lelaki, tetapi untuk bercinta belum masanya kerana Shila terlalu sibuk dengan urusan seni. Terus-terang, dalam berkawan tu, memang ada juga timbul perasaan suka, tapi terpaksa lupakan. Kesianlah, kalau ‘couple’ nanti, Shila tak ada masa pula untuknya. Jadi cara yang terbaik, Shila lupakan dulu soal itu dan fokus pada karier,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Memori Tercipta’ ini.
Tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnya, bagi Shila, dia gembira dengan kehidupannya sementelah lagi sentiasa mendapat sokongan keluarga terutama, ibu tercinta Fauziah Sarman, yang sentiasa setia menemaninya ke mana sahaja. Meskipun tidak berpeluang menikmati kebebasan seperti remaja lain, Shila tidak pula merasa dirinya terkongkong kerana segala aktiviti dilakukan bersama keluarga lebih bermakna baginya.
Beralih tentang karier seninya, sehingga kini naib juara One In A Million (OIAM) musim kedua ini dilihat masih tidak mampu mengecapi populariti seperti mana bintang realiti yang lain. Pun begitu, nasibnya agak bertuah dalam bidang komersial kerana ada sahaja tawaran menanti.
Dia yang pernah bergelar duta kepada Wall’s Connertto, Disney dan Coca-Cola kini dilamar pula sebagai duta kepada produk minuman berperisa, Tinge, bersama artis popular berbangsa Cina, Garry Chow.
Pakej lengkap serta imej baiknya sebagai ikon remaja membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini dilihat mudah mendapat tawaran sebagai duta terhadap beberapa jenama yang terkenal. Tidak menafikan perkara itu, kata Shila, kelebihannya menguasai tiga bahasa iaitu Malaysia, Inggeris dan Cina turut menjadi salah satu faktor kenapa dia menjadi pilihan.
“Saya seorang yang pencinta bahasa. Sejak kecil lagi saya suka bergaul dengan bangsa lain dan saya minat untuk mempelajari bahasa mereka. Kalau ada kesempatan, saya ingin mempelajari banyak lagi bahasa lain terutamanya bahasa seperti Korea dan Spanish. Saya sangat meminati dua bahasa itu dan saya ada menghafal beberapa lagu.
“Tugas sebagai duta bukanlah satu tanggungjawab yang mudah kerana saya harus lebih berhati-hati menjaga tingkah laku agar imej produk tersebut tidak tercalar. Saya sangat bersyukur dengan tawaran yang datang dan saya akan jalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Mungkin ramai yang menyedari gadis yang berusia 20 tahun ini sudah berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi.
“Saya dah menyanyi sejak umur sembilan tahun lagi dan kalau dihitung, sudah 11 tahun saya dalam industri ini. Saya sendiri pun tak tahu di mana silapnya dan saya pun dah cuba bertungkus-lumus. Tapi yang pasti lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio. Kalau ada pun, cuma satu dua lagu sahaja. Mungkin rezeki saya dalam nyanyian masih belum ada, ” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: