KITA sudah terbiasa melihat Ain membuat persembahan di Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dengan bertemankan gitar.
Gitar dilihat seperti 'aksesori' yang melengkapkan penampilan mahupun persembahannya.
Dalam konsert minggu kesembilan, Ain bagaimanapun mendapat kritikan Adlin Aman Ramlie kerana asyik menyanyi sambil bermain gitar.
Sedutan klip video pasca-konsert yang ditayangkan kemudian menunjukkan Ain seolah-olah terlalu emosional membantah kritikan tersebut.
Sambil menafikan dia terlalu beremosional, Ain berkata dia cuma tidak bersetuju dengan kritikan Adlin.
Kritikan Adlin antara lain menyatakan peserta itu turut boleh menyanyi dengan tidak bermain gitar.
"Saya rasa memang tidak ada masalah bermain dengan gitar. Tetapi saya rasa dia seperti menyalahkan saya. Oleh itu, saya tidak dapat bersetujulah.
"Saya bukan emosilah, cuma tidak setuju sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas selesainya Debaran AF8 minggu kesembilan.
Sementara itu, Pengetua AF8, Norman Abdul Halim tidak melihat apa-apa yang tidak kena dengan persembahan Ain yang menggunakan gitar.
Dakwanya, Ain dan gitar tidak boleh dipisahkan.
"Contohlah...kalau penyanyi kumpulan nasyid nak nyanyi tanpa kopiahnya, adalah serba tak kena. Jadi balik kepada perkara asasnya, Ain dan gitar tidak boleh dipisahkan.
"Seperti Maulana juga, dia serasi dengan jazz. Biarlah dia dengan perjuangan seni jazznya. Bukan semata-mata menjadi peserta AF yang popular, ada nama tetapi tidak ada identiti muzik," kata Norman.
Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif KRU Studio itu berpendapat Ain sudah mengekalkan dan memperjuangkan imej tersebut.
Tidak patut wujud rasa malu. Yang menyokong Ain pun mungkin kerana faktor itu, ujarnya.
"Jadi, saya rasa Ain tak patut buang gitar selepas ini kerana dia memang serasi dengan gitar. Malah dalam akademi pun, dia tukang main gitar sahaja sementara semua pelajar nyanyi," kata Norman.
Norman turut menyanjungi pendirian Ain yang berprinsip.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: