Saturday, May 1, 2010

Saingan sengit model bertudung


SEBAHAGIAN daripada 31 finalis Pencarian Model Tudung Fareeda bersedia untuk sesi akhir latihan di Plaza Masalam, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Plaza Masalam di sini hari ini akan menjadi medan persaingan sengit 31 orang wanita yang mengidamkan kejuaraan sempena acara final pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda.

Apa yang menarik, barisan finalis pertandingan itu bukan sekadar gadis jelita yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan tetapi juga wanita yang sarat hamil.

Pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria berkata, pertandingan yang akan bermula pada pukul 2 petang itu menampilkan calon-calon akhir yang berbakat dalam bidang peragaan fesyen terutama gaya tudung.

Katanya, peserta berusia antara 20 hingga 40 tahun itu mempunyai penampilan wajah Melayu serta campuran Arab.

“Kesemua peserta cantik-cantik belaka dan ia mungkin memberi saingan sengit kepada para juri untuk memilih siapa paling layak bergelar juara,’’ katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertandingan itu semalam.

Peserta akan diadili sepenuhnya oleh barisan lima panel juri termasuk dari Fareeda House of Scarf dan Kumpulan Utusan selaku penganjur.

Juara akan membawa pulang hadiah RM3,000 dan 15 helai tudung Fareeda bernilai RM2,000 sementara hadiah kedua berupa wang tunai RM2,000 dan 10 helai tudung bernilai RM1,000.

Tiada pemenang untuk tempat ketiga tetapi tiga hadiah sagu hati akan diberikan berupa wang tunai RM500 dan lima helai tudung bernilai RM500 setiap seorang.

Seorang peserta, Siti Nazira Abdul Aziz, 28, bertekad memberikan persembahan terbaik walaupun sarat mengandung tujuh bulan.

Suri rumah dari Klang itu sangat berminat dalam bidang peragaan dan begitu bersemangat untuk menyertai pertandingan itu.

“Keadaan badan yang tengah sarat mengandung ini menjadikan penampilan saya unik berbanding orang lain,’’ katanya.

Pelajar Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, Aida Adilah Al-Bakri Mustafa Al-Bakri, 22, pula sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mencuba nasib.

“Ibu, ayah, dua adik dan kawan rapat saya pun datang untuk beri sokongan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: